Memaparkan catatan dengan label Balak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Balak. Papar semua catatan

Rabu, 20 Februari 2013

Hasil Negeri Gawat, Pas Kian Terdesak!!


TUNTUTAN RM100 juta oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada Kerajaan Pusat sebagai pampasan untuk menghentikan pembalakan ?cuci mangkuk? di kawasan tadahan hujan berdekatan Tasik Pedu, menunjukkan Pas Kedah cukup terdesak untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun, menyifatkan kenyataan Azizan – yang menjadi menteri besar sejak 2008 – sebagai amat tidak logik dan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi dari segi hubungan kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Namun Pas Kedah tidak mempedulikan sama ada tindakannya disifatkan mengugut, tidak wajar atau pelik kerana perbuatan di luar kewarasan seperti merosakkan alam sekitar dan menggondolkan hutan yang terletak hanya 100 meter dari tasik sudah pun dilaksanakan walaupun tanpa laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Meskipun tuntutan itu membuktikan kewangan negeri tenat atau berisiko muflis namun sungguh melucukan apabila papan-papan tanda menyatakan pendapatan negeri mencecah hingga berbilion ringgit dipacak di merata tempat sebagai propaganda.

?Malah satu papan tanda besar dipacak di depan rumah ayah saya di Jalan Anak Bukit berdekatan lapangan terbang yang mengatakan pendapatan negeri mencapai berbilion ringgit, tetapi sebenarnya angka-angka yang dinyatakan adalah pencapaian kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama dalam menarik pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP),” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Hakikatnya, hutang kerajaan negeri meningkat sebanyak 50 peratus apabila hutang awam dilaporkan berjumlah RM2.6 bilion setakat Disember 2011 dan hutang pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil pula sebanyak RM330 juta.

Kata Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang, hutang Kuin pula perlu mula dilangsaikan hujung tahun ini sebanyak RM49.2 juta setahun dan jumlah itu merupakan penambahan kepada bajet defisit RM1.1 bilion bagi 2013 berbanding anggaran hasil RM640 juta.

Kewangan negeri menjadi lebih tenat apabila sasaran hasil RM640 juta itu iaitu peningkatan RM105.6 juta daripada hasil premium tanah dan bayaran jualan air mentah kepada Pulau Pinang tidak menjadi kenyataan apabila negeri berkenaan telah menolak jualan sumber air itu.

Lebih menyedihkan ekonomi Kedah di bawah Pas seolah-olah tidak bergerak malahan kadar kemasukan pelaburan asing dalam tempoh empat tahun di bawah pentadbiran Pas hanya RM10 bilion. (Angka itu bermakna setahun antara RM2 hingga RM3 bilion sahaja).

Sedangkan, pentadbiran BN pada 2007 berjaya membawa RM14 bilion FDI hanya dalam satu tahun! – bayangkan perbezaan cukup ketara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada Januari hingga Oktober 2012, kemasukan FDI dan pelaburan langsung domestik negeri (DDI) negeri terus merosot kepada hanya RM373.3 juta, menjadikan Kedah terjatuh dari tangga kelima pada 2007 ke tangga ke-11 ketika ini berbanding negeri lain.

Kerajaan negeri tiada idea baharu yang kreatif untuk melonjakkan hasil pendapatan negeri melainkan menebang balak dan menjual air hingga tidak menarik minat pelabur menanam modal dalam bidang industri, perkilangan dan pembuatan.

?Walaupun memiliki sedikit kelayakan dari segi akademik tetapi rata-rata pemimpin kerajaan negeri tiada pengalaman mentadbir untuk meningkatkan hasil,” kata bekas Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), Datuk Wira Dr. Mohd. Shariff Abu Samah yang juga pengkaji dan pakar dalam pentadbiran awam negeri.

Justeru, katanya, rakyat perlu membuat pilihan tepat memilih kerajaan negeri pada pilihan raya umum kelak bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri diteruskan untuk kesejahteraan rakyat sebagaimana dirancang oleh BN.

Ia termasuk mendapat nikmat daripada rancangan mewujudkan hab perindustrian baharu yang menyerupai Taman Perindustrian Tinggi Kulim (KHTP), Bandar Getah di Utara Kedah dengan kerjasama kerajaan Thailand yang menyediakan banyak peluang pekerjaan. Industri berkaitan bidang aeroangkasa dan pembinaan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat antarabangsa, sektor pembuatan dan perkilangan kluster, pertanian berteknologi tinggi juga akan dibangunkan di Changlon jika BN mentadbir.

Apa yang penting, isu pokok iaitu pokok balak dan alam sekitar tidak lagi berlarutan jika sumber kekayaan negeri berjaya dijana dan dipelbagaikan untuk meningkatkan hasil bumi jelapang padi ini.

PENULIS adalah Ketua Biro Kedah,

Utusan Malaysia.

Sabtu, 16 Februari 2013

Bayar Pampasan RM100 Juta Untuk Tidak Tebang Balak Di Kedah, Azizan Mengugut Cara Islam?


Ternganga kita dibuatnya apabila Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah mengugut Kerajaan Pusat agar membayar RM100 juta setiap tahun kepada negeri itu sebagai pampasan jika ingin pihaknya menghentikan penggondolan hutan untuk pembalakan.   Nampak benar, yang Menteri Besar Kedah ini telah benar-benar buntu dalam usaha menjana pendapatan negeri.

Kata orang, ego biar bertempat.  Jika sudah buntu, dan tak tahu apa-apa, buangkanlah ego itu jauh-jauh, jika tidak, pasti terserlah kebodohan sendiri.  Tidak apa jika bodoh itu tidak memberi kesan kepada sesiapa, tetapi masalahnya bodoh seorang Menteri Besar memberi kesan kepada rakyat, malah bumi Kedah juga.

Jika dulu Azizan begitu lantang menghamun kepimpinan Barisan Nasional, kononnya bodoh, tidak prihatin dan korup, tetapi setelah diberi peluang untuk menunjukkan cara kepimpinan yang bijak, prihatin dan telus, bingunglah pula Azizan jadinya.  Kini, baru beliau tahu bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar ijazah dalam bidang agama dan suara lantang yang gemar menghentam orang.

Sepertimana kaum Arab yang dikurniakan sumber paling berharga di dunia tetapi tidak mampu menjadi peneraju ilmu dan pemerintah dunia, begitulah keadaannya di kalangan pemimpin PAS.  Telah dikatakan di dalam AlQuran, bahawa ilmu yang penting adalah ilmu sains dan matematik dari pengamatan bintang dan cakerawala, gunung ganang dan lautan mahupun zarah-zarah di dalam udara.   Tetapi mereka tidak mendengarnya, mereka tidak memahaminya walaupun ramai di antara mereka fasih berbahasa Arab, hatta hafal Al-Quran juga.

Justeru, hari ini kita melihat sendiri apa terjadi apabila seseorang yang mengaku pakar agama mentadbir macam orang tak ada agama. Terserlah sikap angkuh, ego, takbur, riak, panas baran dan mengugut sana sini apabila buntu dan terdesak.

Bukan sahaja kerajaan pusat hendak diugut, tetapi juga kerajaan sahabat merangkap jiran sendiri, iaitu Pulau Pinang juga turut cuba diperas.  Oleh kerana Pulau Pinang enggan melayan mimpi Azizan untuk mengenakan caj bekalan air mentah ke negeri itu, maka Phahrolrazi, exco Kedah telah membuat kenyataan berbaur ugutan iaitu Pulau Pinang akan mengalami kesukaran jika terus enggan melayan cadangan Kedah.

Malangnya, Pulau Pinang mengambil sikap ‘bo-layan’ sahaja terhadap ugutan Kedah.

Maka, semakin bingunglah Azizan sehingga sanggup mengambil risiko memusnahkan alam sekitar dan mendedahkan rakyat kepada risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat bencana alam dengan berdegil untuk meneruskan pembalakan haram.  Maka, satu-satunya cara untuk menghentikan kegilaan ini ialah dengan kerajaan pusat membayar sejumlah RM100 juta kepada Kedah.

Persoalannya, sampai bila Azizan boleh mentadbir dengan cara mengugut?

Kenapakah keadaan sebegini tidak pernah terjadi semasa pemerintahan BN?  Kenapakah walaupun dikatakan korup, bodoh dan zalim, BN tidak pernah mengambil risiko ke atas nasib rakyat dan tidak pernah membiarkan kewangan negeri berada dalam keadaan begitu tenat?

Bagaimana jika kerajaan pusat mengambil keputusan untuk mengugut Azizan kembali iaitu, jika beliau inginkan RM100 juta itu, maka beliau harus menjustifikasi dan menangani segala ketirisan dalam kewangan negeri Kedah secara terperinci terlebih dahulu, bagi memastikan RM100 juta tersebut tidak terbazir begitu saja.

Atau lebih baik lagi, jika kerajaan pusat mengugut agar Azizan meletakkan jawatan terlebih dahulu, jika inginkan RM100 juta itu disumbangkan kepada Kedah.

Atau lebih mudah, mungkin kerajaan pusat boleh mengugut Azizan agar membuat pengakuan terbuka dan meminta maaf kepada rakyat Kedah kerana beliau benar-benar tidak tahu bagaimana untuk mentadbir sebuah negeri, sebelum menyalurkan RM100 juta tersebut kepadanya.  Bagaimana?

Walaupun persoalan ini kelihatan seperti ‘lawak’, kata orang Kedah, tetapi sebenarnya tiada apa yang lawak mengenainya, malah sedih dan membimbangkan.

Khabar dari Kedah menyatakan bahawa kewangan Kedah sudah terlalu sangat meruncing sehinggakan semua program dan perjalanan dibekukan kerana kerajaan negeri tidak dapat menanggung kos, terutamanya kos minyak.

Mana tidaknya, jika kesemua perbelanjaan negeri bergantung sepenuhnya kepada pendapatan dari balak semata-mata.   Bayangkan, ketika pemerintahan BN pada tahun 2007, balak hanya menjana RM8 juta, tetapi di masa pemerintahan PAS pendapatan dari balak dalam keluasan yang sama mencanak naik sehingga RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009 dan RM53 juta pada 2010?!

Kini balak-balak hampir habis, sehinggakan hutan simpan kekal juga gondol dikerjakan PAS Kedah sedangkan di masa yang sama kesemua anak-anak syarikat dan projek-projek negeri mengalami kerugian dan masih lagi menjana kerugian kerana ketidakcekapan, ketidaktelusan dan ‘ketidak-tahuan’ para pegawai yang dilantik.  Mahu tidak meroyan jadinya Azizan?

Benarlah rungutan rakyat Kedah, bahawa PAS memerintah bagaikan mentadbir sebuah kampung.  Perihal peraturan dan undang-undang semuanya diambil ‘enteng’.  Kesemua pegawai dan exco membawa sikap ‘kaduk naik junjung’ dan ‘kera mendapat bunga’ seolah-olah merekalah kuasa segala kuasa dan boleh berbuat apa saja.  Akhirnya, semuanya berada di luar kawalan.

Khabarnya juga, pegawai kewangan negeri, Dato’ Haji Puat, sepupu Azizan yang telah berada di situ sejak zaman pemerintahan BN juga sudah putus harapan kerana gagal mendapat kerjasama Azizan sendiri.

Justeru, apakah kesudahannya nasib Negeri Kedah?

Nasib negeri Kedah adalah tidak pasti kerana ia bergantung kepada rakyat Kedah dalam PRU-13 ini.

Namun, apa yang pasti ialah Azizan tidak ada hak untuk mengugut, tetapi inilah masanya untuk beliau mengangkat tangan, mengaku kalah.