Rentetan dari situ, para penyokong PAS beriktikad dalam hati
dan tutur katanya bahawa menyokong UMNO adalah haram di sisi Islam dan jika
mengundi BN hukumnya kafir atau akan gugur akidahnya.
Kepercayaan songsang sebegini berlaku kerana wujudnya sikap
taksub buta tuli yang dikembang biak oleh pemimpin PAS dan ia bertambah parah
apabila dalam mana-mana ceramah di pentas politik PAS tidak pernah lupa
memainkan propagandanya bahawa UMNO juga menolak Islam.
Kesan daripada doktrin sedemikian akhirnya terus terpahat
kukuh di sanubari ramai pengikut PAS tanpa sekelumit pun timbul persoalan
sejauh mana benarnya dakwaan songsang pemimpin-pemimpin PAS yang hanya
bermodalkan air liur itu.
Langsung tak terdetik di hati mereka betulkah pemimpin UMNO
mengemudi parti dengan bersandarkan pegangan bahawa politik suku dan agama suku
atau dengan maksud lain politik dan agama Islam mesti diasingkan?
Tak terlintas di benak mereka untuk bertanya lebih lanjut
apakah menyokong UMNO benar-benar akan menyebabkan akidah gugur atau terpesong
seterusnya menjadi kafir dan tak termungkin mencium bau syurga di akhirat
kelak?
Jawapan-jawapan kepada persoalan tersebut sebenarnya tidak
sukar untuk ditemui jika pengikut PAS dan pemimpinnya ikhlas meletakkan
kebenaran hakiki melampaui kepentingan politik kepartian.
Sebetulnya, sebagaimana penganut Islam yang lain, para
pemimpin UMNO, ahli dan penyokongnya senantiasa berpegang teguh bahawa politik
adalah sebahagian daripada Islam.
Bezanya antara UMNO dan PAS ialah, UMNO memperalatkan kuasa
politik demi kepentingan agama serta memartabatkan Islam, di masa yang sama
memanfaatkan kuasa yang diperolehi untuk manfaat orang Melayu Islam.
Manakala PAS pula, mempergunakan agama Islam untuk mengejar
laba politik duniawi demi memenuhi selera peribadi. Dek kerana itulah walaupun
kalimah Allah s.w.t dituntut oleh mubaligh dan paderi Kristian, Mursyidul Am
PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa berselindung telah mempersetujui tuntutan
tersebut.
UMNO sejak ia ditubuhkan hingga sekarang sentiasa peka dengan
tuntutan ummah apabila berjaya memperjuangkan martabat agama Islam sebagai
agama Persekutuan dalam Perlembagaan Negara.
Dan Perlembagaan Negara yang terbentuk dari hasil perjuangan
UMNO itulah yang kini mahu dipertahankan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang
melalui Buku Jingga yang ditandatanganinya sendiri.
Walhal lebih 3 dekad lalu dalam Amanat Hadi pada 1981,
beliau mengajak penyokong PAS menentang Perlembagaan Negara yang didakwanya
adalah perlembagaan jahiliah, sekular dan kafir.
Jika benar UMNO mengamalkan fahaman “politik suku agama
suku” sebagaimana dipropagandakan oleh PAS, nescaya jadi sekularlah negara kita
sebagaimana Indonesia yang menetapkan Pancasila sebagai roh negaranya ataupun
menjadi seperti Turki yang menetapkan agenda sekular sebagai pegangan negara.
Dalam hal “politik suku agama suku” para pengikut PAS
sepatutnya menuntut pemimpin mereka supaya mencerminkan muka sendiri untuk
mengetahui siapa sebenarnya mengamalkan pegangan songsang itu.
Bukankah Nik Aziz pernah memperlekehkan teguran Mufti Perak,
Ustaz Harussani Zakaria dengan meminta Tuan Mufti yang lantang bersuara itu
supaya menjauhi politik? Tidakkah itu bermakna Mursyidul Am PAS tanpa sedar
mahu mengasingkan politik dan agama?
Begitu juga apabila Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub
menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjauhi unsur politik,
bukankah gesaan itu bermatlamat menghalang teguran pihak JAKIM berkaitan
politik sekaligus memberi gambaran PAS menolak campurtangan Jabatan Agama dalam
hal politik?
Malah Ketua Dewan Ulama PAS, Haron Taib juga pernah dengan
lagak egonya mempersoalkan campurtangan Mufti Perak dan Mufti Wilayah
Persekutuan berikutan teguran mereka berdua berhubung kesesatan Amanat Hadi.
Kesemua tingkah laku pemimpin-pemimpin PAS itu segalanya
menjurus kepada “politik suku agama suku”. Bukan begitu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan