Memaparkan catatan dengan label Ambiga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ambiga. Papar semua catatan

Ahad, 29 April 2012

Bersih 3.0: Ambiga, Pembangkang Bertanggungjawab!


Pemimpin parti pembangkang dan Datuk S. Ambiga perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang terhadap kecederaan dan kerosakan harta benda yang berlaku semasa berlangsungnya perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam perhimpunan itu Ambiga yang merupakan Pengerusi Bersih ternyata gagal mengawal keadaan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan rusuhan dan kecederaan polis.

"Dalam kejadian semalam, Ambiga tidak dapat mengawal keadaan dan telah `diculik' oleh parti pembangkang. Kalau ia pembangkang kita tahu muslihat mereka, ini sebahagian daripada rancangan untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Mereka mahu membentuk fikiran rakyat kononnya semuanya tidak betul supaya jikalau Barisan Nasional (BN) kekalkan kuasa, mereka akan kata itu kemenangan yang palsu.

"Mereka nak menimbulkan kemarahan rakyat dan membawa anak-anak muda mengadakan demonstrasi di jalan raya seperti berlaku di sesetengah negara,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pasukan polis telah menjalankan tugas dengan profesional serta menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh dimanipulasi oleh parti pembangkang.

"Ketika menjalankan tugas, polis telah berjaya mengawal perasaan masing-masing, tetapi malangnya peserta Bersih 3.0 yang tidak dapat mengawal diri sendiri,'' katanya.

Muhyiddin berkata, beliau bagaimanapun tidak akan terkejut sekiranya parti pembangkang tetap mencari pelbagai alasan untuk mempersalahkan polis atau kerajaan.

"Mereka akan salahkan polis memulakan kekacauan atau gagal mengawal keadaan, tetapi dunia sudah terbuka dan kita boleh lihat video untuk tahu apa sebenar yang berlaku," katanya.

Khamis, 26 April 2012

Bersih: Umat Islam Patut Malu - Ismail Mina.



KUALA LUMPUR 25 April - Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, adalah haram bagi umat Islam menyokong Datuk S.Ambiga kerana Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) itu merupakan pejuang tegar kepada amalan seks songsang di negara ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga tokoh agama berkata, umat Islam yang terlibat dalam perhimpunan Bersih wajib malu kerana dikepalai oleh pejuang yang menyokong perkara bercanggah dengan agama.

 “Sewajarnya umat Islam menjauhi pemimpin seperti ini dan membuat pilihan lebih tepat dengan memilih ketua yang selayaknya dan melakukan perhimpunan di lokasi tertutup dalam menuntut sesuatu perkara,’’ katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berdasarkan fatwa ulama tersohor dunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi berhubung amalan LGBT iaitu umat Islam dilarang makan dan minum bersama dengan pengamal serta penyokong seks songsang, apatah lagi, jika berada di belakang individu yang cukup dikenali sebagai penyokong kuat amalan tersebut.

Ismail Mina menegaskan,  kredebiliti Ambiga wajar dipertikaikan pengikut perhimpunan tajaan pembangkang itu, gara-gara beliau tidak mempunyai hubungan dan pemikiran yang bersih.

“Dimana bersihnya Ambiga apabila sudah terang lagi bersuluh bahawa beliau selama ini jelas memperjuangkan  hak golongan LGBT di negara ini.

“Jika dinilai melalui perspektif mana-mana agama terutama islam, Ambiga sama sekali tidak layak mengetui apa-apa disebabkan beliau sudah dikotori kekufuran apatah lagi perjuangannya dalam perhimpunan tersebut hanyalah daripada suara minoriti masyarakat dalam negara sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah memberi kebebasan bersuara dan berhimpun, oleh itu rakyat perlu belajar memahami erti demokrasi.

“Demontrasi  jalanan hanya menyusahkan orang ramai yang tidak terlibat dan sewajarnya Bersih tahun lalu dijadikan pengajaran,”  katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Darul Quran wal Hadith, Datuk Rameli Musa berkata, kebanyakan penggerak Bersih terdiri daripada ahli Pas,sepatutnya mereka memilih pemimpin yang jelas akidah dan Bersih daripada ideologi menyesatkan umat Islam.

“Sejak kebelakangan ini, Ambiga bukan sahaja dilihat menyokong perjuangan LGBT malahan mempromosikannya di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam,” katanya.

Jelas Rameli, usaha Bersih untuk mengadakan perhimpunan pada sabtu ini perlu dihentikan memandangkan parti yang terlibat seperti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan Dap mempunyai masalah dalam kalangan anggota mereka sendiri.
--Utusan.