Rabu, 30 Mei 2012

'Bayaran Balik PTPTN Boleh Dirunding' - Tajul Urus.


MERBOK - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia memberikan pertimbangan wajar berhubung pembayaran balik pinjaman asalkan peminjam mengadakan perbincangan dengan badan itu.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, walaupun setiap peminjam telah disyaratkan membayar balik pinjaman selepas enam bulan tamat pengajian, pihaknya sedia memberi kelonggaran kepada mereka yang mempunyai alasan munasabah.

Katanya, semua perkara boleh dirunding dengan syarat wujud komunikasi antara peminjam dengan pihaknya.
"Sebenarnya PTPTN menyediakan kaedah yang memudahkan semua pihak termasuk bayaran serendah RM50 sebulan. Kalau tak boleh bayar dalam kadar yang ditetapkan, jangan terus menghilangkan diri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta peringkat Kedah bagi sesi Mei/Jun 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok disini. Seramai 2,999 pelajar di negeri Kedah mendapat WPP dengan jumlah keseluruhan RM4.49 juta.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.


Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata, PTPTN sentiasa bersikap mesra pelanggan asalkan peminjam sedar tanggungjawab mereka untuk membuat pembayaran balik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sehingga 31 Mac 2012, perbadanan itu telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 1.96 juta peminjam dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.85 bilion.
Bagaimanapun katanya, jumlah kutipan balik bayaran masih rendah iaitu sekitar RM3.2 bilion sedangkan jumlah sepatutnya adalah sebanyak RM6.8 bilion.

Mengenai WPP pula, seramai 32,777 pelajar mendapat wang pendahuluan berjumlah RM1,500 setiap orang bagi sesi pengajian Mei/Jun 2012.
"Pengagihan WPP akan dibuat secara berperingkat selepas ini yang meliputi pelajar peringkat diploma, ijazah dan juga politeknik," katanya.

Terdahulu, Shahlan dalam ucapannya berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana kerajaan telah menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.

Selasa, 29 Mei 2012

'Jangan Pertaruh Nasib Negara'


Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bercakap di hadapan sekumpulan wartawan semasa mengadakan sidang media khas berhubung isu berbangkit terhadap beliau di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, Semalam.


"Mentadbir sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia bukan tugas mudah dan hanya parti atau kerajaan yang mempunyai pengalaman serta rekod cemerlang sahaja mampu meneruskan keharmonian yang dinikmati pada hari ini".

Justeru rakyat tidak boleh membuat eksperimen terhadap nasib dan masa depan negara pada pilihan raya umum akan datang kerana kesilapan membuat keputusan bakal menjerumus Malaysia ke dalam situasi tidak menentu seandainya parti dipilih belum bersedia.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat rumusan itu berkata, sehingga kini pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menggantikan Barisan Nasional (BN) masih lagi bertelagah mengenai soal pembahagian jawatan sehingga gagal membentuk Kabinet bayangan.
 
Katanya, sebagai sebuah parti yang mahu memerintah negara ini, pakatan pembangkang sepatutnya sudah menyelesaikan soal pembahagian tersebut lebih awal dan bukan hanya akan berbuat demikian selepas mereka berjaya menawan Putrajaya.

"Kalau mereka berjaya menawan Putrajaya dan pada masa itu bertelagah siapa akan jadi Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana Menteri. Kedudukan apa yang akan diserah kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, apa akan jadi kepada negara?

"Sebaik sahaja anda (pembangkang) melangkah ke Putrajaya, rakyat mahu tahu (senarai Kabinet) atau dalam kata lain negara tidak boleh tunggu. Sebab itu saya cakap mentadbir Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa bukan tugas mudah, ia tugas yang sangat kompleks.

"Tapi semua parti akan mendakwa mereka layak dan kalau begitu (dalam kes pembangkang) tunjukkan dulu Kabinet bayangan bagi memberi keyakinan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Bandar Sri Damansara.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan terbuka Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, Tunku Abdul Aziz berkata, pengisian jawatan pemimpin nombor satu negara perlu dibuat mengikut konvensyen dan amalan sedia ada.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan Melayu sebagai Perdana Menteri tetapi katanya, jawatan tersebut seharusnya kekal diisi orang Melayu kerana jawatan itu merupakan 'menteri pertama' kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Yang di-Pertuan Agong Islam dan selaku 'menteri pertama' kepada beliau sudah tentu Seri Paduka mahu Perdana Menteri berada bersama dalam majlis keagamaan Islam tetapi bagaimana kalau Perdana Menteri bukan Melayu, ini realiti yang perlu diakui," katanya.

- Utusan.

Isnin, 28 Mei 2012

Semua Calon Layak Jadi MB - Ahmad Bashah.

ALOR SETAR – Semua calon Umno yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang layak menjadi Menteri Besar, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bakar Bata itu berkata, calon Menteri Besar akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Kedah.

"Yang penting sekarang ialah fokus dan bekerja keras untuk menang, lepas itu kita lihat siapa lebih layak (jadi Menteri Besar),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ketua unit PRU-13 Parlimen Alor Setar di sini Ahad.

Ahmad Bashah berkata, spekulasi bahawa timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bakal menjadi Menteri Besar Kedah dan akan bertanding kerusi DUN pada PRU-13 sengaja ditimbulkan oleh pihak luar bertujuan memecah-belahkan Umno negeri.

"Umno tidak perlu tonjolkan sesiapa untuk jadi Menteri Besar kerana calon yang bakal bertanding pun tidak dihebohkan,” katanya sambil meminta semua media elektronik, cetak termasuk blog segera menghentikan spekulasi tersebut. – BERNAMA

Ummi Hafilda Di Sungai lalang, 1,500 Orang Tak Berganjak Hingga Ke Akhir.








Undi Pas Masuk Syurga Fatwa Sesat, Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram Bakal Dikafirkan Kerana Menyanggah Nik Aziz!

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.
Menurut Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.

Jelas beliau, syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi manakala neraka pula adalah azab Allah ke atas mereka yang sesat, kufur atau syirik.
“Antara amalan ketaatan kepada Allah dan penolakan daripada apa yang telah dilarang ialah menolak kepuakan dan menjauhi kepartian. Tidak ada dalil dalam Al-quran dan sunah untuk melibatkan diri dengan kepartian atau menjadikannya jalann kepada perkara yang baik dan betul”

“Bahkan ia adalah bidaah dari barat (iaitu kepartian). Ia tidak wujud pada umat Islam dalam kurun terawal (zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan at-tabiin),” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Sulaiman yang kemudiannya ditanya tentang seruan  pemimpin parti tertentu terhadap kepelbagaian agama dan mengatakan semua agama adalah sama berkata, pendapat itu adalah kufur dan golongan yang berpegang dengan pendapat sedemikian di zaman silam ialah Ikhwan Safa.

Mereka ini katanya, terdiri dikalangan Syiah Batiniyah yang muncul di abad ketiga Hijrah serta telah dihukum kafir oleh semua ulama Hanafi, Maliki dan Hambali kerana berkata secara literal bahawa : “pandangan kami mencakupi semua mazhab dan agama kami mencakupi semua agama.
“Pendapat itu adalah suatu kekufuran kerana agama yang sebenarnya disisi Allah ialah Islam sahaja dan tiada agama lain yang setanding dengannya. Pada zaman moden ini lahir doktrin Freemason yang menyeru supaya mengingkari semua agama atau menyeru kepada penyatuan semua agama dalam satu mazhab.
Ini adalah perbuatan murtad dan keluar dari agama Allah,” tegas beliau.

Mengenai usaha menumbangkan kerajaan sedia ada di negara ini serta menyeru supaya diadakan demonstrasi jalanan, katanya, usaha itu bukanlah jalan kedamaian.
“Agama rasmi Malaysia adalah Islam dan syiar Islam (di negara ini) adalah nyata. Makaadalah menjadi kewajibpan umtuk nasihat menasihati dan membuat perdamaian. Ini adalah Manhaj (Prinsip Dasar) Nabi Muhammad SAW.

“Manakala demontrasi jalanan adalah meniru perbuatan barat yang jauh lebih banyak mendatangkan kerosakan dan kemudaratan keatas umat Islam daripada kebaikan yang diharapkan.,” jelsnya.
Sementara itu, Sulaiman ketika memberi reaksi terhadap kaedah kafir mengkafir yang digunakan oleh sesetengah orang Islam dan ahli politik untuk memancing undi berkata, ia tidak dibenarkan terutama jika digunakan terhadap seorang muslim yang masih lagi mengamalkan amalan Islam yang zahir serta masih mengucap dua kalimah syahadah.

Katanya, sesiapa yang menggunakan pendekatan itu terhadap umat Islam maka tuduhan tersebut akan kembali kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang berkata kepada saudara Islamnya ‘ wahai kafir’ tuduhan itu akan kembali kepadanya.”
“Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk berbaik sangka dengan saudara seIslam dan bergaul dengan cara yang baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan seseorang muslim tidak dibenarkan untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menentang saudara seagama.
Kata beliau, sejarah dengan jelas telah membuktikan minoriti bukan Islam tidak akan mengundi  untuk parti islam melainkan jika parti Islam itu berkompromi sesuatu dari agama dan perbuatan tersebut boleh mendatangkanmbahaya besar kepada umat Islam.


Tun Dr. M, Maha Firaun?






Muslimin & muslimat,

Insan ini bukan ulamak, namun dia tetap menunaikan solat iaitu kewajiban seorang muslim.

Dia mengaku ilmu agamanya tidak sehebat TGNA, tapi dialah yang mengerakkan negara islam yang lain untuk membantu ketika umat islam disana disembelih oleh pengganas Serb.

Dia pernah menangis ketika melawat Bunker yang menjadi pejabat Yasser Arafat di Palestine.

Insan ini digelar Maha Firaun, dan dia jugalah yang lantang mengutuk kekejaman Zionis keatas umat islam serta mempertahankan islam dimata dunia, dia tak hanya duduk berdoa tanpa berbuat apa-apa.

Ketika saudara Islam yang berlainan parti mendoakan kecelakaan untuknya, dia dijemput oleh Allah SWT masuk ke dalam Kaabah.

PALING UTAMA

Seumur hidupnya, dia tiada video seks dan tidak pernah menyokong usaha menyelamatkan negara Israeldia jugalah yang lantang mengutuk kekejaman Zionis keatas umat islam serta mempertahankan islam dimata dunia.Dia tak hanya duduk berdoa tanpa berbuat apa2.
Ketika saudara islam yang berlainan parti mendoakan kecelakaan untuknya.Dia dijemput oleh Allah SWT masuk ke dalam Kaabah.
PALING UTAMA
Seumur hidupnya,dia tiada video seks dan tidak pernah menyokong usaha menyelamatkan negara Israel

- Rosdi Hassan

Jumaat, 25 Mei 2012

KDN Haramkan Buku Irshad Manji.


KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri mengharamkan penerbitan buku tulisan Irshad Manji bertajuk ”Allah, Kebebasan dan Cinta” dan versi Bahasa Inggeris ”Allah, Liberty and Love” kerana mengelirukan orang awam dan menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis.

Timbalan menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya ”boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.” Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), katanya.
"Antaranya, pandangan terhadap perkahwinan campur antara Muslim dan bukan Muslim sebagai sesuatu yang harus dan pemahaman ini boleh menjurus kepada pluralisme,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata buku itu juga mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW yang digambarkan dalam keadaan yang boleh mencemar kesucian agama Islam.
Selain itu, katanya buku itu juga mempertahankan fahaman sekularisme dengan mencampuradukkan dengan nilai-nilai akidah.
"Ia turut memberikan penerangan terhadap pelaksanaan kewajipan solat fardu lima waktu yang boleh didirikan dalam pelbagai pergerakan dan bahasa malah lebih dari lima kali sehari,” katanya.
Abu Seman berkata kenyataan ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam terhadap kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu.

Buku ini juga menyeru kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan penolakan konsep ijmak yang dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-hadis. — BERNAMA

Rabu, 23 Mei 2012

Analisa Debat Khairy Jamaludin dengan Rafizi Ramli.



Analisis Debat PTPTN...

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sememangnya debat antara Saudara KJ dan Rafizi mengenai topik PTPTN sangat hangat dibualkan. Ada yang mendakwa bahawa KJ memenangi perdebatan itu, ada yang mendakwa Rafizi yang menang, dan sebagainya. Di sini, izinkan saya menulis analisis saya mengenai debat tersebut. InsyaALLAH, saya akan mendedahkan fakta-fakta yang tepat dan benar mengenai debat itu.

1. Sikap Rafizi yang cuba mengubah topik yang tidak berkaitan dengan topik perdebatan itu sangat mendukacitakan. Pertanyaan yang tidak berkaitan dengan topik bagi saya tidak usahlah dijawab oleh saudara KJ. Kalau perlu pun, itu mungkin dalam perdebatan yang lain.


2. Saudara Rafizi kelihatan memilih perbandingan yang langsung tidak munasabah untuk menyokong pendapatan beliau mengenai pendidikan percuma. Malah, beliau memberi fakta yang salah kepada umum dan KJ tidak berkesempatan untuk membidas fakta Rafizi.

3. Maka, tugas saya di sini untuk membidas saudara Rafizi. (Sebenarnya, saya sangat berkobar-kobar untuk duduk di tempat KJ kelmarin, hehehhe...) Pertama, Rafizi mendakwa bahawa negara Finland yang lebih miskin daripada Malaysia dan hanya bersumberkan satu sahaja sumber ekonomi iaitu Nokia yang itu pun sedang mengalami masalah kerana penguasaan Blackberry mampu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, mengapa tidak Malaysia. Benarkah dakwaan itu? Sini, Kapten Malaysia (hensem?) mahu menidakkannya. :)


4. Finland sebenarnya mempunyai banyak sumber ekonomi. Saya sertakan statistik sumber ekonomi Finland untuk tatapan umum:

A) Agriculture and forestry 4.5%,

B.) Industry 18.3%

C.) Construction 7.3%

D.) Commerce 16%

E.) Finance, Insurance, and Business services 14.5%,

F.) Transport and communications 7%

G.) Public services 32.4%


Sekarang ni, mana datangnya sumber dakwaan Rafizi yang mengatakan bahawa Finland hanya bersumberkan ekonomi daripada Nokia sahaja?

5. Benarkah Finland lebih miskin daripada Malaysia? Saya nak tergelak mendengarkan dakwaan saudara Rafizi itu. Hehehehe... (gelak malu). Menurut data daripada Bank Dunia, Malaysia jauh ketinggalan dalam ranking GDP. Finland menduduki tangga ke-17. Malaysia punya kekayaan menduduki ranking ke-69. Apa kejadahnya nak bandingkan Malaysia dengan Finland yang lebih kaya daripada Malaysia. Bahkan dengan kekayaan negara yang ke-17 terkaya di dunia, Finland hanya perlu menangung 5 Juta rakyat Mereka sedangkan Malaysia yang mempunyai kekayaan yang ke 69 dunia, perlu menanggung 30 Juta rakyat Malaysia.


Sumber saya di sini: http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_countries_by_GDP_(nominal)_per_capita6http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_countries_by_GDP_(nominal)_per_capita6 .


Perbandingan ini sangat tidak relevan. Anda cuba membandingkan epal dengan rambutan (bak kata saudara KJ). Saudara Rafizi ni, awak kena adil tau. Jangan nak spin fakta macam ayahanda Anugerah Tuhan kamu itu. Hehehehe.. tak baik tau. Kita ambil epal kalau nak dibandingkan dengan Epal. Erm... nak ambil contoh apa ya ?


7. Dah dapat! Apa kata kita ambil Brazil yang menduduki di tangga yang lebih kurang sama dengan kita. Brazil ialah salah satu daripada negara yang mendirikan pendidikan percuma. Ya, pendidikan percuma tetapi tahukah saudara Rafizi bahawa cukai di Negara Brazil ialah antara yang tertinggi di dunia? Tak..tak... saya tak buat spesikulasi saya sendiri tau Pak Fizi ya? Tak percaya? Mari-mari, kita mengembara lagi. Biar celik mata semua.

8. http://thebrazilbusiness.com/article/the-16-most-common-brazilian-taxeshttp://thebrazilbusiness.com/article/the-16-most-common-brazilian-taxes


"Brazil is known for charging a high tax burden from its citizens and companies established. We will provide an overview of the most common taxes in Brazil, dividing them into Federal, State and Municipal taxes."

Kenyataan itu dipetik daripada orang Brazil sendiri. Lihat betapa tingginya dan banyak cukai di negara mereka untuk menampung pendidikan percuma. Rafizi kena terima hakikat nothing is free dalam dunia ini. Ada harga yang perlu dibayar sekiranya mahukan pendidikan percuma. Dan harga yang perlu dibayar untuk pendidikan percuma ialah CUKAI YANG TINGGI.


9. Tak puas hati lagi? Mari-mari menjelajah negara nombor satu dalam sukan bola sepak ini. Lagi artikel yang merungut mengenai hidup di Brazil yang sangat tinggi dengan cukai. Mereka memberi tajuk kepada artikel ini dengan ayat ini:

" Everyday taxes in Brazil: IPVA, IPTU and IPTR!"



Nak link ke ? Takut saya menipu? Ehh, jangan tuduh tau.

Saya ni sesuci Anugerah Tuhan dan Pak Rafizi ye? (sarcasm). Nah, ambil ni:

http://thebrazilbusiness.com/article/everyday-taxes-in-brazil-ipva-iptu-and-iptrhttp://thebrazilbusiness.com/article/everyday-taxes-in-brazil-ipva-iptu-and-iptr


10. Saudara Rafizi mengatakan bahawa pendidikan di Turki itu percuma. Heheheh, kaki kelentong betul lah awak ni. Awak fizi yang comel, tak nampak ke apa yang berlaku di Turki? Kalau pengikut-pengikut kamu, bolehlah kamu tipu ye? Tapi, tidak saya.

http://www.businessturkeytoday.com/turkey-students-arrested-for-demanding-free-education-during-protests.htmlhttp://www.businessturkeytoday.com/turkey-students-arrested-for-demanding-free-education-during-protests.html


Eh, apa benda tu? Kata Turkey ni menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat, tetapi kenapa sebaliknya? Sampai kena tangkap tu Mahasiswa Turkey. Hehehehe... Abam Rafizi, udah-udahlah tu ya menjadi penipu ?

11. Kalau kita lihat pada permulaan debat, kita dapat melihat statistik dan nombor yang dikeluarkan oleh KJ mengenai perbelanjaan yang sedang ditanggung dan bakal ditanggung oleh kerajaan sekiranya mahukan pendidikan percuma. Kemudian, Rafizi membidas bahawa fakta itu penipuan dan mereka membuat kiraan mereka sendiri lalu menampilkan nombor mereka sendiri.

12. Sekarang, saya mahu bertanya kepada semua, anda percayakah fakta daripada Rafizi ini sedangkan dia sudah menipu kita dengan teori Finland dan Turkinya? Sekali menipu, dua kali menipu, tak mustahil dia akan menipu untuk sekian kalinya memandangkan penipuan itu ialah darah dagingnya.

13. Perkara lain, saya tak perlu saya ulas pajang lebar. Isu hutang dan sebagainya, saya rasa dah dijawab dengan kemas oleh saudara KJ.

14. Oh ya, ada lagi yang saya nak perkatakan. Rafizi suruh sifu kamu tu tunaikan janji bulan bintangnya pada penduduk Selangor. Bukan satu dua ye, berbelas tau. Ini janjinya pada penduduk Selangor pada PRU yang lepas pun tak habis ditunaikan, ada hati bercakap mengenai topik yang lebih besar.


15. Meh, saya senaraikan janji-janji puak anda yang tak tertunaikan sebelum nak menabur janji lain.

- membuka tabung permulaan RM 100 bagi setiap anak kelahiran selangor.

-memberi bantaun RM 75.00 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nuseri.

-memberi bantuan RM 50 kepada seorang bagi pendidikan pra sekolah.

-memberi hadiah tawaran RM 1000 kepada setiap anak selangor yang masuk ke universiti.

Dan belasan lagi janji-janji2 yang terabai.

Kesimpulannya ialah kebanyakan daripada fakta yang dibentangkan oleh Rafizi sebenarnya lebih kepada puta belit yang dipelajari daripada sifunya Anwar Ibrahim. Dan motif artikel ini ditulis untuk menjawab tuduhan tidak berasas Rafizi. Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, InsyaALLAH kalau ada kesempatan, saya akan kembali menyambung artikel ini, mungkin dengan analisis yang lebih padat dengan fakta.

Akhir kata daripada saya, TAHNIAH SAUDARA KJ KERANA berani berdepan dengan orang seperti Rafizi Ramli yang suka lari daripada tajuk dan kaki spin ini. Hehehehe.... Assalamualaikum.

Oleh Helmi Effendy

Sumber : https://www.facebook.com/notes/helmi-effendy/analisis-debat-ptptn/363515647034827https://www.facebook.com/notes/helmi-effendy/analisis-debat-ptptn/363515647034827




RM43.85 Billion Dilulus Sejak PTPTN Ditubuhkan.


MERBOK - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah meluluskan pembiayaan pendidikan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.85 billion kepada 1.96 juta peminjam sejak penubuhannya pada 1997.

Mendedahkan perkara itu, ahli lembaga pengarah PTPTN, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, hakikat itu adalah selaras dengan objektif utama penubuhannya iaitu bagi memastikan pembiayaan kewangan yang efisien dapat disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan supaya tiada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab faktor kewangan.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di UiTM Merbok disini.Turut hadir Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail serta Rektor Uitm Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr. Haidar Dziyauddin.

Pada majlis itu seramai 2,999 orang pelajar baru yang bakal menjejakkan kaki ke IPTA dan Politeknik dari Negeri Kedah, menerima waran WPP yang merupakan sebahagian daripada jumlah pembiayaan pendidikan yang diberikan lebih awal untuk persiapan pelajar sebelum mendaftar masuk ke IPT.

Beliau turut menjelaskan, pinjaman PTPTN bagi Negeri Kedah sehingga 31 Mac 2012 melibatkan seramai 160,495 peminjam dengan peruntukan berjumlah 3.5 billion sehingga tamat pengajian.
Menyentuh isu bayaran balik, beliau berkata, sehingga 31 Mac 2012, PTPTN telah membuat kutipan semula berjumlah RM3.2 billion berbanding komitmen PTPTN untuk membiayai pelajar sehingga tamat pengajian iaitu RM43.85 billion yang merupakan jumlah yang jauh lebih besar berbanding dengan kutipan balik.

"Jadi ini merupakan satu tanggungan oleh PTPTN yang agak besar namun atas dasar tanggungjawab PTPTN terpaksa mencari jalan dalam keadaan apa sekali pun untuk membiayai pelajar-pelajar yang semakin bertambah setiap tahun," katanya.


Video Penuh Debat KJ - Rafizi Isu PTPTN.


Isnin, 21 Mei 2012

BN Mampu Tawan Kedah Jika Tiada Cantas Mencantas - Dr. M.


KUBANG PASU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) jika masalah cantas mencantas tidak lagi berlaku di kalangan pemimpin dan ahli parti itu.

Beliau berkata, ketua-ketua UMNO bahagian juga telah membuat ikrar di hadapannya untuk memastikan perbuatan itu yang terjadi pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak berulang di bahagian masing - masing.
"Saya tekankan tentang perkara ini dan saya dapati masing-masing faham, saya rasa mungkin di Kedah semakin berkurangan masalah ini.

"Ketua-ketua UMNO bahagian juga buat pengakuan ikrar, kita pegang kepada ikrar, sekarang semua tahu bukan ketua UMNO sahaja, tetapi yang lain pun sedar sebab kalau dia cantas lalu dia naik maka orang lain akan cantas dia juga," katanya.
Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Majlis Perjumpaan Pemimpin-Pemimpin UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra.

Beliau berkata, perbuatan cantas mencantas pada Pilihan Raya Umum 2008 antara faktor menyebabkan kebanyakan calon UMNO kalah walaupun ramai rakyat masih mahu BN mentadbir kerajaan negeri.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada perbuatan pemimpin tertentu yang mahu menjadi calon tetapi tidak dipilih sebagai calon pilihan raya.
Bagaimanapun, tambah beliau, UMNO Kedah sudah berusaha mengurangkan masalah itu dan ketika ini ketua-ketua UMNO bahagian juga sudah berjanji untuk menyokong siapapun yang akan dipilih menjadi calon BN walaupun calon 'payung terjun'.

"Saya tekankan yang penting bukan siapa jadi calon tetapi yang penting parti menang, kalau calon bukan orang UMNO pun kita sokong, sebab kita nak BN menang.
"Bagi saya, saya tak kira sama ada calon itu winnable atau tidak tetapi asalkan dia calon BN kita bagi dia menang," jelasnya.

Dr. Mahathir berkata, peluang BN untuk menawan semula Kedah pada PRU13 juga amat cerah kerana situasi kini berbeza dengan 2008 yang menyaksikan pengundi tidak mengundi BN disebabkan kecewa dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya jumpa orang seperti ini yang sakit hati kerana terpaksa undi parti lain sebab dia marah, tetapi sekarang zaman Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, parti-parti komponen BN didapati agak lemah dan mereka perlu dipulihkan serta dibantu oleh UMNO di peringkat bahagian.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir mengulangi nasihatnya agar pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya tidak terlibat dengan perbuatan cantas mencantas dan berpecah belah bagi memastikan BN memenangi PRU13 di Kedah.

Menurutnya, ahli-ahli UMNO mesti bersatu kerana perjuangan UMNO ialah untuk memenangkan parti bagi membentuk kerajaan dan bukannya untuk kepentingan pemimpin tertentu.
"Kekalahan UMNO ibarat Melayu menjadi bangsa yang hilang kuasa di negara sendiri... kita tak boleh menjadi bangsa yang berpecah belah," jelasnya.

Pas Cari Alasan?



KUBANG PASU 20 Mei - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan syarat untuk bermuzakarah dengan UMNO menunjukkan Pas sebenarnya mencari alasan untuk tidak mahu berbuat demikian.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sepatutnya Nik Abdul Aziz tidak perlu meletakkan syarat untuk mengadakan muzakarah atau berbincang demi perpaduan umat Islam serta kepentingan orang Melayu di negara ini.

"Tak payahlah bersyarat-syarat, kita muzakarah nak cari perpaduan di kalangan orang Islam dan orang Melayu, jadi apa nak syarat pula. Itu (syarat) pasal nak bagi alasan tak mahu muzakarah, nanti kata tak cukup syarat," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada majlis perjumpaan pemimpin-pemimpin UMNO Kedah di Dewan Wawasan Jitra, di sini hari ini.

Lebih 672 pemimpin empat peringkat dari bahagian seluruh negeri hadir bersama ketua masing-masing pada majlis berkenaan.
Semalam, Nik Abdul Aziz meletakkan tiga syarat sebelum diadakan muzakarah termasuk UMNO perlu menerima rakan pakatan Pas iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menukar dasar kebangsaan kepada dasar Islam secara rasmi dan mencadangkan muzakarah diadakan sebelum pilihan raya umum.

Beberapa pemimpin Pas termasuk Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar bagaimanapun dilapor menolak cadangan mengadakan muzakarah.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi maklum balas bahawa parti itu sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir menyindir Pas kerana sanggup meletakkan syarat untuk berbincang dengan UMNO melibatkan hal Melayu, tetapi tiada sebarang syarat pula untuk bekerjasama dengan DAP.
"Dengan DAP, Pas tak letakkan syarat pula sampai Karpal Singh kata langkah mayat dia dulu pun tak apa. Beliau belum jadi mayat pun dia (Pas) dah setuju, untunglah Karpal," katanya.

Ditanya mengenai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum, beliau mengulangi pendapatnya bahawa ia sesuai diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Sambil berseloroh, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pasti bila tarikh tersebut kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membisikkan perkara itu ke telinganya.

"Tapi pada pendapat saya lepas rayalah, lebih baik lepas raya sebab dia (pengundi) sudah puasa, barang kali dekat sikit dengan Tuhan, ingat sikit dia dah puasa," ujarnya berseloroh. - UTUSAN.

Selasa, 15 Mei 2012

Niat Murni Bertukar Tragedi.

BEDONG – Niat murni seorang anak untuk pulang menemui ibu dirumah sebelum kembali ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan bertukar tragedi apabila terlibat dalam kemalangan jalanraya.

Siti Maryam Abdul Rahman, 33, ibu kepada Muhamad Adam Samsudin, 13 , menceritakan, pada tanggal 25 April, 2011, anaknya yang ketika itu pelajar tahun 6, Sekolah Kebangsaan Seri  Aman disini dalam perjalanan untuk ke sekolah apabila dilanggar sebuah kereta yang dipandu laju hingga mengalami kecederaan parah.

Akibat kemalangan itu, Adam anak sulung dari 2 beradik, mengalami kecederaan otak, keretakan tempurung kepala serta kecederaan paru-paru. Adam menerima rawatan kecemasan di Hopital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan.
Adam, sebelum kemalangan.
Adam yang berada dalam koma selama 2 minggu sebelum mulai sedar tidak lagi seperti dahulu. Kecederaan pada otak yang dialaminya menyebabkan Adam kini terlantar kaku diatas katil sejak setahun lalu.

Maryam yang sebelum ini memiliki sebuah restoran di sini, terpaksa melupakan perniagaannya itu demi untuk memberi tumpuan menjaga Adam.Tinggi harapannya agar Adam kembali pulih.
Ditanya tentang kos bagi penjagaan, Maryam menjelaskan mereka memerlukan sekitar RM1,800 setiap bulan bagi menyediakan keperluan Adam termasuk susu, lampin pakai buang serta kos ulang alik bagi menjalani rawatan fisioterapi di HSAH. Katanya sumber kewangan keluarga itu kini hanya bergantung kepada suaminya yang berpendapatan RM1,8000 sebulan.

Sementara itu, seorang saksi di tempat kejadian yang tidak mahu dikenali menceritakan, ketika kejadian, Adam sedang mengayuh basikalnya melintasi jalan di lintasan pejalan kaki apabila dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju menyebabkan Adam tercampak kira-kira 10 meter dari tempat kemalangan. Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, kemalangan itu berlaku kerana pemandu kereta tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah ketika itu bagi memberi laluan kepada pejalan kaki.

Tajul ketika melawat Adam baru-baru ini.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain ketika mengulas berkenaan perkara itu berkata, pihak beliau telah beberapa kali melawat keluarga Adam serta menghulurkan bantuan dari segi kewangan, susu, lampin pakai buang dan sebagainya.

Beliau juga turut berharap agar pampasan insurans bagi kes ini dapat segera diselesaikan kerana keluarga Adam kini amat memerlukan sokongan kewangan bagi menampung kos rawatan dan penjagaan Adam.

"Kita memahami bahawa dalam kes sebegini, tuntutan insurans selalunya mengambil masa, dan saya tidak pasti samada ia boleh dipercepatkan atau tidak, namun kita akan cuba untuk sentiasa bersama keluarga Adam bagi membantu setakat yang boleh," ujarnya.

Sabtu, 12 Mei 2012

KVTTB Bela Nasib Veteran Tentera Tidak Berpencen.


SUNGAI PETANI –Lebih 200,000 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara kini boleh menarik nafas lega berikutan tertubuhnya Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) 1 Malaysia yang bermatlamat untuk membela nasib mereka. Kumpulan yang mula ditubuhkan pada 1 February 2012 itu sehingga kini telah mendaftarkan hampir  20,000 ahli di seluruh negara.

Mohd Sabri
Pengerusi KVTTB , Mohd Sabri Abdul Malik berkata, penubuhannya adalah bagi mengenang jasa veteran yang tidak menerima apa-apa imbuhan dari kerajaan selepas bersara. Mereka -mereka ini adalah anggota yang berhenti sebelum mencapai 21 tahun dalam perhidmatan bagi melayakkan mereka menerima pencen.
“Mereka ini juga adalah bekas tentera yang banyak berjasa dalam memelihara dan menjaga keselamatan negara. Jadi kerana itu KVTTB ditubuhkan bagi membela veteran  ini yang tidak mendapat apa-apa dari kerajan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis perasmian pendaftaran ahli KVTTB peringkat Negeri Kedah oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain di Kompleks Penyayang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disini.

Menurutnya lagi, pada masa sama, Koperasi Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KKVTTB) juga telah ditubuhkan.
Mohd Sabri berkata,dalam perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib baru- baru ini, beliau telah bersetuju untuk menyalurkan dana bagi membantu koperasi tersebut.Ini katanya, bagi membolehkan ahli-ahli KVTTB mendapat keuntungan dari aktiviti koperasi itu kelak.

Selain itu katanya, Perdana Menteri juga telah menimbangkan dan bersetuju terhadap beberapa tuntutan mereka.

“itu kita tidak mahu beritahu sekarang, biarlah Perdana Menteri sendiri yang umum bila sampai masanya,” katanya.
Beliau turut memberitahu, KVTTB tidak disertai oleh mana-mana bekas anggota tentera yang berpangkat besar dan tidak terikat langsung dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia.

Maklumat lanjut serta borang keahlian KVTTB boleh didapati melalui laman blog, kvttb1malaysia.blogspot.com/.
Sementara itu, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, penubuhan KVTTB  adalah wajar bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan dan kebajikan mereka diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya merasakan tuntutan mereka juga perlu ditimbang secara serius memandangkan mereka juga adalah termasuk dalam kalangan wira yang pernah mempertahankan negara,
“Jadi saya amat bersetuju untuk YAB Perdana Menteri mempertimbangkan permohonan mereka dan pada masa yang singkat ini setidak-tidaknya, satu atau dua tuntutan itu dapat dipenuhi,” katanya.

Tajul bersama leonard Cristhopher Peterson, 77,
veteran perang dari Battalion Pertama Regimen Persekutuan 1953.

Menyampaikan sumbangan kepada veteran cacat anggota.

Ahad, 6 Mei 2012

Pas Akui Sukar Saingi UMNO Raih Undi Melayu Luar Bandar.


Pas mengakui agak sukar bagi parti itu untuk bersaing dengan UMNO bagi mendapatkan sokongan pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar dan Felda.


Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meraih sokongan di kedua-dua kawasan itu.


"Ruang bagi Pas yang bersaing dengan UMNO bagi merebut sokongan pengundi Melayu sehingga saat ini kita akui masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah khususnya di kawasan luar bandar dan Felda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pas Perak ke-16 di Ipoh, hari ini.

Katanya satu daripada faktor Pas gagal meraih sokongan pengundi ialah pendekatan inklusif yang dilaksanakan parti itu di mana program yang diadakan terlalu bersifat kepartian.

Pada sidang media kemudiannya, Tuan Ibrahim berkata Pas Pusat telah menerima senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Kebiasaannya setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen akan hantar sekurang-kurangnya dua nama dan Majlis Syura telah meluluskan dua nama tersebut di seluruh negara.

"Semua calon telah diputuskan di peringkat Majlis Syura dan sekarang kita turunkan calon ke peringkat Jawatankuasa Pusat parti dan jawatankuasa itu yang akan putuskan siapa calon (yang akan bertanding) dalam masa terdekat," katanya.

Selain itu, katanya pembahagian kerusi di kalangan parti dalam pakatan pembangkang telah 90 peratus selesai. - BERNAMA

Pembangkang Tidak Yakin Menang Dalam PRU Ke-13: Dr Mahathir


Pakatan parti pembangkang - PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP - sebenarnya tidak yakin dapat memenangi pilihan raya umum ke-13 dan kerana itu mereka membuat banyak tindakan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, sejak negara merdeka 55 tahun lalu, pembangkang tidak pernah berjaya menjatuhkan kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN)."Mereka (pembangkang) sedang bersedia kalau kalah lagi dalam pilihan raya akan datang, mereka akan cetus huru-hara dengan membuat demonstrasi, buat desakan kononnya kerajaan sekarang ini tipu bagi membolehkan Barisan Nasional menang.
"Inilah pendekatan mereka sekarang," katanya kepada pemberita selepas majlis Wacana Tokoh Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah di sini hari ini.Dr Mahathir berkata, beliau yakin kerajaan yang ada sekarang kuat dan mampu untuk menjaga keamanan negara."Kalau kerajaan lemah, mereka tidak akan mampu untuk mentadbir negara dengan baik seperti sekarang dan mungkin juga akan digulingkan oleh rakyat," katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat perlu berhati-hati dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai pemimpin pilihan Amerika."Sejak zaman saya menjadi Perdana Menteri lagi, dia (Anwar) telah dianggap sebagai PM Malaysia oleh Amerika dan dia sendiri pernah membawa (anggota) Kongres Amerika datang ke sini," katanya.Selain itu, Dr Mahathir berkata, terdapat kemasukan wang asing di negara ini bagi menjayakan agenda negara kuasa besar itu.
"Saya tahu banyak juga NGO (Badan Bukan Kerajaan) yang mendapat bantuan wang daripada badan-badan tertentu Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Mereka bagi wang ini untuk menjayakan agenda mereka bukannya agenda kita."Ia berlaku sejak dari zaman saya lagi dan NGO itu telah diperalatkan. Saya yakin parti-parti politik pun ada yang terima wang tersebut," katanya.Beliau menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dan memilih pemimpin yang betul bagi mengelakkan negara dikongkong dan dijajah semula.Terdahulu, dalam ucapannya Dr Mahathir berkata, pelbagai pembangunan dilakukan kerajaan pusat bagi memberi kesenangan kepada rakyat.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin dan sentiasa memikirkan nasib rakyat dan untuk membela rakyat," katanya. - BERNAMA

Alahai, Kesian Saifuddin..

Susulan  kenyataan setiausaha Agung PKR,Saifuddin Nasution Ismail di sebuah akhbar tempatan sebelum ini mendakwa kononnya Datuk Wan Ahmad Wan Omar seorang anggota UMNO siap dengan No.Keahlian 2374564 yang berdaftar di Cawangan Umno Kubang Bunggor,Pasir Mas,Kelantan.
Datuk Wan Ahmad.


PASIR MAS - Wan Ahmad Wan Omar, ahli Umno cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas, yang menjadi perhatian ekoran pendedahan isu keahlian Umno oleh Setiausaha Agung PKR baru-baru ini, sebenarnya bukan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan oleh itu, dia melahirkan simpati dengan Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut Wan Ahmad, dia perlu menjelaskan hal sebenar setelah nombor kad pengenalannya 490101-03-5179 disebut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai milik Timbalan Pengerusi SPR.
Saifuddin mengaitkan nombor kad pengenalan lelaki itu sebagai dakwaan bahawa Datuk Wan Ahmad ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor, Pasir Mas.

“Sebenarnya, ahli Umno Cawangan Kubang Bunggor adalah saya, dan nombor kad pengenalan itu milik saya,” kata Wan Ahmad, peniaga kedai makan yang ditemui Sinar Harian, semalam.
Wan Ahmad berkata, meskipun kenyataan Saifuddin tidaklah menjejaskan dirinya, namun dia berasa simpati kepada Datuk Wan Ahmad yang dituduh ahli Umno hanya sebab nama sama dengannya.

“Apa lagi sehingga dia (Datuk Wan Ahmad) digesa letak jawatan,” katanya.
Sinar Harian, 26 April lalu menyiarkan kenyataan Saifuddin mendakwa Datuk Wan Ahmad dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai ahli Umno lalu mencabar kedua-duanya membuat penafian sebelum beliau mendedahkan lebih terperinci maklumat keahlian mereka.

Saifuddin turut desak Abdul Aziz dan Datuk Wan Ahmad lepaskan keahlian mereka bagi membuktikan SPR bebas dan berkecuali.
Saifuddin turut sertakan maklumat bahawa Wan Ahmad bin Wan Omar, kad pengenalan bernombor 490101-03- 5179 dan kad pengenalan lama 2756290 adalah ahli Umno bernombor 2374564 di cawangan Kubang Bunggor, Bahagian Pasir Mas, Kelantan.

Apabila ditunjukkan kepadanya maklumat itu, Wan Ahmad berkata: “Ia berkaitan dengan diri saya, bukan Timbalan Pengerusi SPR.”
Datuk Wan Ahmad dalam satu kenyataan disiarkan Sinar Harian, 3 Mei lalu nafi beliau ahli Umno sekali gus menuntut Saifuddin mohon maaf secara terbuka.

Saifuddin dalam susulan sehari kemudian, pertahan dakwaan itu dengan akui sudah kemukakan ‘bukti’.
“Saya tak peduli dengan penafian dibuat. Saya telah kemukakan bukti. Jika bukti saya salah, kemukakan yang benar. Itu persoalan utama,” katanya - SH

BN Beri Khidmat Kelas Pertama Di Merbok.

"Bagi saya tiada jalan mudah menawan semula Kedah dan Parlimen Merbok, kecuali jika semua ahli UMNO dan BN bersatu dan rela berjuang dengan misi sama"
                                                                       Tajul Urus Mat Zain
                                                                                        Penyelaras Parlimen Merbok


Masa berlalu begitu pantas dan tanpa disedari sejak Mac 2008 sudah hampir empat tahun jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Merbok memberi khidmat berterusan dalam usaha memastikan ia terus relevan sebagai sebuah parti yang utuh memperjuangkan nasib rakyat, terutama dikawasan yang dikuasi pembangkang.
Walaupun terpaksa menahan keperitan kalah di kerusi Parlimen, termasuk kecundang di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Selambau dan Tanjung Dawai pada pilihanraya umum (PRU) 2008, ia bukan alasan kepada BN berpaling tadah atau mengambil sikap lepas tangan dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada masyarakat di Merbok.

Penyelaras Parlimen Merbok,  Dato’  Tajul Urus Mat Zain, berkata walaupun mengakui pahit menelan kekalahan pada 2008, BN tidak mahu terus meratapi episod sedih itu.

Sebaliknya, kata beliau, kekecewaan itu merapatkan lagi ikatan perpaduan antara Parti komponen termasuk UMNO, MCA dan MIC di kawasan itu untuk memastikan kepentingan rakyat diutamakan.
Katanya, penerimaan penduduk di parlimen Merbok terhadap BN semakin baik, terutamanya masyarakat Cina dan India hasil program turun padang berterusan dilaksanakan pemimpin parti itu, termasuk pendekatan dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak.
“Walaupun Parlimen Merbok dikuasai pembangkang, namun penduduk dikawasan ini lebih menyenangi kepimpinan BN yang sentiasa mendampingi rakyat dan kita menjadi tempat mengadu masalah sehinggakan pejabat Parlimen UMNO Merbok tidak pernah putus dikunjungi orang ramai.

“Selama empat tahun ini, kita menjalankan tanggungjawab seolah-olah Merbok dikuasi BN, termasuk mengerakkan jentera parti turun padang mendekati  penduduk setempat. Ia termasuk di DUN Bukit Selambau dan Tanjung Dawai dan syukur BN semakin diterima.
“Sudah empat tahun di bawah pembangkang, rakyat semakin sedar matlamat perjuangan parti pembangkang bukan untuk rakyat tetapi ketaksuban merebut kuasa selain kebencian terhadap BN,” katanya.

Mengulas mengenai peranan jentera BN itu, Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata , sejak hari pertama kecundang ditangan parti lawan pihaknya merangka pelbagai program dan gerak kerja mendampingi hati rakyat akar umbi, termasuk gotong royong, sarapan pagi bersama penduduk, aktiviti kesukanan dan riadah memenuhi kehendak pelbagai lapisan masyarakat.

Tajul Urus turut serta pada program pelajar di kawasannya.

Tajul Urus berkata, Kerajaan Pusat  juga melaksanakan pelbagai program pembangunan di negeri ini termasuk di Parlimen Merbok bagi memastikan nikmat kemajuan sama rata dapat dirasai rakyat.

“Nikmat pembangunan sama rata dirasai penduduk di negeri ini seperti pembinaan rumah rakyat miskin yang dinikmati golongan kurang berkemampuan, termasuk menerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mahupun Pejabat Pembangunan Negeri.
“Dari aspek pendidikan, Merbok mempunyai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti AIMS yang mampu merubah lanskap pendidikan setempat.

Malah Sekolah Pendidikan Khas termoden iaitu Sekolah Pendidikan Khas Sungai Petani terletak di Tanjung Dawai yang dijangka siap awal 2014 dan pembinaan lebih lima sekolah baru mampu mengubah imej Merbok sebagai hub pendidikan dinegeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen Merbok berpotensi membangun sebagai pusat ilmu, pelancongan, ekonomi dan pertanian berskala besar termoden di Malaysia, sekali gus dapat memberikan manfaat dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Sungai Merbok yang terletak di utara Bandar Sungai Petani dengan kelebaran kira-kira 1,000 meter yang mana di selatan terdapat kawasan peranginan Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai di utaranya.
Dikawasan Sungai Merbok inilah terdapat kesan sejarah awal Ketamadunan Melayu, termasuk perniagaan dan kilang besi ditinggalkan. Justeru, kawasan ini sesuai dibangunkan sebagai tarikan pelancong khusus kepada pelancong domestik dan asing yang dirangka Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata Parlimen Merbok mempunyai 77,744 jumlah daftar pemilih dengan pengundi Melayu teramai iaitu 63 peratus, manakala Cina (17.6), India (17.7) dan lain-lain kaum 1.1 peratus.
Merbok mempunyai 77,744 pemilih dengan 49,355 pengundi Melayu manakala 13,712 (Cina), 13,816 (India) dan 861 (lain-lain).

Berdasarkan taburan pengundi ini lebih 60 peratus daripadanya membabitkan golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar dan taman perumahan baru.

Menyampaikan bantuan kepada penduduk.
“Sejak empat tahun lalu, jentera BN mendekati hampir 70 peratus kawasan di Parlimen ini menerusi pelbagai program turun padang termasuk membabitkan aktiviti gotong-royong , riadah dan kesukanan, selain majlis untuk pelajar, belia, warga tua, orang miskin dan golongan kurang upaya (OKU).
“Baki 30 peratus lagi membabitkan kawasan taman perumahan baru di bandar. Kita akan bekerja keras mendampingi hati penduduk dibeberapa taman baru itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas usaha mengembalikan kepercayaan pengundi, khususnya Cina dan India di Merbok, Tajul Urus berkata, usaha itu dilaksanakan berterusan oleh BN.

“Penerimaan pengundi Cina dan India terhadap BN semakin baik walaupun tidak secara keseluruhan, namun senario ini satu petanda positif terhadap peluang BN kembali berkuasa di kawasan ini.
“Mereka kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pas Kedah yang gagal menjana pembangunan dan tidak mampu melaksanakan misi bantuan bencana,” katanya.

“Kaum lain di negara ini perlu sedar kerajaan BN telus dan berusaha untuk bersikap adil kepada rakyat dalam hal pemberian subsidi, pendidikan, ekonomi dan sosial.
“Misalnya di kawasan Parlimen ini, hanya 20 peratus subsidi minyak nelayan diberi kepada Bumiputera dan hampir 80 peratus lagi subsidi diberi kepada kaum lain. Selain itu, pinjaman di institusi perbankan kerajaan seperti Bank Pertanian majoritinya diberi kepada bukan Bumiputera.

Selepas empat tahun berlalu, masyarakat Cina dan India di kawasan ini mula sedar bahawa kerajaan negeri sedia ada gagal mentadbir dengan baik untuk menjana pembangunan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan peniaga selain gagal menyelesaikan isu rumah ibadat kaum lain yang sekali gus menguris hati mereka, “ katanya.
"Orang Melayu perlu sedar bahawa kesinambungan kuasa UMNO juga sebenarnya adalah kesinambungan kuasa Melayu di negara ini. Justeru, orang Melayu khususnya generasi muda harus membuka mata mengenai betapa pentingnya UMNO dan BN demi memperjuangkan hak bangsa kita.

“Bagi saya tiada jalan mudah menawan semula Kedah dan Perlimen Merbok, kecuali jika semua ahli UMNO dan BN bersatu dan rela berjuang dengan misi sama,” katanya. – BH