TUNTUTAN RM100 juta oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada Kerajaan Pusat sebagai pampasan untuk menghentikan pembalakan ?cuci mangkuk? di kawasan tadahan hujan berdekatan Tasik Pedu, menunjukkan Pas Kedah cukup terdesak untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
pernah menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun, menyifatkan kenyataan
Azizan – yang menjadi menteri besar sejak 2008 – sebagai amat tidak logik dan
tidak masuk akal, lebih-lebih lagi dari segi hubungan kerajaan negeri dengan
Persekutuan.
Namun Pas Kedah tidak mempedulikan sama ada tindakannya
disifatkan mengugut, tidak wajar atau pelik kerana perbuatan di luar kewarasan
seperti merosakkan alam sekitar dan menggondolkan hutan yang terletak hanya 100
meter dari tasik sudah pun dilaksanakan walaupun tanpa laporan Penilaian Kesan
Alam Sekitar (EIA).
Meskipun tuntutan itu membuktikan kewangan negeri tenat atau
berisiko muflis namun sungguh melucukan apabila papan-papan tanda menyatakan
pendapatan negeri mencecah hingga berbilion ringgit dipacak di merata tempat
sebagai propaganda.
?Malah satu papan tanda besar dipacak di depan rumah ayah
saya di Jalan Anak Bukit berdekatan lapangan terbang yang mengatakan pendapatan
negeri mencapai berbilion ringgit, tetapi sebenarnya angka-angka yang
dinyatakan adalah pencapaian kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama dalam
menarik pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP),” kata Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Hakikatnya, hutang kerajaan negeri meningkat sebanyak 50
peratus apabila hutang awam dilaporkan berjumlah RM2.6 bilion setakat Disember
2011 dan hutang pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di
Kuala Ketil pula sebanyak RM330 juta.
Kata Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang, hutang
Kuin pula perlu mula dilangsaikan hujung tahun ini sebanyak RM49.2 juta setahun
dan jumlah itu merupakan penambahan kepada bajet defisit RM1.1 bilion bagi 2013
berbanding anggaran hasil RM640 juta.
Kewangan negeri menjadi lebih tenat apabila sasaran hasil
RM640 juta itu iaitu peningkatan RM105.6 juta daripada hasil premium tanah dan
bayaran jualan air mentah kepada Pulau Pinang tidak menjadi kenyataan apabila
negeri berkenaan telah menolak jualan sumber air itu.
Lebih menyedihkan ekonomi Kedah di bawah Pas seolah-olah
tidak bergerak malahan kadar kemasukan pelaburan asing dalam tempoh empat tahun
di bawah pentadbiran Pas hanya RM10 bilion. (Angka itu bermakna setahun antara
RM2 hingga RM3 bilion sahaja).
Sedangkan, pentadbiran BN pada 2007 berjaya membawa RM14
bilion FDI hanya dalam satu tahun! – bayangkan perbezaan cukup ketara yang
memberi manfaat kepada rakyat.
Pada Januari hingga Oktober 2012, kemasukan FDI dan
pelaburan langsung domestik negeri (DDI) negeri terus merosot kepada hanya
RM373.3 juta, menjadikan Kedah terjatuh dari tangga kelima pada 2007 ke tangga
ke-11 ketika ini berbanding negeri lain.
Kerajaan negeri tiada idea baharu yang kreatif untuk melonjakkan
hasil pendapatan negeri melainkan menebang balak dan menjual air hingga tidak
menarik minat pelabur menanam modal dalam bidang industri, perkilangan dan
pembuatan.
?Walaupun memiliki sedikit kelayakan dari segi akademik
tetapi rata-rata pemimpin kerajaan negeri tiada pengalaman mentadbir untuk
meningkatkan hasil,” kata bekas Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), Datuk Wira
Dr. Mohd. Shariff Abu Samah yang juga pengkaji dan pakar dalam pentadbiran awam
negeri.
Justeru, katanya, rakyat perlu membuat pilihan tepat memilih
kerajaan negeri pada pilihan raya umum kelak bagi memastikan kesinambungan
pembangunan negeri diteruskan untuk kesejahteraan rakyat sebagaimana dirancang
oleh BN.
Ia termasuk mendapat nikmat daripada rancangan mewujudkan
hab perindustrian baharu yang menyerupai Taman Perindustrian Tinggi Kulim
(KHTP), Bandar Getah di Utara Kedah dengan kerjasama kerajaan Thailand yang
menyediakan banyak peluang pekerjaan. Industri berkaitan bidang aeroangkasa dan
pembinaan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat
antarabangsa, sektor pembuatan dan perkilangan kluster, pertanian berteknologi
tinggi juga akan dibangunkan di Changlon jika BN mentadbir.
Apa yang penting, isu pokok iaitu pokok balak dan alam
sekitar tidak lagi berlarutan jika sumber kekayaan negeri berjaya dijana dan
dipelbagaikan untuk meningkatkan hasil bumi jelapang padi ini.
PENULIS adalah Ketua Biro Kedah,
Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan