Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO
bukan parti rasis kerana ia sentiasa memberi keadilan kepada rakyat tanpa
mengira kaum di negara ini.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sejak ditubuhkan 67
tahun lepas, UMNO menganggap bukan Melayu sebagai rakan kongsi dan akan tetap
mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama kepada semua bangsa.
"Inilah formula terbaik UMNO (keadilan kepada semua),
bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi pada akhirnya memusnahkan
negara Malaysia yang tercinta.
"Kita tidak akan benarkan politik sedemikian...
opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan benarkan kerana
akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina UMNO dan Barisan
Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun UMNO
ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.
Najib berkata, jika bukan kerana isu perkauman yang
dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu memperoleh majoriti yang
lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berakhir Ahad lepas.
Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen
dengan UMNO kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila menyumbangkan 88 kerusi.
Perdana Menteri berkata, pencapaian UMNO pada pilihan raya
umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun diasak dan diserang
pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.
"Tapi, pada akhirnya rakyat Malaysia telah membuat
keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan, kesinambungan dan ingin
melihat agenda pembangunan dan transformasi yang dibawa BN diteruskan,"
katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, UMNO memenangi 79 kerusi
Parlimen. - BERNAMA
