Selasa, 28 Februari 2012

Pesakit Buah Pinggang Rayu Bantuan.



BUJANG - Seorang Pesakit buah pinggang dari Kampung Segantang Garam dekat sini merayu bantuan bagi rawatan penyakit yang dihidapinya sejak 4 tahun lalu.

Fariza Osman, 46, memberitahu beliau bukan saja menghidap penyakit buah pinggang malah turut menghidap kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.

Menurut Fariza, pada masa ini beliau perlu melakukan rawatan dialisis dengan kekerapan 3 kali seminggu dengan kos RM250 sekali rawatan.Suaminya Rossien Ghazali, 56, seorang pemandu bas hanya berpendapatan sekitar RM1500 sebulan.


Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul urus Mat Zain bersama isteri, Datin Noor Adawiyah Morad yang melawat Fariza dirumahnya baru-baru ini turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Pn. Fariza ditalian 012-4018649.


Sabtu, 25 Februari 2012

Najib Terima Anugerah Imam Khalifah Agong Gayong.

GURUN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima anugerah Imam Khalifah Agong Gayong oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Anugerah itu yang membawa gelaran Sri Tri Buana Gangga Simanjakani Chula Sakti disampaikan oleh Yang Dipertua pertubuhan itu Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa.

Pada majlis yang diadakan di Kompleks Sukan Kriss Modenas di sini, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menerima anugerah yang membawa gelaran Sri Pelangi Srikandi Utama.

Jumaat, 24 Februari 2012

Harapan Zam Kepada Pengundi Di Merbok.


Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyeru para pengundi Merbok, kawasan Parlimen yang pernah diwakilinya supaya memilih parti dan bukan memilih calon dalam pilihan raya akan datang demi untuk mengembalikan kuasa dua pertiga kepada Barisan Nasional (BN).


Zainuddin yang juga lebih mesra dipanggil Zam menyatakan bahawa beliau hanya menyampaikan amanat yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan baru-baru ini yang juga boleh diaplikasikan di lain-lain kawasan".

''Bagi saya sendiri jika dikehendaki, saya akan pergi membantu sesiapa juga calon yang akan diletakkan bertanding di kawasan Merbok, walaupun mungkin calon itu tidak disenangi oleh saya. Ini kerana 'membunuh' calon ini bererti akan mengorbankan parti dan kepentingan agama, bangsa dan negara.

''Sekiranya sikap ini ditanam dalam hati semua penyokong BN dari sekarang, sama ada di dalam parti atau di luar parti, maka calon BN akan mencapai kemenangan. Namun saya juga berharap Presiden BN juga mestilah mengambil tindakan disiplin yang tegas dan pantas terhadap calon tidak terpilih yang menentang keputusan parti,'' katanya.

Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia di sini, Zainuddin meminta orang ramai atau ahli parti jangan terbawa-bawa dalam arus persaingan parti atau bahagian untuk menjadi calon dalam kawasan Merbok.

Ini adalah persengketaan dalam cawan sebaliknya apabila Perdana Menteri telah membuat pemilihan semua ahli mestilah memberikan undi kepada calon itu.

Menurut Zainuddin, dalam pilihan raya lalu majoriti pengundi telah memberikan undi kepada calon pembangkang yang tidak pun diketahui latar belakang mereka.

''Saya percaya pengundi-pengundi Merbok memang mempunyai sikap yang bijaksana. Umpamanya semasa saya bertanding sebagai calon payung terjun, sekalipun saya bukan Ketua Bahagian atau ahli UMNO Bahagian Merbok, para pengundi Merbok telah memberikan kemenangan besar kepada saya pada tahun 2004.

''Peradaban tinggi dan mulia orang Merbok yang terbukti dari kebijaksanaan dan kesetiaan mereka sekian lama dalam pilihan raya hendaklah diulangi dalam pilihan raya kali ini,'' katanya

MB Azizan Mahu Digulingkan, PAS Kedah Bergolak!



Kepimpinan Kerajaan Pas Kedah sekali lagi berhadapan dengan krisis apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 28 Februari ini.

Empat Exco yang dikaitkan ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi, Dr. Ismail Salleh, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan seorang lagi Exco yang tidak didedahkan identitinya.

Krisis terbaru itu dijangka meletakkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam dilema memandangkan tindakan berkenaan dikaitkan dengan usaha memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.

Sejak September tahun lalu, Azizan menghadapi pelbagai tekanan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas alasan beliau tidak mempunyai keupayaan mentadbir Kedah dan menghadapi masalah kesihatan.

Sementara itu, satu sumber mendedahkan sekurang-kurangnya empat anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang daripadanya dilaporkan sudah sah menghantar surat peletakan jawatan kepada Azizan.

Sumber itu mendakwa, kesemua mereka bertindak demikian sebagai bantahan kepada gaya pentadbiran Azizan yang dikatakan tidak efisien.

Krisis terbaru politik Kedah itu bermula apabila tersebar khabar angin terdapat tiga Exco negeri berkenaan telah menghantar surat kepada Azizan menyatakan mereka tidak mahu dilantik semula ke jawatan tersebut dan salinannya dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sumber memberitahu, langkah yang dibuat oleh mereka bertujuan memberi tekanan kepada Azizan supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Azizan tidak dilantik semula ke jawatan tersebut jika pakatan pembangkang terus memerintah Kedah.

Sementara itu, Exco yang terlibat ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mengesahkan atau menafikan sama ada mereka akan menghadiri majlis pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.

Dua daripada empat Exco yang dikatakan terlibat seolah-olah berdolak-dalik dalam memberikan pengesahan.

Phahrolrazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan tetapi jika perlu, satu sidang akhbar berhubung perkara tersebut akan diadakannya dalam tempoh terdekat.

"Bagi buah masak cukup dahulu, baru boleh buat kenyataan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.

Sementara itu, Dr. Ismail juga enggan membuat sebarang kenyataan dengan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Ditanya sama ada beliau telah menghantar surat tidak mahu dilantik semula sebagai Exco, Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri itu berkata: "Tanya MB (Menteri Besar), beliau tahulah kot. Saya tidak tahu apa-apa, jadi tak mahu kata apa-apa lagi."

Dr. Hamdan yang memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan negeri pula gagal dihubungi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, Azizan selaku Menteri Besar berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana Exco kerana ia proses biasa dalam pentadbiran.

"Hak negeri untuk pilih siapa yang layak. Lantik orang baru atau gugur juga perkara biasa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena malam tadi.

Justeru, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak sewajarnya mempercayai khabar angin kerana ia bukan sumber rasmi.

Rabu, 22 Februari 2012

Kerusi Roda Untuk Pak Mad..



Pak Mad atau nama sebenarnya Ahmad Resad, 54 yang menghidap penyakit kencing manis kronik hari ini bertuah apabila menerima sebuah kerusi roda dari Penyelaras Parlimen Merbok, Dato Hj. Tajul urus Mat Zain.

Bekas pengawal keselamatan yang berasal dari Baling dan kini menetap di Amanjaya Zon Anggerik 4 sebelum ini hanya menghabiskan masa tinggal dirumah tanpa mampu keluar sendiri.Tinjauan tajul_admin kerumah Pak Mad bersama AJK UMNO Bahagian Merbok, Abd Syukor Abdullah semalam menyaksikan beliau memang tidak mampu untuk bangun sendiri apatah lagi untuk berjalan tanpa dipimpin.

Isteri beliau, Robiah Hassan, 52 juga tidak begitu sihat selepas diserang angin ahmar tidak lama dulu manakala seorang anak mereka, Razak,31 tahun yang tinggal bersama hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan RM15 sehari.

"Nasib baik ada Razak, dialah yang menjaga kami," kata Pak Mad.

Sayu rasa hati apabila melihat Pak Mad membesarkan bola matanya untuk melihat kami walaupun apa yang dilihatnya hanya seperti bayang sahaja.Mata kiri Pak Mad sebenarnya langsung tak nampak, hanya mata kanan yang boleh melihat itu pun kabur.

Dato' Tajul menemui Pak Mad sebelum ini semasa di majlis sumbangan kemasyarakatan bagi menyampaikan bantuan kepada kalangan ibu tunggal, warga emas serta pesakit kronik di Amanjaya Zon Anggerik 5 baru-baru ini.

Semasa menyampaikan bantuan tersebut YBhg. Dato' berasa simpati melihatkan  keadaan Pak Mad lalu meminta pegawai beliau untuk menghantar sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakannya.


Dato' mencatit alamat rumah semasa menemui Pak Mad di Zon Anggerik 5 baru-baru ini.

Maka semalam jam 9.30 malam, tajul_admin bersama Sdr. Abd Syukor serta pegawai tugas-tugas khas kepada Dato' Tajul, Pak Din pun sampai kerumah Pak Mad untuk menyerahkan kerusi roda tersebut seperti diarahkan.Mudah-mudahan lepas ni Pak Mad boleh keluar bersiar-siar dan tak terperuk dirumah saja sebagaimana sebelum ini.


Isnin, 20 Februari 2012

Jenayah Boleh Dibanteras Jika Bersatu Padu.



AMANJAYA - Penduduk  Zon Anggerik, di sini kini boleh menarik nafas lega dengan tertubuhnya Unit Rondaan Anggerik (URA)yang melakukan rondaan keselamatan dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di kawasan perumahan itu.

Urusetia URA, Khaizul Anuar Jamadi berkata, sehingga kini seramai  163 penduduk pelbagai kaum melibatkan fasa satu hingga sembilan telah menyertai unit rondaan tersebut.

"Sebelum ini, banyak kejadian kes curi dan pecah rumah berlaku, namun setelah rondaan dilakukan hingga awal pagi setiap hari, kejadian seumpama itu boleh dikatakan dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, aktiviti keselamatan unit itu menjadi lebih berkesan dengan kerjasama rapat dari  pihak Polis serta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).

Beliau juga turut berterima kasih kepada Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Tajul Urus Mat Zain kerana sering meluangkan masa menghadiri sebarang aktiviti yang dianjurkan penduduk.

 Terbaru, seramai 40 penduduk Zon Anggerik disini bertuah apabila terpilih menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain dalam program sumbangan kemasyarakatan disini.Program anjuran pejabat Penyelaras Parlimen Merbok dengan kerjasama URA itu menyasarkan penerima dari kalangan warga emas, ibu tunggal serta pesakit kronik.


Dalam ucapannya Dato' Tajul berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil oleh penduduk Zon Anggerik yang sanggup bekerjasama mengadakan unit rondaan serta melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.Menurutnya usaha sebegini boleh mewujudkan semangat muhibbah dan perpaduan dikalangan penduduk pelbagai kaum.

Beliau berkata, keselamatan masyarakat setempat pasti menjadi lebih bermakna dengan adanya unit seumpama itu.

"Sebenarnya jenayah kecil seperti mencuri dan pecah rumah boleh dibanteras, jika penduduk taman perumahan terus bersatu padu," katanya.

Turut hadir, Penyelaras DUN Bukit Selambau, M.L Maran serta pengerusi URA, Tuan Mohd Nasir Tuan Ismail.





Ahad, 19 Februari 2012

Masyarakat Cina Sedar Sumbangan Dan Peranan MCA.


PUTRAJAYA 19 Feb. - Debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam ternyata menyedarkan masyarakat Cina mengenai sumbangan dan keprihatinan MCA terhadap masyarakat kedua terbesar di negara ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penampilan dan hujah-hujah Dr. Chua jauh lebih meyakinkan masyarakat Cina dengan peranan MCA dengan BN terhadap pembangunan masyarakat Cina tanpa mengkritik atau menyalahkan pembangkang seperti yang dilakukan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Daripada maklum balas yang kita terima, masyarakat Cina tiba-tiba bangkit dan sedar bahawa MCA telah melakukan agak banyak untuk masyarakat Cina di negara ini dan kita telah bekerjasama.

"Saya ingin tekankan lagi, perlu ingat bahawa BN apa sahaja yang kita putuskan adalah konsensus, tidak ada tindas menindas oleh mana-mana parti sama ada yang parti kecil atau parti besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Debat dalam bahasa Mandarin bertajuk “Adakah Sistem Dua Parti Menjadi Sistem Dua Bangsa?” itu diadakan di Berjaya Times Square sebagai sebahagian daripada Forum mengenai bangsa Cina Malaysia di Persimpangan Politik.

Ia dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai dan disiarkan secara langsung oleh Astro.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, sokongan masyarakat Cina terhadap BN juga meningkat seperti masyarakat Melayu dan India selepas menyedari bahawa hanya BN mampu menjamin kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.

- BERNAMA

Jumaat, 17 Februari 2012

Anwar & Israel.


Akhbar terkemuka Israel, The Jerusalem Post menerusi penulisnya, Michael Ordman menyambut baik sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap segala usaha yang dapat menjamin keselamatan negara haram itu.

Ordman yang diiktiraf pemikirannya oleh Jerusalem Post kerana prihatin terhadap teknologi bagi menjamin kelangsungan Israel berkata, beliau secara peribadi gembira dengan kenyataan yang dibuat Ketua Pembangkang itu.

"Dari segi politik dunia, secara peribadi saya suka dengan berita bahawa Ketua Pembangkang Malaysia mengiktiraf Israel ketika ditanya sama ada Anwar bersedia membuka hubungan diplomatik dengan Israel," katanya.

Beliau berkata demikian sebagaimana dipetik dalam entri terbarunya bertajuk We have lift-off yang ditulis pada 6 Februari lalu, di laman web Jerusalem Post, http://blogs.jpost.com.

Ini bukan kali pertama 'lidah' Israel itu memuji Anwar kerana pada 20 Mac 2008, akhbar sama menerusi rencana bertajuk Anwar Ibrahim: Malaysia's Future Prime Minister?' turut menyanjung Ketua Pembangkang tersebut.

Pada 26 Januari lalu, akhbar The Wall Street Journal menyiarkan kenyataan kontroversi Anwar yang menyokong keselamatan Israel apabila berkata: "Saya menyokong semua usaha untuk menjaga keselamatan negara Israel."

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak tetapi Anwar menegaskan pendirian tersebut dibuat berdasarkan penyelesaian dua negara dalam isu Israel-Palestin, konsep yang ditentang Pas dan majoriti umat Islam.

Khamis, 16 Februari 2012

BR1M, Kerajaan Sedia lanjutkan Tempoh Rayuan - Najib



Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia melanjutkan tempoh rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada mereka yang layak selepas 15 Mac ini.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada para pemohon yang layak sungguhpun nama mereka tidak tersenarai sebelum ini.

"Yang layak, boleh buat rayuan dan diteruskan sampai 15 Mac tetapi kalau ada lagi, boleh sambung.Ini supaya semua yang ditafsirkan layak boleh menerima bantuan BR1M," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata, BR1M merupakan satu bentuk kaedah yang sangat berkesan bagi membantu meringankan beban rakyat.

"Mesyuarat hari ini memaklumkan bahawa pemberian ini sangat dihargai oleh rakyat," katanya.

-Bernama.

Kehadiran PM di Batu Caves tidak menyalahi hukum syarak - Harussani.


Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, tidak salah untuk Perdana Menteri bersama-sama dengan kaum lain dalam perkara yang berkaitan dengan adat.

"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau reda dengan perbuatan agama lain tidak mengapa, tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme Penceramah Agama UMNO Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.

Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan perbuatan syirik.

Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama. Oleh yang demikian, Mufti Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa sehingga boleh menjadi fitnah.

"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.

"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal, balik pada musyawarah...soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah," katanya.

Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan reda dengan orang yang melakukan kufur. - BERNAMA

Isnin, 13 Februari 2012

Tinggal Sehelai Sepinggang.


SIDAM KIRI - Sebuah keluarga di kampung Kuala Sedim, dekat sini hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, Adnan Mohamad, 60, bersama isteri Zainab Md Isa, 57 serta 3 ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan kediaman mereka.

Adnan berkata, semasa kejadian dia bersama isteri berada di majlis perkahwinan dikawasan berhampiran. Menurutnya dia hanya mengetahui tentang kejadian itu melalui seorang jiran yang datang memberitahunya di majlis berkenaan.

"Saya terkejut dengan kejadian ini tetapi bersyukur kerana anak-anak saya terselamat dalam kejadian ini,” katanya.

Anak pasangan itu yang juga seorang wanita kelainan upaya (OKU) Faezah Adnan, 35, segera mengejutkan  adik serta 2 anak saudaranya yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.Dia yang hanya mampu bergerak dengan menggunakan dua tongkat memberitahu, hanya tersedar rumahnya terbakar setelah terpandang bumbung rumahnya sedang dijilat api yang sudah marak.Mereka kemudiannya keluar menyelamatkan diri tanpa dapat membawa keluar apa-apa barang.

Sementara itu, Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Nadzmee Syam Ahmad Jamil berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Katanya, 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa setengah jam dengan bantuan 10 anggota sukarela dari unit bomba sukarela Sungai Petani.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain yang melawat tempat kejadian sebaik dimaklum berkata, sebagai tindakan segera,beliau akan menghantar barangan keperluan harian  untuk tempoh seminggu bagi meringankan beban mangsa.


Berkenaan rumah pula katanya, beliau akan merujuk perkara itu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.

"Kita akan merujuk perkara ini kepada kerajaan' negeri kebajikan' terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan,"

"Jika sekiranya mereka tidak membantu maka ketika itu saya akan melakukan  perkara yang perlu bagi membantu keluarga ini,"katanya.

Ahad, 12 Februari 2012

6 Sekeluarga Tinggal Bawah Rumah.

TANJUNG DAWAI - Kesempitan hidup menyebabkan sebuah keluarga di Kampung Sungai Derhaka dekat sini terpaksa menumpang tinggal dibawah sebuah rumah sebagai tempat berlindung.

Ahmad Azwan, 26, terpaksa membawa isteri serta 4 orang anak yang masih kecil tinggal dibawah rumah adik iparnya setelah diusir keluar kerana gagal menjelaskan sewa rumah yang disewa sebelum ini sejak 4 bulan lalu.

Ahmad yang hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak tetap berkata, dia memilih untuk tinggal dibawah rumah itu kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain.

Isterinya, Che Tom Ahmad, 32 pula tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga 4 anak yang berusia antara 5 bulan hingga 7 tahun.


Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain yang melawat keluarga berkenaan semalam  berkata, beliau akan menghantar surat permohonan kepada pihak berkenaan untuk membina rumah baru bagi keluarga itu.

Beliau yang terkejut kerana tidak menyangka masih ada keluarga yang terpaksa hidup dalam keadaan seperti itu berkata, permohonan akan dibuat untuk membina 2 buah rumah memandangkan keadaan rumah yang kini didiami oleh adik ipar Ahmad juga sudah terlalu uzur.


Dalam kunjungan itu, Dato' Tajul turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan harian untuk keluarga tersebut.

Pengerusi JKKKP Kampung Sungai Derhaka, Ayop Saad pula berkata, beliau mendapat aduan berkenaan perkara itu dari beberapa penduduk kampung yang meminta beliau mencari jalan bagi membantu keluarga berkenaan.Bertindak atas aduan itu katanya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain untuk tindakan lanjut.

"Jadi Dato' pun telah beri tindakbalas yang baik yang mana hari ini beliau telah pun sampai ke sini, dan kita harap perkara ini akan dapat disegerakan," katanya.



Jumaat, 10 Februari 2012

'Unseen Hero'..


Sebut sahaja nama ‘Tok Kanchil’ pasti semua penduduk Kampung Segantang Garam mahupun Kampung Bujang dan Pekan Merbok sudah tahu siapakah yang dimaksudkan.

Kanchil Bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kanchil.
Bukan sahaja nama yang unik, malah personaliti individu yang dimaksudkan juga agak ‘versatile’ kerana beliau merupakan seorang guru silat yang sudah lebih 50 tahun berkecimpung dalam seni beladiri berkenaan.

Bercerita tentang namanya, guru silat berusia 87 tahun itu menjelaskan, sejak lahir, beliau dikenali sebagai 'Osman' namun semasa hendak didaftarkan, 'Penghulu Mat' yang bertugas pada masa itu secara spontan memilih nama Kanchil  untuk diisi dalam sijil kelahiran.Disebabkan tiada bantahan dari kedua orangtuanya, maka itulah nama barunya yang dipakai hingga sekarang.

Menurut Tok Kanchil lagi, beberapa rakan seperjuangannya pada masa dahulu juga mempunyai nama yang unik seperti Buluh, Teratak, Batang dan Jeneris.

Menurutnya, walaupun sudah lama berkecimpung dalam seni silat namun 'Seni Silat Tari Melayu Panglima Kedah' yang dikembangkan baru sahaja didaftarkan dua tahun lalu atas inisiatif pelbagai pihak.Niatnya hanya satu, iaitu mahu mengembangkan serta mewariskan seni Melayu kepada generasi muda.Silat ini yang berasal dari Patani, dikembangkan secara turun-temurun.

"Tiada pantang larang namun perlu dipelajari dengan hati yang ikhlas," katanya.

Tok Kanchil yang berkahwin dengan Siti Aminah Ahmad, 84, menetap di Kampung Segantang Garam sejak tahun 1965, dikurniakan lapan orang anak, 30 orang cucu dan sehingga kini beliau mempunyai 14 orang cicit.

Menyambung kisahnya Tok Kanchil berkata, beliau pernah diberi peluang mempersembahkan silat di hadapan Sultan Kedah yang mencemar duli menghadiri sebuah majlis di Pantai Merdeka suatu ketika dahulu selain pernah menerima beberapa pengiktirafan dari pelbagai pihak atas kegigihannya.

Selain itu, kira-kira 20 tahun lalu, sebuah produksi filem dari negara Jepun yang  tertarik untuk memasukkan elemen seni silat dalam karya mereka pernah mengambil Tok Kanchil dan anak buahnya berlakon setelah tertarik kepada keaslian yang ada pada seni silat ini. 

Satu lagi peristiwa menarik, sewaktu persembahan selama 30 minit di hadapan pasukan perubatan termasuk doktor dari Canada, India dan negara luar lain di Sungai Lalang enam tahun lalu tidak pernah dilupakan.
Pada masa itu, seorang ahli wanita yang terlibat membuat persembahan di khalayak terus disunting seorang pengunjung yang teruja dengan persembahan silat yang dipertontonkan dan telah berkahwin selepas itu.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau amat menghormati dan melihat Tok Kanchil sebagai seorang yang mengabdikan diri serta hidupnya kepada seni silat itu.

"Orang yang seperti ini bagi saya dia adalah apa yang digelar sebagai 'unseen hero', walaupun kini umur dia sudah lebih 80 tahun, tapi dia masih gigih melatih dan mengumpulkan tenaga anak-anak muda untuk buat latihan ,"katanya.


Melanjutkan bicara beliau menjelaskan, Tok Kanchil merancang untuk membuat sebuah gelanggang yang lebih selesa dan sesuai bagi melatih lebih ramai anak-anak muda yang berminat untuk mempelajari seni silat.

"Jadi itu yang saya nak bantu, saya nak bantu untuk mewujudkan gelanggang silat yang sempurna dan berbumbung untuk dia, itu janji saya", katanya.

Mengenai sumber kewangan untuk membina gelanggang itu pula katanya, beliau akan mencari samada dari pihak swasta atau dari peruntukan sedia ada.

Dato' Tajul ditemui ketika menghadiri majlis tamat latihan pertubuhan silat itu di Kampung Segantang Garam baru-baru ini.

Pada majlis itu juga beliau telah bersetuju untuk menyediakan pakaian seragam silat kepada semua pelatih.

Khamis, 9 Februari 2012

BR1M, Warga Emas Buta Terharu Dapat Perhatian.


MERBOK - Halijah Saad, 73, dari Kampung Badong, menunggu didalam kereta sementara anaknya Siti Aishah Bakar, 47 masuk ke dalam Dewan UiTM Merbok untuk menuntut wang Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) bagi pihak ibunya.

Dengan suhu yang panas, Pn. Halijah yang buta kedua belah mata sejak berusia 27 tahun juga tidak mampu bergerak dan terpaksa menunggu di kereta sementara semua urusan diselesaikan oleh anak tunggalnya itu.

Namun beliau bersyukur kerana keadaan yang agak sukar baginya itu tidak lama apabila mendapat perhatian penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul urus Mat Zain yang berada di Dewan tersebut untuk majlis perasmian Penyerahan BR1M.

Sebaik diberitahu keadaan Pn. Halijah, beliau segera mengarahkan agar urusan Pn. Halijah didahulukan walaupun pada ketika itu majlis penyerahan masih belum bermula namun Dato' Tajul telah menolak sebarang alasan yang diberikan pegawai pengurus BR1M kerana dengan cuaca dan suhu yang semakin panas, beliau tidak mahu Pn. Halijah menunggu lebih lama.

Beliau seterusnya datang sendiri menemui Pn. Halijah bersama pegawai dari Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mengambil cap jari seterusnya menyerahkan wang bantuan tersebut.


Perhatian yang diberikan kepada Pn. Halijah itu bukanlah kali pertama malah di setiap majlis penyerahan BR1M, perhatian khusus sentiasa diberikan kepada golongan sepertinya.Mengikut prosedur biasa penerima bantuan terpaksa menunggu antara 1 hingga 2 jam sebelum dapat menerima wang tersebut disebabkan jumlah penerima yang ramai mencecah 3,000 orang pada satu-satu masa dan keadaan sebegitu sudah pasti sesuatu yang sukar bagi penerima dari kalangan warga emas serta orang kurang upaya.

Dato' Tajul juga sentiasa mengingatkan semua petugas penyerahan BR1M supaya sentiasa memberi perhatian khusus kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya serta meminta supaya urusan penyerahan bantuan kepada mereka dipermudahkan.

Sementara itu majlis penyerahan BR1M bagi pusingan ke 2 DUN Tanjung Dawai yang berlangsung di Dewan UiTM Merbok semalam, berjalan lancar dimana hampir 3,000 penerima berjaya menunaikan baucer BR1M di kaunter BSN yang dibuka.

Sebelum itu semasa ucapan perasmian, Dato' Tajul berkata kerajaan yang memerintah mestilah tahu menguruskan ekonomi dan sumber pendapatan negara.

"Kerajaan mesti pandai meniaga, mesti pandai cari duit, kerajaan tidak boleh meminta sedekah dari rumah ke rumah atau di majlis ceramah untuk beri RM500 kepada rakyat,"katanya.

Menurutnya selain dari kutipan cukai, kerajaan melabur dalam pelbagai bidang perniagaan, perindustrian, saham dan sebagainya.Hasil pendapatan yang lebih itulah yang disalurkan kepada rakyat kerana pihak kerajaan memahami tekanan ekonomi yang ada pada hari ini serta sentiasa mencari jalan membantu rakyat.






Rabu, 8 Februari 2012

Sokongan Masyarakat India Meningkat.

Sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) meningkat berdasarkan pendekatan mesra rakyat yang dilaksanakan pemimpin BN di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, lebih 80 peratus masyarakat India kembali yakin dengan parti itu selepas kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan transformasi politik secara menyeluruh.

"Rakyat menerima baik dasar kerajaan seperti Gagasan 1Malaysia dan transformasi politik serta sosioekonomi yang tidak meminggirkan mana-mana kaum.
"Malah, masyarakat India di negeri ini amnya telah memberikan sokongan yang amat baik kepada BN sejak akhir-akhir ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan perayaan Thaipusam peringkat negeri Kedah di Kuil Subramaniya Devasthanam, Jalan Kuala Ketil, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi MIC negeri, S. Ananthan; Pengerusi MCA negeri, Dato' Chong Itt Chew dan Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat  Zain.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yakin BN akan dapat menawan kembali Kedah daripada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
Ditanya tentang persiapan BN negeri menghadapi pilihan raya umum, beliau memberitahu, pihaknya telah membuat persiapan sejak awal lagi.

Katanya, antara pendekatan yang diambil adalah menggerakkan program secara bersama melibatkan semua parti komponen.

"Di samping itu, para pemimpin kita turut turun padang bagi mendekati masyarakat. Dari segi jentera pula, kita memang sudah bersiap sedia malah, sesetengahnya sudah digerakkan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah memberitahu, Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melawat Kedah dalam tempoh terdekat.

Katanya, Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan mereka pada 14 Februari ini sementara Najib pula pada 25 Februari.

"Kedua-dua pemimpin ini akan turun ke Kedah untuk memantau persiapan di samping bertemu mesra dengan rakyat. Ini mencerminkan kesungguhan BN untuk membawa pembaharuan di Kedah,'' katanya.

- Utusan.

Ahad, 5 Februari 2012

3,000 Sertai Sambutan Maulidur Rasul Di Merbok.


Dato' Tajul Urus mengetui perarakan sambutan Maulidur Rasul.
MERBOK - lebih dari 3,000 umat Islam dari pelbagai lapisan berkumpul bersama Ketua UMNO Bahagian yang juga Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain  untuk menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1433H, peringkat Parlimen Merbok, semalam.Perarakan yang bermula dari perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok itu berarak sejauh kira-kira 2 kilometer menuju ke Masjid Merbok.Lebih menarik, orang ramai yang berada di tepi jalan sepanjang laluan perarakan juga turut tidak melepaskan peluang menyertai perarakan itu.


Di Masjid Merbok, sambutan turut diserikan dengan alunan merdu bacaan Al-Quran oleh adik Khairul Hakimi Mohd Fadli yang merupakan johan tilawah KAFA Negeri Kedah.

Ceramah sempena Maulidur Rasul juga turut disampaikan oleh Ustaz Suhaimi Shuib dari Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA).

Bacaan Al-Quran oleh adik Khairul Hakimi.

Dalam ucapannya, Dato' Hj. Tajul Urus mengingatkan tentang sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W yang perlu dihayati dan diteruskan.Katanya umat Islam harus sedar dari sikap tak ambil kisah terhadap ancaman-ancaman yang dihadapi oleh ummah pada masa kini. Antaranya dakyah pemurtadan, pengliberal akidah, penghalalan seks songsang,bebas, dasar pemencilan ummah dan pencabulan teras ummah secara sistematik oleh kaum kuffar yang dibantu oleh golongan munafik.

Bahaya ancaman ini katanya memang tidak nampak pada masa sekarang kerana kita dikaburi oleh kepura-puraan mereka.Namun apa yang ada dalam hati mereka, sentiasa ingin menghancurkan umat Islam dan tidak akan puas selagi umat Islam masih menguasai pemerintahan.Dengan perancangan serta bantuan dari pihak luar mereka berselindung di sebalik ketelusan dan hak asasi serta akan mencari segenap kelemahan ummah untuk diperalatkan.

Beliau yang diminta mengulas berkenaan sambutan itu kemudian berkata, apa yang dilihat hari ini merupakan menifestasi kesedaran umat Islam khususnya orang melayu untuk bersatu dalam konteks menghadapi cabaran-cabaran yang dihadapi  oleh umat Islam hari ini khususnya di Malaysia dimana menurutnya gerakan-gerakan anti Islam semakin berleluasa.

Menurutnya jumlah melebihi angka 3,000 yang menghadiri program itu melepasi jangkaan awal iaitu seramai 2,000 orang.


Maulidur Rasul S.A.W 1433/2012M.



"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya".
-surah al-Maidah ayat 15

"Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya".
-Surah al A’raf ayat 157

Di dalam ayat diatas dengan jelas menyatakan bahawa orang yang memuliakan Rasulullah SAW adalah orang yang beruntung dan meraikankan Maulidur Rasul termasuk dalam rangka memuliakannya.

Sambutan Maulidur Rasul adalah untuk mengembalikan ingatan kita terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah SAW dan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan.

Menurut sejarah, Maulidur Rasul pertama kali disambut secara kecil-kecilan oleh sekelompok ahlul bait di Mekah Al Mukarammah semasa zaman pemerintahan khalifah Abassiyah, Muhammad Ibnu Mansur Al Mahdi pada abad ke 8M. Kemudian pada abad ke 12M, ia telah diperkenalkan dan disambut secara besar-besaran oleh Gabenor Irbil di Iraq, Al Mudzaffar Abu Sa’id al-Qakburi semasa pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayubi (1138-1193M). Sambutan tersebut bertujuan mengumpulkan dan menyatukan kaum muslimin bagi menaikkan semangat jihad mereka menghadapi angkatan perang salib dan merampas kembali Jurusalem dari tangan mereka. Meskipun terdapat ulama dari aliran Wahabbi dan Salaffi menganggap sambutan Maulidur Rasul sebagai bida’ah, namun kebanyakkan ulama menganggapnya sebagai satu bentuk sambutan yang bertujuan melahirkan rasa kecintaan kepada Rasul.

Semoga kita dapat berusaha memahami ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang menekankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, penguasaan ilmu pengetahuan, kehidupan berqualiti 'hasanah fi addunya wa hasanah fi al-akhirat' dan penghayatan nilai-nilai murni serta akhlak terpuji. Umat Islam wajib mengamalkannya secara betul dan bersungguh-sungguh, bersedia dengan pelbagai kekuatan dan sentiasa cekal menempuh apa jua cabaran.Sesungguhnya cabaran bagi umat Islam di Malaysia amat besar, dan kita tidak boleh leka dalam menghadapi cabaran tersebut.Mudah-mudahan kita akan dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433H/2012M.




Sabtu, 4 Februari 2012

Rakyat Perlu Pemimpin Bijak.

Keamanan serta kemakmuran di negara ini membolehkan setiap sambutan perayaan diadakan tanpa sebarang masalah dan semua orang boleh meraikannya.Kerana itu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu bersatu dalam mempertahankan kemakmuran ini dan sentiasa bersama dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentang sebarang anasir yang cuba menggugat keharmonian kaum di Negara ini.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj.  Tajul Urus Mat Zain berkata demikian semasa berucap dimajlis perasmian sambutan Cap Goh Mei anjuran Persatuan Teo Chew Kedah Tengah di Padang Awam,Taman Ria Jaya, Sungai Petani, semalam.

Beliau juga berkata apa yang diperlukan rakyat dari pemimpin ialah kebijaksanaan pemimpin memerintah, rakyat mahu keamanan dan kemakmuran dan kerana itulah apa yang telah dibuat oleh Perdana Menteri untuk menentukan negara ini terus aman dan maju mestilah disokong oleh semua rakyat Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi persatuan Teo Chew Kedah Tengah, En. J.C Cheng memberitahu, sambutan Cap Goh Mei secara besar-besaran seumpama ini telah diadakan sejak 6 tahun lalu iaitu bersamaan dengan usia persatuan Teo Chew sendiri.Pesta kali ini yang berlangsung selama 2 hari menelan kos sekitar RM 80,000 yang disumbangkan oleh ahli persatuan tersebut.Sebelum ini pesta tersebut diadakan di Taman Patani jaya (berhadapan pasaraya Econ Save), namun sejak 2 tahun lalu lokasi sambutan telah diubah kesini kerana kawasan ini lebih luas dan lebih banyak ruang untuk meletak kenderaan, ini katanya, akan memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.


Berdasarkan adat resam masyarakat Cina, aktiviti sambutan Tahun Baru Cina akan berakhir pada hari ke-15, iaitu hari Cap Goh Mei. Masyarakat Cina juga mempunyai adat resam yang unik dalam menyambut Cap Goh Mei.

Cap Goh Mei  yang juga dikenali sebagai 'Pesta Tanglung' merupakan malam pertama bulan purnama selepas Tahun Baru Cina. Pada malam hari Cap Goh Mei, tanglung berwarna-warni akan dinyalakan untuk memeriahkan suasana perayaan tersebut.




Khamis, 2 Februari 2012

Moga Dapat Dihayati Dan Difahami..


Perutusan Naib Canselor UiTM, Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.


Hadirin yang saya kasihi sekalian;

Di dalam negara yang majmuk penduduknya ini, semua kaum, termasuk Melayu dan Bumiputera, China, serta India, majoritinya mahukan keamanan dan menerima kerajaan yang sedia ada. Semua kaum ini adalah rakyat Malaysia, yang cintakan negara, ini. Kita mesti bersatu, saling hormat menghormati antara semua kaum, bangsa,dan agama yang berbeda. Walau bagaimana pun, sesama seagama dan sebangsa, janganlah pula kita bergaduh.

Sebagai kaum majoriti, 60% dalam negara ini, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan orang Melayu dan Bumiputera mempertahankan kerajaan kita sekarang. Jika bukan kerana kerajaan sekarang, UiTM ini, bangsa Melayu dan kaum Bumiputera, tidak mungkin sampai ke tahap pencapaian kita sekarang.

Saya hairan kenapa kita mesti berpecah belah seperti yang berlaku sekarang. Kita sepatutnya sudah bijak untuk menilai kerajaan yang telah menaikkan dan mempertahankan bangsa kita.
Kadang-kadang saya malu dibuatnya.

Baru-baru ini saya balik ke Pulau Pinang, ada reunion dengan kawan-kawan darjah satu dulu. Dari dulu lagi kami tiga puluh orang semuanya. Saya sorang saja Melayu, yang lain semuanya Cina. Kami bercakap tentang banyak perkara, termasuklah politik.

Kawan-kawan saya ni kata (dalam Bahasa Hokien) .... maksudnya: "Ke mana perginya keintelektualan orang Melayu? Kenapa Melayu nak jatuhkan kerajaan sekarang? Kalaulah kami orang Cina kaum Bumiputera, dan kerajaan ini memberi hak istimewa kepada kami, kami akan bermati-matian mempertahankan kerajaan ini!"

Malu mendengar ungkapan yang keluar dari mulut sahabat saya yang berbangsa Cina itu....

Jadi saudara-saudari, kita harus bersyukur, kita mempunyai kerajaan yang memperjuangkan untuk bangsa kita, dan semua kaum yang lain. Kaum kita yang masih ketinggalan ini akan terus dibela, akan terus dipertahankan.

Kita harus bijak. Kita mesti mempertahankan kerajaan ini, agar apa yang kita ada akan terus dikekalkan, akan terus dipertingkatkan.

Kita tidak mahu UiTM hilang. Kita tidak mahu hak-hak kita hilang. Kita tidak mahu kemudahan untuk kita beribadah hilang. Kita tidak mahu harapan anak cucu kita hilang. Kita tidak mahu bangsa kita hilang.

Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar
Naib Canselor
Universiti Teknologi MARA

31Januari 2012
(ucapan perutusan tahun baru)



Sumber: JawaBernam

Rabu, 1 Februari 2012

Penyerahan BR1M Pusingan Ke 2 DUN Bukit Selambau.

Dato' Tajul Urus menyerahkan baucer bantuan kepada seorang penerima sambil diperhatikan oleh
penyelaras DUN Bukit Selambau, En. M.L Maran dan  setiausaha MCA Merbok, En. Chow Kok Leong.


DUN Bukit Selambau mempunyai lebih 15,000 penerima yang layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), manakala bagi DUN Tanjung Dawai, seramai kira-kira 8,000 pemohon juga layak untuk mendapat  bantuan tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh penyelaras parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain semasa menyampaikan ucapan perasmian penyerahan BR1M DUN Bukit Selambau pusingan ke 2, di Dewan Kompleks Penyayang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani.

Menurutnya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang membuat rayuan bagi permohonan yang ditolak atas sebab teknikal, yang mana beliau difahamkan kebanyakan dari pemohon yang merayu akan mendapat bantuan tersebut.

Beliau juga turut menjelaskan, bagi mereka yang masih belum menghantar borang BR1M, mereka masih berpeluang berbuat demikian sehingga 10hb Februari, 2012.Menurutnya tarikh itu yang sepatutnya tamat pada 10 Januari lalu telah dilanjutkan atas arahan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak setelah mengambil kira masih ada sebahagian rakyat yang  belum menghantar borang permohonan BR1M kerana pelbagai sebab termasuk hasutan berniat jahat dari pihak yang tidak senang dengan usaha kerajaan membantu rakyat.

"Ada orang tak berani nak isi borang sebab ada orang jahat kempen, dia kata kalau isi borang nanti LHDN akan mai tengok dalam rumah dia ada barang apa, anak dia pendapatan berapa, harta dia berapa, 'income tax' berapa?, kerana itu masih ada orang yang layak atau susah tetapi masih tak isi borang.Sekarang bila dia tengok orang pergi ambil duit, baru nak menyesal," katanya.

Menurutnya, mereka yang mahu memohon boleh datang terus ke pejabat LHDN yang terletak di tingkat 4 SP Plaza untuk mendapatkan borang permohonan.

Beliau turut menyeru agar semua pihak bersyukur atas keprihatinan kerajaan dan sedar bahawa kerajaan tidak mengambil mudah dan sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat.