Memaparkan catatan dengan label Janji Ditepati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Janji Ditepati. Papar semua catatan

Jumaat, 31 Ogos 2012

Sambutan Merdeka Parlimen Merbok Meriah.

Sambutan Kemerdekan bagi Parlimen Merbok telah diadakan serentak di dua tempat iaitu padang pejabat perkhidmatan JKKP Sg Lalang serta di Dewan JKKP Kampung Bujang malam tadi yang dianjurkan oleh JKKP setempat yang turut dihadiri Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain bersama isteri, Datin Noor Adawiyah Morad.
Kira-kira 3000 penduduk turut bersama meraikan sambutan berkenaan. Pelbagai aktiviti telah turut dijalankan seperti membuat pulut bendera Malaysia, pertandingan Kuiz, pertandingan pakaian bertema kemerdekaan dan sebagainya bagi memeriahkan sambutan.
Dato' Hj. Tajul Urus berkata, keadaan negara yang aman, stabil dan makmur dibawah kerajaan Barisan Nasional yang 'menepati janji' membolehkan apa saja perayaan disambut dengan selesa.

Kerana itu katanya, setiap rakyat harus berjanji untuk menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara ini.

Pertunjukan bunga api turut diadakan tepat jam 12 tengah malam tadi.

 

Rabu, 15 Ogos 2012

Janji Ditepati - RM400,000 Untuk Persatuan Pasukan Keselamatan, Kolej Tentera.


Kerajaan Persekutuan menyalurkan sumbangan berjumlah RM400,000 kepada lima persatuan pasukan keselamatan serta Kolej Tentera Udara di Kepala Batas, Kedah.
Cek sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah bersama Penyelaras Parlimen Merbok yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di majlis berbuka puasa bersama anggota tentera di Markas 6 Briged, Sungai Petani.
Penerima sumbangan  berkenaan adalah Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Kedah (RM100,000, Persatuan Bekas Pegawai Penjara (RM100,000), Kolej Tentera Udara Kepala Batas (RM50,000), Persatuan Keluarga Polis Kedah (RM50,000), Persatuan Isteri dan Anak Kakitangan Penjara Kedah (RM50,000) dan Bakat 6 Briged (RM50,000).
Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain menjelaskan, penyerahan sumbangan tersebut merupakan janji Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kunjungan beliau ke Kedah pada 19 Jun lalu.
“Pada hari ini kita telah menyampaikan cek sumbangan berkenaan bagi pihak kerajaan persekutuan,
Penyerahan cek ini juga adalah selaras dengan iltizam kita iaitu 'janji ditepati', malahan janji itu ditepati dengan cepat,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan cek berkenaan."
Hampir 1,000 anggota tentera menghadiri majlis tersebut.
Tajul turut memberikan 'duit raya' kepada anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Bekas Perajurit, Kulim.

Rabu, 11 Julai 2012

Merbok Terus Maju, Kini Merupakan Hab Pendidikan Di Negeri Kedah!!

SUNGAI PETANI  - Hasrat menjadikan kawasan Merbok sebagai hab pendidikan lengkap di Kedah bakal terlaksana apabila sebuah sekolah pendidikan khas bertaraf tinggi bernilai RM20 juta beroperasi tidak lama lagi.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, projek sekolah berkenaan yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan lif, laluan orang buta, asrama dan lapan bilik darjah serta empat tandas.
Beliau berkata, projek tersebut dimulakan sejak tahun 2009 dan kini pembinaan telah siap sepenuhnya serta boleh diduduki dalam tempoh terdekat.

"Proses pemindahan murid orang kurang upaya (OKU) sedang dijalankan dan dijadual selesai dalam masa dua bulan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan kunci secara simbolik daripada kontraktor kepada Bahagian Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di sini semalam.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, buat masa ini, senarai  pelajar OKU telah dilengkapkan dengan sebahagian daripada mereka telah menumpang di sekolah  harian biasa di sekitar Sungai Petani sejak tahun lalu.
"Apabila  semua telah siap dan dilengkapi dengan kemudahan sepenuhnya, bukan sahaja murid terbabit akan dapat belajar  dalam suasana lebih kondusif, malah kualiti pendidikan khas juga diharap dapat ditingkatkan",
"Sekarang  di Merbok  sudah pun ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Institut Perubatan, Sains danTeknologi Asia (AIMST) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan projek ini merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) menjadikan Merbok sebagai hab pendidikan di negeri ini," ujarnya.

Tambahnya, kemudahan pendidikan yang disediakan ini bakal memberikan manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk Merbok tetapi juga di seluruh Negeri Kedah amnya.

Selasa, 10 Julai 2012

Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional Semakin Baik - Penganalisis.


Persepsi rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin baik berbanding semasa pilihan raya umum 2008 meskipun kerap dilemparkan dengan pelbagai fitnah oleh pembangkang.

Dengan pelbagai inisiatif yang dirangka, golongan muda kini mula dapat menilai kesungguhan kerajaan yang begitu prihatin bagi mencorakkan masa depan negara yang lebih meyakinkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, perubahan persepsi itu adalah berikutan inisiatif mentransformasikan negara menerusi Program Transformasi Politik, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, membuahkan hasil dan dapat dirasai sendiri oleh rakyat.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpendapat majoriti rakyat kini sedar mengenai pelbagai program yang berbentuk sosial dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan BN sehingga sukar bagi pembangkang menafikannya.

Program-program itu termasuklah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia), Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang kian dekat di hati rakyat.

Program meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan keselesaan rakyat yang jelas seperti inilah yang dimahukan semua rakyat, khususnya pengundi di luar bandar. Bagi pengundi di bandar pula, selain menikmati hasil program itu, turut menghargai ketelusan pemimpin yang mendengar masalah mereka dan berusaha mencari penyelesaian," katanya.

Sivamurugan berkata banyak usaha dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam setiap lawatan dan tinjauan mesra di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan hasilnya, persepsi negatif terhadap BN telah terhakis.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun pilihan raya umum ke-13 semakin hampir, namun golongan atas pagar dilihat masih berhati-hati untuk memilih parti mana yang mampu mewakili mereka untuk meneruskan pembangunan dan bukannya menabur pelbagai janji kosong.

"Walaupun dalam diam, mereka menilai apa yang telah dibuat oleh kerajaan BN dan apa juga yang telah dibuat oleh kerajaan pembangkang sepanjang pemerintahan sejak 2008. Saya boleh mengandaikan BN boleh mendapat balik sokongan daripada pengundi protes pada 2008," katanya.

Katanya, dengan gerak kerja berterusan Perdana Menteri dan timbalannya, BN mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, apatah lagi jika kesungguhan yang sama ditunjukkan juga oleh segenap lapisan pemimpin BN.

"Memanglah sesiapapun perlu bekerja keras untuk mendapatkan undi," katanya sambil menambah bahawa faktor calon dan isu yang dibawa akan memainkan peranan yang sangat penting untuk menentukan kemenangan sesebuah parti.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA, Anuar Abd Manaf berkata menerusi kajian sokongan yang dilaksanakan pihaknya mendapati lebih 60 peratus belia di seluruh negara kini menyokong BN.

Ini kerana persepsi buruk yang dilemparkan pembangkang kononnya kerajaan BN zalim, menindas rakyat dan mengabaikan rakyat termasuk belia ternyata tidak dapat mempengaruhi mereka kerana golongan belia sendiri sudah merasai satu demi satu hasil usaha kerajaan BN, baik ke stas diri mereka mahupun keluarga mereka, katanya.

"Contohnya dalam isu perumahan, kerajaan BN telah mengotakan janjinya dengan melaksanakan PR1MA dan kalau kata kos kehidupan meningkat, kerajaan beri BR1M dan KR1M untuk meringankan beban rakyat. Program ini disyukuri oleh golongan belia terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Ini semua tidak dinikmati golongan belia jika pembangkang memerintah. Janji oleh pembangkang tidak dikotakan. Sekarang generasi muda mula melihat BN sebagai kerajaan yang prihatin dan berbuat kebajikan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata faktor penolakan belia terhadap BN pada 2008 adalah kerana mereka disuguh dengan pelbagai persepsi salah tentang BN, selain faktor calon yang tidak menepati kriteria mereka dan juga program BN yang dilihat tidak mesra belia.

Anuar berkata bagaimanapun kerajaan BN hari ini telah berubah dan mula menunjukkan kesungguhan mendekati golongan belia dengan pelbagai cara termasuk laman sosial facebook dan twitter selain kekerapan turun padang oleh pemimpin BN.

"Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan yang dekat di hati golongan belia kerana telah banyak bantuan diberikan kepada golongan belia ini. Belia hari ini juga melihat kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin dan sokongan kepada BN itu telah mula nampak," katanya.

Beliau percaya pengundi muda yang merupakan lebih 40 peratus pengundi baru cenderung menyokong BN untuk kesinambungan pembangunan, perpaduan, kesejahteraan dan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan pelbagai peluang untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang meyakinkan.

-- BERNAMA