Ahad, 2 Jun 2013

Kedah Laksana Pelan Transformasi Negeri Ransang Ekonomi - Mukhriz


LANGKAWI: Kedah menyasar meningkatkan ekonominya dengan melaksanakan pelan transformasi negeri yang membolehkan lebih ramai pelabur domestik dan asing meneroka sektor baru di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir, berkata kerajaan negeri merancang untuk memiliki hab kuasa ekonominya sendiri yang akan menjana aktiviti inovasi tempatan yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global.

"Sektor pelancongan merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada pendapatan negara kasar (PNK) Kedah dan kami akan melihat apa yang boleh kami lakukan untuk meningkatkan sektor berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman antara Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pekan Artisan Sdn Bhd.

Beliau berkata, Kedah mempunyai banyak daya tarikan untuk meningkatkan ekonominya, terutamanya pulau tersohor, Langkawi, yang boleh menarik pelabur dalam dan luar negara.

Mukhriz berkata, Langkawi, penyumbang potensi kepada PNK Kedah, boleh menarik lebih tiga juta pelancong setiap tahun, dengan PNK berkaitan pelancongan diunjur mencecah RM3.8 bilion menjelang 2015.

"Buat permulaan, kami berusaha untuk menarik pelaburan bernilai kira-kira RM5 bilion, di samping mewujudkan sekurang-kurangnya 4,200 peluang pekerjaan baru bagi penduduk tempatan dan meningkatkan kedatangan pelancong," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, dengan kira-kira tiga juta kedatangan pelancong direkodkan di Langkawi, perolehan pendapatan ialah sekitar RM2.6 bilion.
Menurut Mukhriz, Langkawi mendapat faedah daripada pelaburan domestik dan asing sejak pelaksanaan Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi (2011-2015).

Pada Disember 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak melancarkan pelan tindakan berkenaan untuk menjadikan Langkawi sebagai satu daripada 10 destinasi pulau utama dunia.

-BERNAMA

Tiada ulasan: