KUALA LUMPUR -
Siasatan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sekeping gambar
dimuatkan di internet menunjukkan kononnya berlaku insiden lampu padam semasa
pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu adalah fitnah
dan lakonan itu dirakamkan sebelum PRU13 lagi.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata,
kesimpulan itu dibuat hasil penelitian beliau bersama pegawai-pegawainya.
“Mereka sudah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya
lagi untuk disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya
berlaku kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
“Pada gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR
sedang mengira kertas undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu
padam sedangkan petugas itu langsung tidak memakai baju SPR,” katanya kepada
Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, bukti paling nyata apabila gambar tersebut
menunjukkan terdapat ramai pemberita dan jurugambar berada di dalam tempat
pengiraan undi sedangkan hakikatnya tidak ada sesiapa yang boleh berada di
tempat tersebut melainkan petugas SPR dan ejen calon.
“Prosedur Operasi Standard (SOP) dan tatacara kerja seperti
yang ditunjukkan oleh gambar itu langsung tidak betul… mereka sudah terlupa,
hendak menipu tetapi tidak faham tatacara kerja dan tidak matang.
“Malah dulang yang digunakan untuk meletak kertas undi juga
bukan dulang SPR, bahan dan saiznya berbeza.. banyak perkara dalam gambar tidak
ikut SOP SPR,” katanya.
Wan Ahmad berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan
polis dibuat berkaitan dakwaan lampu padam dan itu membuktikan bahawa ia
ternyata fitnah pembohongan yang direka-reka dan tidak berasas.
“Kalau ada lampu padam, tentulah ada ejen-ejen parti membuat
laporan polis, mereka mewakili calon, mereka ada di tempat mengira undi, jika
lampu padam dia yang akan mula-mula sekali berlari buat laporan polis, tetapi
tidak.
“Malah pada malam pengiraan undi itu juga, saya apabila
mendapat ‘tweet’ mengatakan lampu padam oleh ‘cybertrooper’ yang tidak bertanggungjawab,
kita terus semak kawasan mana, kita semak dengan pengarah negeri kita, Pegawai
Pengurus dan saluran sekolah yang dituduh tetapi ternyata tidak ada apa-apa,”
katanya.
Dalam pada itu, mengenai dakwaan sebuah akhbar pembangkang
bahawa 24 petugas SPR di Besut, Terengganu telah dikurung bagi memangkah kertas
undi, Wan Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat
dakwaan berkenaan.
Beliau berkata, namun kesemua mereka dipercayai masuk ke
satu bilik itu untuk memangkah kertas undi masing-masing memandangkan kesemua
mereka mengundi secara pos kerana bertugas pada PRU13.
“Salah seorang daripada mereka didapati telah membuat
laporan polis… itu keputusan yang bagus dan betul agar polis dapat membuka
kertas siasatan.
“Namun dipercayai mereka mendapat sampul surat yang berisi
kertas undi untuk mengundi cara pos dan itu hak mereka untuk pangkah di
mana-mana lokasi termasuk di dalam bilik yang dikatakan itu.. namun apa yang
sebenarnya berlaku kita tidak tahu,” katanya.
Katanya, masyarakat tidak harus membuat andaian dan rumusan
sendiri dengan hanya membaca melalui media pembangkang sedangkan semua yang
dilaporkan berkaitan SPR adalah buruk dan berbaur fitnah.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata cadangan pembangkang agar
Tribunal Rakyat ditubuhkan adalah amat berbahaya kerana ia membelakangkan
perlembagaan dan undang-undang negara.
“Siapa yang akan mewakili Tribunal Rakyat itu? Orang-orang
mereka, pemimpin NGO yang selama ini yang menentang sistem dan dasar pilihan
raya? Mereka yang menyemai budaya tidak baik dan tidak sopan pada anak muda?,”
katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan