Selasa, 14 Ogos 2012

1800 Orang Terima Sumbangan Hari Raya.


MERBOK - 1800 orang terdiri dari ibu tunggal, golongan kurang berkemampuan, warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya dari setiap kampung di kawasan Merbok menerima bantuan kewangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bantuan dari penyelaras parlimen merbok sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Sumbangan barangan keperluan harian, pakaian serta kewangan disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul urus Mat Zain di perkarangan masjid Merbok, semalam.

Tajul Urus berkata sumbangan daripada kerajaan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah selaras dengan keprihatinan beliau terhadap golongan kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa Ramadan serta membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Sumbangan itu juga diberikan sebagai tanggungjawab pihaknya dalam membantu golongan yang memerlukan.
"Walaupun kawasan ini di bawah pihak pembangkang, namun itu bukan menjadi penghalang kepada kami untuk meneruskan usaha murni ini, " katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua projek ihsan perdana Yayasan 1MDB, Erant Fatiehah Othman dan Penyelaras projek Yayasan 1MDB, Muhammad Firdaus B Abdullah.
Menurut Erant Fatiehah, bantuan kewangan 1MDB telah diberi kepada 105 Parlimen yang dipilih oleh Perdana Menteri manakala sebanyak 9 Parlimen di Kedah termasuk Parlimen Merbok, Sungai Petani, Langkawi, Padang Serai, Alor Setar dan Padang Serai telah menerima bantuan kewangan tersebut.