Ahad, 12 Ogos 2012

Simpan wang melalui PTPTN.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja menyediakan pinjaman kepada pelajar untuk ke IPTA/IPTS, malah memupuk sikap menabung melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Ahli Lembaga Pengarah PTPTN, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, kebanyakan orang menganggap bahawa PTPTN hanya memberi pinjaman kepada pelajar, oleh itu PTPTN telah mengambil inisiatif melalui hebahan media untuk memaklum kepada orang ramai bahawa mereka sebenarnya boleh menyimpan wang melalui SSPN.
SSPN adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi, katanya kepada media selepas menyampaikan cek pinjaman PTPTN kepada 600 orang pelajar di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar di sini semalam.
Tajul yang juga merupakan Penyelaras parlimen Merbok berkata, Selain menjanjikan pulangan dividen tahunan, SSPN turut menyediakan insentif kewangan khas dalam bentuk Geran Sepadan (Matching Grant) khusus kepada pendeposit yang berpendapatan rendah tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Di samping itu katanya, manfaat perlindungan takaful dan bayaran khairat kematian disediakan secara percuma kepada semua pendeposit yang layak tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.