Pemimpin parti pembangkang dan Datuk S. Ambiga perlu bertanggungjawab dan dikenakan tindakan undang-undang terhadap kecederaan dan kerosakan harta benda yang berlaku semasa berlangsungnya perhimpunan haram Bersih 3.0 semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
dalam perhimpunan itu Ambiga yang merupakan Pengerusi Bersih ternyata gagal
mengawal keadaan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan rusuhan dan kecederaan
polis.
"Dalam kejadian semalam, Ambiga tidak dapat mengawal
keadaan dan telah `diculik' oleh parti pembangkang. Kalau ia pembangkang kita
tahu muslihat mereka, ini sebahagian daripada rancangan untuk menghadapi
pilihan raya umum.
"Mereka mahu membentuk fikiran rakyat kononnya semuanya
tidak betul supaya jikalau Barisan Nasional (BN) kekalkan kuasa, mereka akan
kata itu kemenangan yang palsu.
"Mereka nak menimbulkan kemarahan rakyat dan membawa
anak-anak muda mengadakan demonstrasi di jalan raya seperti berlaku di
sesetengah negara,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog
Nasional Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pasukan polis telah
menjalankan tugas dengan profesional serta menahan diri daripada melakukan
sesuatu yang boleh dimanipulasi oleh parti pembangkang.
"Ketika menjalankan tugas, polis telah berjaya mengawal
perasaan masing-masing, tetapi malangnya peserta Bersih 3.0 yang tidak dapat
mengawal diri sendiri,'' katanya.
Muhyiddin berkata, beliau bagaimanapun tidak akan terkejut
sekiranya parti pembangkang tetap mencari pelbagai alasan untuk mempersalahkan
polis atau kerajaan.
"Mereka akan salahkan polis memulakan kekacauan atau
gagal mengawal keadaan, tetapi dunia sudah terbuka dan kita boleh lihat video
untuk tahu apa sebenar yang berlaku," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan