Jumaat, 27 Julai 2012

BN letak Islam di tahap tertinggi walaupun tidak guna label Islam - PM


IPOH  - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menggunakan label Islam namun parti itu tidak akan mengabaikan amanah meletakkan perjuangan agama di tahap paling tinggi selari dengan matlamat menegakkan maqasid syariah.

Sambil menyelar golongan tertentu yang sanggup menyempitkan agama demi kepentingan politik, Perdana Menteri berkata, BN tetap mempertahankan asas-asas maqasid syariah termasuk dalam soal memelihara agama, akal dan keturunan.

"Itulah panduan induk kita sebagai sebuah parti. Kita berpandu kepada maqasid syariah yang berkehendakkan kita menjaga agama, soal ilmu, begitu juga akal, keturunan dan ekonomi.

"Semua ini kehendak Islam, Islam tidak mengajar kita menyempitkan agama, tetapi orang yang menyempitkan agama ialah puak-puak tertentu yang melakukannya kerana kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang dihadiri lebih 5,000 orang di kediaman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di sini hari ini.

Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada imam imam seluruh perak pada
majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Ipoh semalam.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Timbalan Pengerusi Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Najib dalam ucapannya turut menekankan perjuangan agama perlu diletakkan melampaui kepentingan politik bagi memastikan perpaduan dan kesejagatan ummah dan masyarakat dapat dipertahankan.

"Kalau kita tidak meletakkan Islam pada tempat tertinggi dan utamakan politik daripada agama, maka apa yang orang lain buat walaupun baik, semua menjadi tidak betul.

"Sebab itu, pembangkang tuduh Felda bankrap, selepas itu nak halang pula penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd.. Ini semua angkara orang yang iri hati dengan apa yang kita buat, walaupun ia baik untuk rakyat," ujarnya.

Rabu, 25 Julai 2012

Syukur dengan keamanan - PM




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di negara ini sentiasa bersyukur dengan keamanan yang dikurniakan oleh Allah kerana dengan adanya nikmat itu mereka boleh melaksanakan ibadah termasuk berpuasa tanpa rasa takut.

Hakikatnya beliau berkata, keamanan merupakan sesuatu yang tidak ternilai, malah ia merupakan satu rahmat Allah yang wajib dipelihara.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Syria beliau berkata, umat Islam di Malaysia wajar mengambil situasi di negara itu sebagai satu iktibar serta pengajaran ekoran berlakunya pergolakan.

"Kita wajib berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang penuh kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah kita dapat menjalankan ibadah puasa dalam keadaan yang begitu selamat, tenang, tanpa rasa gentar dan takut.

"Sebagaimana kita tahu juga satu demi satu negara Islam tidak melalui kenikmatan yang sama. Kita di sini anggap biasa dan kita juga tidak anggap ia sebagai rahmat yang disyukuri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sempena Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Pelajar Cemerlang Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim) di Dewan Besar Tabung Haji.

Perdana Menteri berkata, atas faktor keselamatan kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Syria.

"Walau apa pun saya amat berharap kita semua sentiasa memanjatkan doa kepada Allah supaya keamanan yang kita dikecapi selama ini sentiasa berpanjangan," ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta umat Islam di negara ini sentiasa membantu anak-anak yatim kerana mereka merupakan golongan yang mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah.

Beliau berkata, di dalam kitab suci al-Quran sendiri ada dinyatakan sebanyak 23 kali perihal anak yatim dan begitu juga dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.

"Sekali gus ia memberitahu kita betapa mulianya kedudukan anak-anak yatim di sisi Allah, malah junjungan besar Rasulullah SAW juga merupakan seorang anak yatim piatu," katanya.

Najib di dalam ucapannya turut memetik sebuah hadis Rasulullah mengenai balasan mereka yang memelihara anak yatim dengan baik.

"Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ibn. Abbas, Rasulullah telah bersabda; Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat Islam dengan memberi makan minum kepada mereka pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga," kata Perdana Menteri lagi.

-Utusan Online.

Isnin, 23 Julai 2012

Kepalsuan hadis berkenaan solat tarawih.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
Malam 1: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah.
Malam 2: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).
Malam 3: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang- orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam 5: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat- malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.
Malam 8: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam 9: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.
Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.
Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).
Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.
Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.
Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)
Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.
Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25: Allah Ta’ala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.
Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.
Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.
Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.
Imam Syafi’e yang mulia telah berpesan,” Izaa Sohhal Hadith Fahuwa Madzhaabi” (apabila sahihlah sesebuah hadith, maka itulah madzhabku.”)
Berbalik kepada hadith popular bulan Ramadhan (fadha-il Malam- malam Tarawikh Imam Ali) gagal melepasi tahap pertama: Tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana Imam Hadith. Tanyalah kepada mana-mana ahli hadith dan sudah pasti dia tidak akan jumpa hadith tersebut dalam Kutub asSittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa’iy dan Sunan Ibn Majah.
Manakala ia tidak menepati tahap kedua, yakni bercanggah dengan kefahaman sebenar tentang tasawwur puasa dan tidak sesuai dengan nilai keilmuan dalam Islam. Puasa dalam Islam yang dijelaskan oleh sumber yang sahih ialah sebagai salah satu jalan kepada taqwa. Taqwa itulah objektif puasa dan taqwalah jalan kemenangan dan kejayaan umat Islam dunia dan akhirat. Metod fadhilat adalah untuk mereka yang lemah akalnya dan masih kebudak-budakan yang amat terangsang dengan fadhilat dan kebendaan.
Hadis ini kemungkinan direka oleh Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali R.A yang di dakwa oleh Imam-imam Syi’ah banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.
Hadis ini juga bertujuan memikat golongan awam yang jahil dengan pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipurlara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad Ibn Hanbal.
Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawwuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam yang jahil supaya giat beribadat tanpa ilmu.
Demikianlah penjelasan AsSyaikh Mustafa asSiba’iy dalam kitabnya asSunnah dan Imam Jalaluddin asSyuyuti (Tahdzirul Khawasy min akazibil Qasyasy).
Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : "Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka." (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: "Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu’) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’."
Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.
Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? Seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: "Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan." (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: "Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang." (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu’ (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Di dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Jumaat, 20 Julai 2012

Selamat Menyambut Ramadan 1433H.



"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan keatas golongan terdahulu, mudah-mudahan kamu  menjadi orang yang bertaqwa"

Al-Balqarah -183

Selasa, 17 Julai 2012

Yat Hamzah Sudah Tidak Percaya pada Kerajaan BN lagi dan yakin perjuangan PR.



Yat Hamzah atau Haryati Hamzah yang pernah mengemparkan dunia seni berkahwin secara senyap di selatan Thailand@ Kahwin siam telah mencabar kerajaan dengan mengisyhtihar untuk menyertai Pas/Pakatan Rakyat. 

Yat telah hadir dan menyatakan pendirian semasa perhimpunan Hijau Pas untuk ke Putrajaya bersama DAP(Abang Besar) dan PKR. Pas merupakan mampu memecah undi orang Melayu dan menjadikan orang Melayu bukan lagi memegang majoriti untuk membuat keputusan.

Yat berkata dia akan masuk Pas kerana dia nampak pejuangan Pas merupakan pejuangan yang jujur untuk ke arah pejuangan Islam. Dia tak kisah kalau TV3 nak buang dia pun tak apa kerana dia yakin jika Pakatan rakyat menang mungkin TVPas akan mengambialih TV3.
Yat kini sudah tidak percaya lagi pada kerajaan yang mentadbir kini iaitu kerajaan Barisan Nasional kononnya kerajaan yang sedia ada tidak memperjuangkan Islam.
Yat susah nak sembahyang kerana kekurangan Masjid dan surau dan jika Yat membuat perjalanan jauh menggunakan lebuhraya memang tiada langsung surau untuk berhenti bersembahyang di sepanjang perjalanan.
Yat percaya kerajaan Pas telah membina beratus-ratus masjid dan surau, yang terkini kerajaan pakatan rakyat di Selangor telah berjaya membina masjid terbesar di Asia....syabas kerajaan Pakatan rakyat Selangor....takbiiiiir..

Di Kelantan, kerajaan Pas telah membina beratus-ratus masjid selama 22 tahun memerintah sehinggakan masjid Pas telah diiktiraf yang tertinggi sekali di Asia.




Di Kedah pula kerajaan sanggup merampas tanah gereja untuk membuat masjid semata-mata hanya untuk pejuangan ke arah Islam.





Pas pula akan bertanding disemua  iaitu 222 kerusi Parlimen seluruh negara dalam PRU13 bagi memastikan negara Islam dapat ditegakkan secara sendirian tanpa DAP dan PKR. Jika 222 kerusi yang ditandigkan oleg Pas ini bermakna Pas adalah parti dominan.


Jika PKR dan DAP nak join Pas, DAP dan PKR hanya layak mengikut arahan Pas dan kerusi yang boleh dipertandingkan hanyalah tidak lebih daripada 20 kerusi.
Tahun lepas Pas telah menendang keluar Karpal Singh kerana berkata "langkah mayat saya dulu sebelum membina negara Islam"




Ahli Pas yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu cikgu Rahim yang berkata over my dead body jika sesiapa yang cuba mengganggu Karpal Singh telah digugur keahlian oleh Pas kerana dikatakan bersekongkol dengan Karpal Singh.
Timbalan Presiden Pas Mat Sabu yang diheboh-heboh berkhalwat dengan Normah dibilik 121 pun telah digugur keahlian oleh Pas. Begitu juga dengan Adun Selinsing yang berzina di atas kereta api dari Tumpat juga telah digugur keahlian oleh Pas.
Ini bermakna Pas kini hanya ada ahli-ahli yang benar-benar untuk mempejuangkan Islam sahaja.
Tahniah Pas kerana berjaya membuat anjakan Paradigma daripada negara kebajikan kepada negara Islam.

Thahaluf siyasi Ahlul Sunnah Wal Jamaah, Respons ilmuan Islam dan kenapa mereka cenderung memilih UMNO dan Barisan Nasional kini.

Isu - Thahaluf siyasi Ahlul Sunnah Wal Jamaah (kerjasama antara pemerintah dengan kafir zimmi menurut Islam ASWJ).

Tafsir - Kafir zimmi adalah kafir yang tidak memudaratkan umat Islam seperti MCA dan MIC.
 - Kafir Harbi pula ialah kafir yang memudaratkan umat Islam seperti DAP.

Senario politik semasa Rujuk senario politik dan kemusnahan ugama, kekuasaan politik dan kemusnahan ekonomi serta gangguan/kerosakan sosial yang mereka lakukan di 4 negeri yang mereka kuasai. Rujuk artikel serangan atas umat Islam di Malaysia.

Ulasan ugama menurut pandangan ulama Islam ASWJ - Rujuk ulasan dan rujukan kitab dari Tuan Guru Haji Abdullah Samaah An Najmi Pondok Geting yang membenarkan kerjasama (tahaluf siyasi) menurut pandangan ulama Islam ASWJ. Jadi pandangan PAS yang mengatakan UMNO kafir kerana bekerjasama dengan kafir zimmi adalah salah.



Ahad, 15 Julai 2012

1Komuniti 1JPJ, 380 Orang Berjaya Dapat Lesen Memandu.



MERBOK - Seramai 380 orang berjaya mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal selepas lulus dalam semua ujian yang dijalankan oleh Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ). Kesemua mereka merupakan peserta bagi program satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Merbok yang dianjurkan oleh JPJ Negeri Kedah dengan Kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok.
SKSJ merupakan satu pendekatan baru yang diperkenalkan oleh JPJ untuk mendekatkan pihak JPJ dengan masyarakat luar bandar bagi membantu warga berusia 45 tahun ke atas dalam urusan pemberian lesen memandu percubaan motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato' Ismail Ahmad berkata, kemudahan yang diberi kepada peserta program untuk mendapatkan lesen tidak bermakna mereka mereka memperolehinya melalui jalan pintas tetapi peserta tetap perlu menjalani ujian mengikut prosedur ditetapkan bagi mendapatkan lesen memandu.
"Semua seramai 380 orang yang dapat lesen hari ini telah menjalani dari ujian pengelihatan hinggalah ujian memandu yang mengambil masa selama hampir dua bulan untuk selesai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program 1 Komuniti 1 JPJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok di sini semalam.
Beliau menambah program ini dirangka khusus untuk warga yang berusia 45 tahun keatas yang menunggang motosikal tetapi tidak mempunyai lesen memandu.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, matlamat program SKSJ ini begitu  murni iaitu untuk membantu warga emas yang menunggang motosikal tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat mereka atasi mereka tidak berupaya mendapatkan lesen.
Katanya kaedah yang dibuat oleh JPJ ini adalah sesuatu yang cukup baik dan perlu diteruskan kerana pada hakikatnya bagi penduduk di luar bandar ini, motosikal adalah pengangkutan mereka yang utama.
"Saya melihat ini sebagai satu kaedah yang baik untuk membantu warga emas mendapat lesen kerana jika tiada lesen dan apabila berlaku kemalangan banyak masalah akan timbul. Jadi sekurang-kurangnya bila dah ada lesen mereka akan dapat perlindungan insuran dan sebagainya,” ujarnya.

Antara peserta program yang berjaya mendapat lesen.

Rabu, 11 Julai 2012

Merbok Terus Maju, Kini Merupakan Hab Pendidikan Di Negeri Kedah!!

SUNGAI PETANI  - Hasrat menjadikan kawasan Merbok sebagai hab pendidikan lengkap di Kedah bakal terlaksana apabila sebuah sekolah pendidikan khas bertaraf tinggi bernilai RM20 juta beroperasi tidak lama lagi.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, projek sekolah berkenaan yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan lif, laluan orang buta, asrama dan lapan bilik darjah serta empat tandas.
Beliau berkata, projek tersebut dimulakan sejak tahun 2009 dan kini pembinaan telah siap sepenuhnya serta boleh diduduki dalam tempoh terdekat.

"Proses pemindahan murid orang kurang upaya (OKU) sedang dijalankan dan dijadual selesai dalam masa dua bulan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan kunci secara simbolik daripada kontraktor kepada Bahagian Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di sini semalam.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, buat masa ini, senarai  pelajar OKU telah dilengkapkan dengan sebahagian daripada mereka telah menumpang di sekolah  harian biasa di sekitar Sungai Petani sejak tahun lalu.
"Apabila  semua telah siap dan dilengkapi dengan kemudahan sepenuhnya, bukan sahaja murid terbabit akan dapat belajar  dalam suasana lebih kondusif, malah kualiti pendidikan khas juga diharap dapat ditingkatkan",
"Sekarang  di Merbok  sudah pun ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Institut Perubatan, Sains danTeknologi Asia (AIMST) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan projek ini merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan Merbok sebagai hab pendidikan di negeri ini," ujarnya.

Tambahnya, kemudahan pendidikan yang disediakan ini bakal memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk Merbok tetapi juga di seluruh Negeri Kedah amnya.

Selasa, 10 Julai 2012

Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional Semakin Baik - Penganalisis.


Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin baik berbanding semasa pilihan raya umum 2008 meskipun kerap dilemparkan dengan pelbagai fitnah oleh pembangkang.

Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka, golongan muda kini mula dapat menilai kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin bagi mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, perubahan persepsi itu adalah berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membuahkan hasil dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program yang berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan BN sehingga sukar bagi pembangkang menafikannya.

Program-program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.

Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di luar bandar. Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil program itu, turut menghargai ketelusan pemimpin yang mendengar masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian," katanya.

Sivamurugan berkata banyak usaha dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam setiap lawatan dan tinjauan mesra di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan hasilnya, persepsi negatif terhadap BN telah terhakis.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun pilihan raya umum ke-13 semakin hampir, namun golongan atas pagar dilihat masih berhati-hati untuk memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan pembangunan dan bukannya menabur pelbagai janji kosong.

"Walaupun dalam diam, mereka menilai apa yang telah dibuat oleh kerajaan BN dan apa juga yang telah dibuat oleh kerajaan pembangkang sepanjang pemerintahan sejak 2008. Saya boleh mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada 2008," katanya.

Katanya, dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya, BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.

"Memanglah sesiapapun perlu bekerja keras untuk mendapatkan undi," katanya sambil menambah bahawa faktor calon dan isu yang dibawa akan memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan kemenangan sesebuah parti.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA, Anuar Abd Manaf berkata menerusi kajian sokongan yang dilaksanakan pihaknya mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

Ini kerana persepsi buruk yang dilemparkan pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana golongan belia sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke stas diri mereka mahupun keluarga mereka, katanya.

"Contohnya dalam isu perumahan, kerajaan BN telah mengotakan janjinya dengan melaksanakan PR1MA dan kalau kata kos kehidupan meningkat, kerajaan beri BR1M dan KR1M untuk meringankan beban rakyat. Program ini disyukuri oleh golongan belia terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Ini semua tidak dinikmati golongan belia jika pembangkang memerintah. Janji oleh pembangkang tidak dikotakan. Sekarang generasi muda mula melihat BN sebagai kerajaan yang prihatin dan berbuat kebajikan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata faktor penolakan belia terhadap BN pada 2008 adalah kerana mereka disuguh dengan pelbagai persepsi salah tentang BN, selain faktor calon yang tidak menepati kriteria mereka dan juga program BN yang dilihat tidak mesra belia.

Anuar berkata bagaimanapun kerajaan BN hari ini telah berubah dan mula menunjukkan kesungguhan mendekati golongan belia dengan pelbagai cara termasuk laman sosial facebook dan twitter selain kekerapan turun padang oleh pemimpin BN.

"Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan belia ini. Belia hari ini juga melihat kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin dan sokongan kepada BN itu telah mula nampak," katanya.

Beliau percaya pengundi muda yang merupakan lebih 40 peratus pengundi baru cenderung menyokong BN untuk kesinambungan pembangunan, perpaduan, kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan pelbagai peluang untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang meyakinkan.

-- BERNAMA

Lim Kit Siang Meracau Takutkan Tun M..


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berterusan mengisytiharkan 'niat' untuk melawan legasi yang digelarnya sebagai' Mahathirisme'.

Jelas Dr.Mahathir, beliau sendiri tidak memahami erti 'Mahathirisme' tetapi ia jelas merupakan sesuatu yang menakutkan dalam pemikiran Kit Siang.

''Saya tertanya-tanya mengapa Kit Siang begitu takut kepada saya? Ketakutan beliau yang terbaru adalah tentang apa yang beliau sebut sebagai 'Mahathirisme'. Jadi beliau telah mengisytiharkan niatnya untuk melawan 'Mahathirisme'.

''Sebenarnya 'Mahathirisme' mati selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran daripada saya pada 2003. Beliau mengubah UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan begitu banyak sehingga tidak lagi menyerupai institusi yang saya tahu. Saya juga terpaksa 'meletakkan jawatan' daripada UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru di blognya, http://chedet.cc  sebagai mengulas kenyataan Kit Siang menerusi blognya, http://blog.limkitsiang.com yang mahu menentang 'Mahathirisme'.
Dr. Mahathir juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah individu yang rapat dengan beliau dan memiliki pasukan penasihat serta polisi-polisi tersendiri.

Isnin, 9 Julai 2012

DAP tanding 90 kerusi, bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).


DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.

Maklumat mengenai perkara itu didedahkan oleh sebuah blog propembangkang, suarapakatanrakyat.com dan kemudian disokong dengan maklumat serupa oleh blog www.mykmu.net serta pisau.net.
Pas pula yang meninggalkan perjuangan negara Islam kekal bertanding 66 kerusi, jauh lebih rendah berbanding hasrat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu parti itu bertanding di 80 kerusi.
Jumlah kerusi Pas itu sama dengan peruntukan kerusi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ‘diturunkan pangkat’ berbanding 97 kawasan Parlimen pada pilihan raya umum 2008 lalu, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal diangkat sebagai Ketua Pembangkang.
Bagi DAP, ia penambahan 43 kerusi berbanding 2008 sekali gus, meletakkan parti itu dalam kedudukan terbaik dan selesa untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin parti mereka jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya, bukannya melantik Anwar.

“Berdasarkan dokumen tersebut, sah DAP akan bertanding di 90 kerusi Parlimen serta masing-masing 66 kerusi bagi PKR dan Pas. Ini satu kejutan terbesar kerana ia meletakkan DAP dalam kedudukan sangat selesa untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan mereka.

“Ditambah pula dengan undi orang Melayu yang kini berpecah kepada tiga bahagian, DAP dengan mudah boleh menang di kawasan Parlimen yang mempunyai populasi separuh pengundi Melayu dan bukan Melayu," dakwa suarapakatanrakyat.com.
Pada pilihan raya 2008, DAP menang 28 daripada 47 kerusi yang ditandingi iaitu pencapaian sebanyak 59.57 peratus berbanding PKR yang hanya menang 31 kerusi daripada 97 kawasan Parlimen, manakala Pas pula paling sedikit iaitu 28 kerusi.
Sementara itu, mykmu.net pula berkata, jika pun pembangkang gagal menawan Putrajaya, DAP akan sentiasa berada tiga hingga empat langkah ke depan berbanding PKR dan Pas dalam menentukan hala tuju pakatan, sehingga parti itu layak digelar ‘abang besar’ selepas ini.
Lebih memburukkan keadaan dakwa blog itu lagi, daripada 66 kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, sehingga kini hanya 24 kawasan sahaja yang sudah terisi dengan ‘calon pilihan’ dan keadaan berkenaan memberi kelebihan tambahan kepada DAP kerana rata-rata calon PKR bukan Melayu.

“Andai kata kuota pembahagian ini kekal dan dengan mengambil kira sokongan masyarakat Cina kepada DAP serta perpecahan undi Melayu, parti itu akan memenangi jumlah kerusi Parlimen lebih besar. Makanya, Pas kekal sebagai balaci dan PKR akan jadi pendokong kuat DAP.



Ahad, 8 Julai 2012

Samsung Galaxy Note 2 Bakal Dilancar.

SEOUL  - Samsung merancang untuk mengeluarkan telefon pintar Galaxy Note 2 pada Oktober ini selepas komputer tablet itu berjaya mengenepikan produk keluaran Apple dengan jualan tujuh juta unit.

Galaxy Note 2 dilaporkan bakal memiliki skrin yang lebih besar iaitu 5.5 inci dengan skrin resolusi super tinggi, 1680x1050.

Sebelum ini Galaxy Note menjadi kegilaan ramai dan model baru itu juga dijangka akan mengenepikan produk keluaran telefon pintar akan datang Apple iaitu iPhone 5 yang dilaporkan turut akan menggunakan skrin besar.

Model terbaru itu dilengkapi dengan kamera 12 mega pixel dan menggunakan sistem quad core processor, spesifikasi yang mengekalkannya mendahului teknologi yang akan digunakan oleh iPhone 5.

Telefon pintar Galaxy Samsung kini menjadi produk utama kepada syarikat Korea Selatan itu dan menyumbang kepada hasil pendapatan yang tinggi.
Galaxy telah mengenepikan pesaing hebatnya, sekali gus menyebabkan Samsung mencatat rekod jualan tertinggi. - AGENSI



Ciri-ciri  Galaxy Note 2
•5.5 inches,Super AMOLED capacitive touchscreen, 16M
•8 MP, 3264×2448 pixels, autofocus, LED flash
•Android OS, v4.1 (Jelly Bean)
•Dual-core ARM 15 ( CPU )
•2 GB RAM
•Exynos 5250 ( GPU )

Galaxy Note 2 akan menggunakan versi terbaru Android Jelly Beans.

Sabtu, 7 Julai 2012

Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia 2012.



Pasukan Taman Ria B muncul juara Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia musim ini selepas berjaya menewaskan pasukan Taman Ria A  4-1 di gelanggang Futsal Taman Ria, sungai petani, semalam, sekaligus layak mewakili Parlimen Merbok ke Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia peringkat kebangsaan 2012 yang bakal berlangsung di Putrajaya.

Pada kejohanan semalam, Pasukan Taman Ria B turut membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM 1,000 manakala Taman Ria A dengan hadiah tempat ke-2, RM700.

Kejohanan anjuran Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Kuala Muda yang berlangsung sehari suntuk itu disertai 16 pasukan kategori lelaki dan 5 pasukan wanita dari sekitar Parlimen Merbok.

Sementara itu  bagi kategori wanita, pasukan Sahabat A berjaya menewaskan Pasukan UiTM untuk muncul juara kejohanan itu.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato'  Hj. Tajul Urus Mat Zain. Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda, Nurmasmira Morad. 








Ahad, 1 Julai 2012

Santai Main Guli Di Tanjung Dawai.


Program hari terbuka Pertubuhan Belia Amanah (PEMBELA) bersama Gabungan Kelab kereta Negeri Kedah (GKKnK) berlangsung meriah di persisiran pantai Tanjung Dawai semalam.

Program itu yang bertemakan "Mengimbau Kenangan Nostalgia Sukan' turut diserikan dengan acara sukan tradisional seperti main guli, tarik upih, baling kasut, boling kelapa serta pelbagai acara lain.

Permainan tarik upih.


Jurucakap PEMBELA, Rosnawi Zenon berkata,  program ini yang disertai lebih 50 kelab kereta serta kelab motosikal dari negeri kedah dan pulau pinang, julung kali di anjurkan oleh pihaknya  dimana ia bertujuan merapatkan jalinan kemesraan antara ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian bersama orang ramai.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain semasa merasmikan program itu berkata, penganjuran seumpama ini perlu diteruskan bagi memperkenalkan kumpulan-kumpulan NGO yang banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan agar dapat berinteraksi secara langsung dengan anggota masyarakat itu sendiri.

"Apa yang lebih penting adalah peranan yang dimainkan oleh NGO khususnya pertubuhan-pertubuhan belia yang menjurus kepada mendisiplinkan masyarakat terutama golongan muda ke arah aktiviti yang sihat,"katanya.