Jumaat, 28 September 2012

Laporan ekonomi: Inflasi kekal rendah, kos sara hidup ditangani

Kadar inflasi di negara ini kekal rendah iaitu 1.4 peratus pada Ogos 2012, namun masih perlu dikawal berikutan peningkatan harga komoditi makanan kerana pelbagai faktor global.

Menurut Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, penyumbang utama peningkatan harga itu ialah kenaikan harga input pertanian, kemarau, banjir, sumber terhad, persaingan penggunaan komoditi bagi biobahan api dan pertambahan penduduk.

Justeru, kerajaan menyediakan banyak kemudahan dan peruntukan untuk meredakan inflasi dan mengimarahkan kehidupan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan 40 peratus terendah dan kelompok lain yang paling terjejas.

Dalam meringankan kos sara hidup, inisiatif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan jumlah keseluruhan RM2.2 bilion disalurkan kepada 4.3 juta keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 juga diberikan kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah, manakala baucar buku RM200 pula diberi kepada 1.2 juta pelajar tingkatan enam, matrikulasi, institut pendidikan tinggi awam dan swasta dengan masing-masing berjumlah RM545 juta dan RM244 juta.

Intipati Bajet 2013


Berikut ialah intipati Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.

Tema Bajet 2013 ialah “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.

* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.

* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.

* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar

* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.

* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.

* RM3.0 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan (EPP) bagi tahun 2013.

* Penyediaan Dana Strategik Pelaburan Domestik berjumlah RM1.0 bilion di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.

* Penyediaan dana sebanyak RM1.0 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank.

* SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta untuk membiayai modal kerja PKS terlibat.

* Skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan had maksimum RM5,000 dengan peruntukan RM16 juta setahun.

* Perbadanan Nasional Bhd menyedia kemudahan pinjaman hingga RM25,000 bagi pemegang lesen dan RM500,000 bagi penyedia lesen menerusi program Transformasi Perniagaan.

* Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus untuk 10 tahun bagi aktiviti penapisan produk petroleum kepada yang layak.

* Program Insentif Global bagi Perdagangan (GIFT) ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun pertama operasi.

* Perbelanjaan menerbitkan AgroSukuk diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh empat tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.

* DanaInfra Nasional Bhd menerbitkan bon runcit bernilai RM300 juta akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan MRT.

Bajet 2013: 170,000 individu tak perlu bayar cukai pendapatan

Kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan berikutan penurunan kadar satu mata peratusan bagi golongan tersebut mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penurunan kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.

Beliau berkata langkah itu akan turut memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

"Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000.

Bajet 2013: RM276 juta untuk SPRM banteras rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima peruntukan sebanyak RM276 juta bagi menjayakan peranannya dalam membanteras rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata kerajaan juga bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan suruhanjaya itu.

"Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2013: RM591 juta jayakan usaha kurangkan

Usaha menambah bilangan jawatan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.

Bajet 2013: Rebat RM200 pembelian telefon bimbit 3G

Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

"Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet 2013: Diskaun mudahkan bayaran PTPTN

Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013.

"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan para peminjam bahawa hukum membayar hutang adalah wajib dan pinjaman PTPTN merupakan satu amanah.

"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan," katanya.

Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan cadangan untuk memansuhkan keseluruhan PTPTN adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan cadangan itu dan bertanya siapakah yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.

"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000.

Bajet 2013: Tambahan bonus sebulan gaji kakitangan awam


Kira-kira 1.3 juta penjawat awam akan menerima bonus sebulan gaji manakala pesara akan menerima RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah bulan gaji yang telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lepas, Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri.

Najib berkata pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.

Bajet 2013: BR1M 2.0 merangkumi individu bujang


Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan yang dikenali sebagai BR1M 2.0 itu melibatkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun depan itu akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

Beliau berkata bagi memudahkan pelaksanaan, penerima sebelum ini tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru boleh mendaftar mulai November ini secara online atau datang sendiri ke kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara.

"Hakikatnya bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis, malah manifestasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini.

BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, yang membabitkan peruntukan kerajaan menjangkau hampir RM2.16 bilion.

Bajet 2013: Pegawai, anggota ATM terima insentif khas

Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan bermula 1 Januari depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu dalam Belanjawan 2013 hari ini berkata bayaran insentif khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Beliau berkata bagi menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera, elaun bertugas anggota biasa dan pegawai turut dinaikkan kepada RM6 dan RM7.80 sejam daripada hanya RM4 dan RM5.80 sejam sebelum ini.

"Penyelarasan elaun ini melibatkan 65,000 anggota simpanan tentera membabitkan Askar Wataniah, dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara serta pasukan Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan anggota sukarelawan polis (PVR)," katanya di sini.

Bajet 2013: Pencen minimum dinaikkan kepada RM820

Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720 kepada RM820, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Jan 2012.

"Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.

"Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf golongan warga emas.

Najib berkata caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.

"Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80," katanya.

Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Bajet 2013: Insurans kelompok penjaja dan peniaga kecil

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperkenalkan skim perlindungan insurans berkelompok untuk penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan had perlindungan maksimum RM5,000.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2013 berkata, skim tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan RM16 juta setahun dan ia diberikan kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Naik Jet, Bas Mewah Gaya Zuhud?


Sejak sekian lama semacam menjadi satu kebiasaan untuk pemimpin pembangkang dari DAP, PKR dan PAS menyerang dengan pelbagai dakyah dan tuduhan kononnya ramai pemimpin BN gemar menjalani hidup gaya mewah dan kurang pula cakna masalah khalayak.

Berulang kali tohmahan sebegitu diulang-ulang, lama kelamaan ramai juga penyokong pembangkang yang semakin memandang serong pada kepimpinan BN dan kian mencurigai segala kerja buat bermanfaat yang dipelopori oleh Kerajaan Pusat.

Untuk menambah impak rasa mual dan kebencian rakyat, pemimpin pembangkang dan pengikut mereka berusaha pula mempotretkan imej buruk terhadap Perdana Menteri dengan melontarkan tohmahan kononnya PM dan isteri kerap bergaya mewah serta memiliki cincin permata harga berjuta-juta, jam tangan mahal dan boros berbelanja di luar negara.

Bila pembangkang khususnya PKR memfokuskan serangan sedemikian, gambaran positif pula terlakar difikiran penyokongnya bahawa para pimpinan parti pembangkang tidaklah berperangai sedemikian rupa.

Para penyokong bawahan mula terasa bangga merasakan pemimpin mereka berjiwa rakyat dan zuhud pula gaya kehidupannya. Tidak materialistik dan sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat. Pada fikiran mereka, para pimpinan pembangkang memiliki gaya hidup berbeza berbanding BN dan lebih dekat dengan nurani rakyat.

Kini bila meletus isu Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin pembangkang lain bermewah-mewahan menaiki jet eksekutif peribadi milik seorang ahli perniagaan, pengikut mula berkerut muka dan akal pula semakin serabut tak keruan.

Belum selesai isu bas mewah harga berjuta dan lori treler penuh bergaya, ditambah pula isu jet peribadi, cukup untuk meletakkan para penyokong PR merasa sukar menerima kenyataan betapa pucuk pimpinan yang difikirkannya begitu tawadduk dan zuhud seperti Anwar dan lain-lain, tiba-tiba sahaja kelihatan lain sama sekali.

Namun dalam keadaan sebegitu, tetap akan ada yang cuba menepis isu dengan berandaian apa salahnya untuk Anwar serta pemimpin pembangkang menikmati permandangan udara dari sebuah jet mewah itu.

Itu senario biasa sebenarnya bagi penyokong lebih-lebih lagi untuk yang berstatus totok sejak azali yang sentiasa berfikir dari bawah tempurung berbanding menganalisis suasana dari mata burung.

Dunia politik negara kita sebenarnya terlampau banyak politikus hipokrit dari parti pembangkang yang diawal tingkat popularitinya mencanak naik, gemar memaparkan gaya hidup tawadduk dan zuhud supaya sentiasa diingati oleh rakyat sebagai pemimpin yang sentiasa mengikuti denyut nadi khalayak.

Namun, resam dunia acapkali membuktikan yang seringkali mempotretkan diri mereka sebagai zuhud, tawadduk dan cakna rakyat akhirnya lemas dalam pelukan kemewahan dan gaya hidup eksklusif.

Anwar Ibrahim dan gaya hidup zuhudnya bersama bas mewah, treler bergaya dan sebelumnya gah bergaya bersama kereta eksklusif serta kini bangga merentas ruang udara dengan jet peribadi yang sewaan per jamn harga beribu RM sebenarnya tidak sendirian.

Lama sebelum ini, MB Kelantan Nik Aziz Nik Mat sudah acapkali bergaya sakan bertukar ganti kereta mewah walaupun jelas sekali amat kontra dengan seruan lamanya yang mahu rakyat Kelantan menerima takdir kemiskinan. Ini realiti dan watak sebenar pemimpin politik hipokrit sekalipun jubah dan serban kekal dipakai, nafsu keduniaan tetap jua menguasai diri.

Pemimpin-pemimpin PR yang baru diuji dengan secebis kuasa diberi peluang mengurus tadbir beberapa negeri pula, pun sedemikian juga. Baru beberapa bulan menguasai urus tadbir negeri, kereta sudah bertukar ganti dan kuota isteri kedua mula dipenuhi.

MB Kedah tidak ketinggalan!
Rumah masing-masing makin besar, dari papan menjadi banglo dan urusan tender serta kontrak sudah pandai berkira soal komisyen dan sumbangan untuk kantung peribadi. Ini juga realiti, kahak yang sebelumnya diludah ke muka lawannya begitu selera dijilat kembali.

Tapi walau demikian rupa, ia masih tidak menghalang para penyokong bawahan berusaha mencari makna baru bagi perkataan zuhud untuk menjustifikasikan keharusan untuk pemimpin pakatan pembangkang seperti Anwar dan lain-lain rakan pimpinannya menikmati gaya hidup mewah.

Rabu, 26 September 2012

Pilihan Raya Kampus: Mungkinkah ini Tanda BN & UMNO Akan Kembali Menguasai Majoriti 2/3 Dalam PRU-13?


Pro-Aspirasi Catat Kemenangan Besar di Tujuh Buah Universiti dan Menang Tipis Di UM



 
Kumpulan pro-establishment, Aspirasi Mahasiswa telah menang besar dalam pilihan raya kampus di tujuh daripada 15 buah universiti awam pada Selasa.

Universiti-universiti berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI); Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sementara di Universiti Malaya (UM), Aspirasi Mahasiswa yang juga dikenali dengan nama Pro-Aspirasi telah memberi tentangan yang sengit kepada pencabar mereka iaitu Pro Mahasiswa atau Pro-M.

Aspirasi memperolehi 21 kerusi manakala Pro-M pula 20 kerusi. Dua buah kerusi lagi di UM terpaksa menjalani proses undian semula esok (Rabu) kerana keputusan adalah seri.

UM memang dikenali sebagai kubu kuat Pro-M sebelum ini.

Di UPM, Pro-Aspirasi telah memenangi 39 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan, di UUM 34 kerusi daripada 36; di Unimas kesemua 12 kerusi; di UPSI 25 daripada 29 kerusi; di UMP 22 daripada 24 kerusi; di UMT 18 daripada 20 kerusi dan di UPNM pula mereka menang kesemua 14 kerusi.

Sehingga berita ini ditulis pada jam 8.45 malam, lain-lain keputusan di tujuh buah universiti lagi iaitu Universiti Sains Malaysia (USM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Sabah(UMS); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih belum diketahui.

Sementara itu di UIAM, laporan terbaru yang diterima mengatakan kiraan undi di kesemua 31 kerusi yang dipertandingkan tidak dapat dilakukan kerana kerosakan kepada sistem undian elektronik yang baru diperkenalkan tahun ini.

Oleh yang demikian undian akan dijalankan semula esok.

Khamis lalu, dalam pemilihan di lima buah universiti, Aspirasi Mahasiswa turut mencatat kemenangan besar menewaskan Pro-M. Lima universiti itu ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Aspirasi Mahasiswa menang kesemua kerusi di UiTM (50 kerusi), UniMAP (31), UTeM (28) dan UniSZA (24).

Sementara di UTHM, Aspirasi Mahasiswa telah memenangi 25 daripada 27 buah kerusi yang dipertandingkan.

MStarOnline.

Ahad, 23 September 2012

Saya sedih...


Saya sedih - Tun Dr. Mahathir


Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya, perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.

Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.

Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah.

Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

Bapa gembira anak hilang mahu pulang ke pangkuan.

Abdul Hamid Mat menunjukan sepucuk surat yang dihantar anaknya, Munirah yang kini berada di Flores Timur, Indonesia kepada Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj.Tajul urus Mat Zain yang mengunjungi beliau di rumahnya di Tanjung Dawai.

SUNGAI PETANI 23 Sept. - Seorang nelayan di Tanjung Dawai, dekat sini gembira apabila mendapat tahu anak perempuannya yang hilang lima tahun lepas masih hidup dan ingin pulang ke pangkuan keluarganya.
Abdul Hamid Mat, 50, dari Kampung Nelayan Tanjung Dawai berkata beliau menerima surat bertarikh 8 Ogos lepas yang dihantar anaknya, Munirah yang kini berumur 21 tahun dari Flores Timur, Indonesia.
"Munirah menulis alamat bagaimanapun tidak memberikan butiran lengkap dirinya cuma menyatakan dia berada di Flores Timur dan meminta tolong dibawa pulang ke Malaysia.
"Selepas terima surat itu saya tidak tahu nak minta tolong dengan siapa.
Alhamdulillah Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj. Tajul Urus Mat Zain sudi membantu," katanya kepada pemberita semasa dikunjungi Tajul Urus di rumahnya, hari ini.
Menurut Abdul Hamid anak ketiga dari lima beradik itu yang belajar dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Seri Badung, Singkir, Yan menghilangkan diri semasa dalam perjalanan ke sekolah pada 2008.
Katanya Munirah pernah menghantar pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa dibawa lari ke Batam, Indonesia.


"Saya telah melaporkan kes ini kepada polis namun usaha mencari Munirah di Batam gagal. Sekarang saya rasa gembira sikit dan mendoakan agar ada pihak sudi menolong membawa dia balik," kata Abdul Hamid.
Tajul Urus yang juga ketua UMNO Bahagian Merbok berkata beliau akan meminta bantuan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang berpengalaman membawa mangsa yang dilarikan ke negara asing untuk membantu membawa Munirah pulang.
"Sementara itu, saya harap Abdul Hamid dan keluarganya dapat bersabar kerana ada prosedur yang perlu dipatuhi untuk membawa Munirah pulang," katanya. - BERNAMA

PTPTN kini tawar pinjaman pengajian peringkat Sarjana, phD.



Datuk  Hj. Tajul Urus Mt Zain mengiringi Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin menyempurnakan majlis perasmian gelanggang futsal Kampung Bujang di program kemasyarakatan Kampung Bujang semalam.

SUNGAI PETANI 22 sept - Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini menawarkan pinjaman kepada orang ramai yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan doktor falsafah (phD) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

Bagi pelajar peringkat ijazah yang masih berhutang tetapi ingin melanjutkan pelajaran diminta berhubung dengan pengawai PTPTN untuk menangguhkan pinjaman mereka sementara memohon untuk mendapatkan PTPTN baru bagi melanjutkan pelajaran.
Ahli lembaga pengarah PTPTN, Datuk Hj.Tajul Urus Mat Zain berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program kemasyarakatan di Kampung Bujang anjuran pejabat Penyelaras Parlimen Merbok dengan kerjasama PTPTN, UiTM Merbok dan JKKKP Kampung Bujang.
Turut hadir Rektor UiTM Kedah, Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin serta pengurus kanan pelaburan PTPTN, Tuan Din Tuan Mat.

Tajul Urus  yang juga merupakan ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, mereka yang memilih melanjutkan pelajaran di IPTS bagaimana pun hanya dibenar jika mengikuti pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Terbuka Wawasan, Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dan Asia E Universiti.


Tambahnya jumlah pembiayaan hanyalah untuk membiayai yuran pengajian yang ditetapkan oleh IPTA dan tidak melebihi jumlah maksima seperti mana yang dinyatakan dalam Pekeliling PTPTN Bilangan 2 Tahun 2007.

Pihak asing campur tangan usaha tukar kerajaan sedia ada - Dr. M


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penyaluran dana asing untuk aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang membuktikan wujud campur tangan pihak luar untuk menukar kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang boleh mengikut telunjuk mereka.

Menurut bekas Perdana Menteri, modus operandi yang digunakan adalah sama seperti di Libya, Mesir dan negara Arab lain yang mereka namakan sebagai Arab Spring, iaitu pihak asing memberi bantuan kewangan bagi membiayai aktiviti NGO mengapi-apikan rakyat supaya bangkit menentang kerajaan dan melakukan apa yang dikatakan sebagai regime change.

"Kerajaan interim Mesir telah pun menghentikan kegiatan sesetengah NGO ini yang datang dari Amerika. Mereka ini sebenarnya dibiayai oleh kerajaan (Amerika), mereka pergi ke Mesir dan cuba mempengaruhi orang Mesir dan siapa-siapa yang hendak menghadapi pilihan raya. Mesir telah menghalang mereka daripada masuk campur (dalam pilihan raya).

"Kita tak pernah campur tangan, tak pernah pergi kacau (pilihan raya negara mereka) dia punya pilihan raya, dia punyalah. Kita punya pilihan raya adalah hak rakyat kita, pasal apa dia nak cuba pengaruhi orang untuk menukar kerajaan, kerajaan yang mesra kepada mereka? Inilah tujuannya. Ini yang diuar-uarkan sebagai regime change," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini kelmarin.

Dr. Mahathir diminta mengulas pendedahan akhbar kelmarin mengenai penyaluran dana asing kepada NGO dalam negara termasuk RM1.6 juta yang diterima Suara Rakyat Malaysia (Suaram) daripada National Endowment for Democracy (NED) dan RM845,835 daripada Open Society Institute (OSI), pertubuhan yang diasaskan oleh penyangak mata wang George Soros.

Menurut bekas Perdana Menteri seperti yang pernah ditulis oleh beliau di dalam blognya, apa yang dimahukan oleh pihak asing itu bukan setakat regime change atau perubahan kerajaan yang memerintah tetapi perubahan yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Beliau yakin penyaluran dana asing termasuk untuk perhimpunan Bersih dan pelbagai lagi adalah sebahagian daripada operasi untuk menyokong Anwar.

"Jerman pun bagi duit, apa kena-mengena dengan Jerman? Adakah anda tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang dan mahu menjatuhkannya? Kalau nak bagi duit, bagi dua-dua belah (pihak). Bagi kepada pihak penyokong kerajaan dan pihak pembangkang tak apa. Tapi apabila anda memberi dana hanya kepada satu pihak bermakna anda mengapi-apikan rakyat supaya menentang kerajaan.

"Ini salah! Ia adalah hak rakyat negara ini untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki bukannya orang luar menentukan kerajaan yang mereka mahukan," tegasnya.

Dalam keadaan ini, Dr. Mahathir berkata, apa yang diperjuangkan oleh NGO yang menerima dana asing ini bukan lagi mewakili suara rakyat Malaysia sebaliknya suara pihak luar.

"Ia bukannya inisiatif rakyat Malaysia tetapi inisiatif orang asing. Tak kan kita hendak dikuasai oleh orang asing? Dia bagi duit sana nak bagi jatuh kerajaan supaya orang dia dapat naik dan orang dia di sini secara terang lagi bersuluh, dia nak Anwar. Jadi siapa yang nak pilih Perdana Menteri Malaysia, orang Malaysiakah orang asing?," soalnya.

Baginya beliau boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia sendiri yang membuat keputusan hendak memilih Anwar tetapi biarlah pilihan itu dibuat tanpa dipengaruhi oleh tangan-tangan asing.

"Jika anda (pihak asing) cuba mempengaruhi pilihan orang kita dengan bagi duit, itu rasuah!" tegasnya lagi.

Sumber: utusan.com.my

Selasa, 18 September 2012

Wajib baca! Penduduk Parlimen Merbok Dapat Manfaat Hasil Pelbagai Perancangan Kerajaan Pusat.


Pada 2010, sekumpulan pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) membuat penemuan baharu di Sungai Batu, Lembah Bujang, Merbok dekat sini yang bakal mengubah tanggapan orang ramai berhubung tamadun tertua di rantau ini.

Sejak penemuan itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan kerajaan menerusi kementerian itu akan membangunkan Sungai Batu dan menyenaraikannya sebagai satu warisan yang tidak ternilai.

Pada 10 Mei lepas, Rais mengisytiharkan 154 butiran sebagai Warisan Kebangsaan Negara, yang termasuk Tapak Arkeologi Sungai Batu yang dikategorikan sebagai Warisan Ketara, selain Bukit Bunuh, Lenggong dan Gua Batu Tambun, kedua-duanya di Perak.

Pengumuman itu memperlihat kesungguhan kerajaan Pusat memajukan mana-mana kawasan di negara ini walaupun hakikatnya Kedah kini dikuasai pakatan pembangkang, malah kawasan Parlimen Merbok yang dulunya kubu kuat Barisan Nasional (BN) kini dipegang parti pembangkang.

Rais beberapa kali menyatakan keinginan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa tamadun awal di Asia Tenggara adalah di Lembah Bujang, dan bukannya di Indonesia kerana adanya Borobudur atau di Kemboja yang terkenal dengan Angkor Wat.

Walaupun berdepan dengan masalah pengambilan tanah terutama tanah milik individu, kementerian itu memberikan peruntukan yang besar untuk membeli tanah daripada individu-individu terlibat bagi memastikan pembangunan di Sungai Batu dapat dijalankan.Jika projek ini berjalan lancar, manfaatnya adalah kepada masyarakat sekitar Merbok.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM Prof Madya Dr Mokhtar Saidin berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mempunyai perancangan untuk membangunkan kawasan Sungai Batu itu sebagai Taman Warisan Arkeologi Lembah Bujang supaya khazanah sejarah negara dapat dipelihara sebaik mungkin.
Mokhtar berkata untuk permulaan KPKK akan mewujudkan galeri yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

"Kita dah mula perbincangan dan ada peruntukan daripada kementerian (KPKK) RM20 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu separuh untuk pembelian tanah dan selebihnya bagi mewujudkan galeri yang dijangka siap pertengahan atau hujung tahun depan," katanya sambil menambah Sungai Batu mempunyai potensi untuk menjadi satu produk pelancongan yang sangat berharga.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain (gambar) berkata, kerajaan pusat sentiasa merancang untuk memajukan kawasan itu dan kini kawasan Parlimen Merbok juga dilihat berpotensi untuk menjadi satu kawasan pendidikan.


Katanya, jika perancangan kerajaan Pusat dapat dilaksanakan, Merbok bakal menjadi hab pendidikan memandangkan institusi pendidikan tumbuh dengan pesat disitu ketika ini.

"Sekarang ini dari kawasan Lembah Bujang yang bermula dari Pekan Semeling hingga ke Kampung Bujang, kita ada Universiti AIMST, UiTM (Universiti Teknologi Mara), MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan yang terbaru adalah pembinaan sekolah rendah dan menengah untuk golongan OKU (Orang Kurang Upaya)," katanya.

Tajul Urus berkata selain itu beliau mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi supaya membina Kolej Komuniti di Parlimen Merbok di samping berusaha untuk membina sebuah lagi sekolah kebangsaan berikutan pertumbuhan pesat penduduk.


Impak daripada pembangunan pesat institusi pendidikan itu, Tajul Urus berkata secara tidak langsung dapat menonjolkan kewujudan Merbok yang semakin membangun, kepada masyarakat di seluruh negara termasuk mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

"Walaupun (Barisan Nasional) kalah, ia tidak menjejaskan usaha kerajaan Pusat untuk membangunkan kawasan ini. Sebelum ini banyak orang luar tidak tahu Merbok ini di mana, tambahan pula banyak hutan di sekeliling. Sekarang banyak institusi pengajian tinggi wujud dan orang kampung yang berniaga akan mendapat manfaat kitaran ekonomi," katanya.

Bagi meningkatkan industri pelancongan di Merbok yang dijangka menerima kesan apabila projek pembangunan Sungai Batu menjadi kenyataan, kerajaan Pusat juga berusaha meningkatkan taraf hidup penduduk miskin sekitar Merbok. Antaranya adalah Projek Chalet Terapung Sungai Merbok.

Pembantu Ehwal Ekonomi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok Rostam Abd Ghani berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi peruntukan berbentuk geran bernilai RM1.1 juta untuk melaksanakan projek itu.

Rostam berkata 111 penduduk miskin terpilih untuk terlibat dalam projek itu yang mana mereka akan diberikan dividen hasil daripada keuntungan projek itu bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"PPK Merbok dipilih sebagai pelaksana projek untuk peserta e-Kasih dan Azam Tani dengan setiap seorang diberi RM10,000 tetapi bukan berbentuk tunai. Mereka yang terdiri daripada 73 penduduk dari Merbok, 24 dari Sungai Petani dan 14 dari Kuala Muda Selatan itu akan diberi dividen sebanyak 70 peratus keuntungan bersih daripada perniagaan chalet terapung itu," katanya.

Pengurus Agro Pelancongan Chalet Terapung PPK Merbok Hamdan Awang (gambar) berkata dalam fasa pertama, sebuah bangunan rumah pekerja dan tiga buah chalet biasa termasuk pelantar pejalan kaki telah pun siap sebagai satu daripada usaha menambah chalet sedia ada bagi menampung permintaan pelancong.

"Untuk fasa kedua pula, sebuah restoran berserta dua buah pelantar memancing sedang dibina dan dijangka siap November ini," katanya.

Bagi masyarakat di Merbok, kerajaan Pusat yang diterajui BN dilihat mempunyai idea yang baik untuk memajukan Merbok sebagai pusat pelancongan dan pendidikan.Namun untuk memastikan mereka mendapat manfaat yang ketara, penduduk Parlimen Merbok dan semua Dewan Undangan negeri berkaitan hendaklah sehaluan dengan kerajaan Pusat, bagi melicinkan pelaksanaan projek-projek dirancang.

Selain itu, jika Parlimen Merbok terus kekal dikuasai parti pembangkang, berdasarkan pengalaman lalu, apa yang dirancang akhirnya tidak akan memihak kepada penduduk Merbok. -- BERNAMA


Khamis, 13 September 2012

Kemeriahan Syawal Terus Dirasai.


Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain melayan tetamu yang hadir
pada majlis rumah terbuka aidilfitri parlimen merbok di  kompleks penyayang JKM kuala muda.

MAJLIS Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Merbok berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan biarpun Syawal telah hampir ke penghujungnya.

Diadakan siang tadi bertempat di Kompleks Penyayang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda.Majlis tersebut bermula pada jam 11.00 pagi dan berlangsung selama 5 jam sehingga pukul 4.00 petang.

Kira-kira 8,000 orang tetamu pelbagai kaum telah membanjiri khemah - khemah yang terletak diperkarangan kompleks tersebut.

Para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah termasuk nasi tomato, sate, mi, koetiaw, kuih muih serta lain-lain juadah istimewa.

Rumah terbuka ini turut diserikan dengan kehadiran pelakon dan pengacara terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

Kanak-kanak  menerima duit raya dari Datin Noor Adawiyah.
Datuk Jalaluddin Hassan turut menghiburkan tetamu.



Lintas Langsung Dari Lokasi Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Merbok.


Lintas langsung ini dibawa terus dari perkarangan Kompleks Penyayang, Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) Kuala Muda dimana ketika ini sedang berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen merbok bersama Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain.

Sejak jam 11 pagi tadi para tetamu pelbagai kaum sudah mula membanjiri rumah terbuka ini. Sehingga ini dianggarkan seramai 3000 orang tetamu telah hadir.

Dengan lebih 20 jenis juadah disediakan, masih belum terlewat untuk anda bersama kami disini sehingga jam 4 petang ini.








Live band 'dendang perantau'.



Datin Noor Adawiyah mesra bersama tetamu yg hadir.


Rabu, 12 September 2012

Jemputan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Merbok.

Persiapan majlis rumah terbuka sedang dijalankan.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Merbok akan diadakan esok (Khamis,13.9.2012) bermula jam 11 pagi hingga 4 petang, bertempat di Perkarangan Dewan Kompleks Penyayang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.

Dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis tersebut.

Ahad, 2 September 2012

Bersatu hadapi PRU-13.


Semua ahli UMNO Bahagian Merbok diseru memainkan peranan untuk mendapatkan sokongan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, seruan itu perlu disahut atau UMNO akan berhadapan kesukaran untuk menawan Parlimen Merbok.
“Kita perlu bersatu kerana jika ada sebarang perpecahan maka laluan untuk UMNO menawan Merbok dilihat amat sukar,” katanya
Ahli UMNO perlu juga menyokong setiap calon yang dipilih pucuk pimpinan parti pada PRU akan datang untuk memastikan kemenangan parti itu.
Selain itu, katanya, Ahli UMNO juga perlu memainkan peranan untuk  menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang sebelum PRU akan datang. Menurut beliau setiap isu berkenaan perlu diselesaikan dengan cara berhemah.

Jelasnya usaha itu bertujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa isu yang ditimbulkan pembangkang selama ini semata-mata untuk meraih undi.
Tajul Urus yang juga merupakan penyelaras Parlimen Merbok bercakap kepada media semasa menghadiri Persidangan Agung Perwakilan 3 sayap iaitu PUTERI, WANITA dan PEMUDA semalam.
Persidangan puteri diadakan di dewan Hotel Aman Pura, sementara Persidangan wanita diadakan di Dewan MRSM, Merbok manakala persidangan Pemuda diadakan di Kelab Cinta Sayang.
Beliau berkata,kemenangan parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu bukan kerana parti tersebut kuat tetapi kelemahan BN yang tidak bersatu padu.