Saban hari mereka dok kelentong kononnya kes perbicaraan
penyelewengan pembelian kapal selam negara akan bermula dan telah bermula di
Perancis.
Entah berapa banyak sudah duit orang ramai yang mereka kutip
kononnya untuk jamuan makan malam bagi menanggung kos guaman perbicaraan kes
kapal selam di Perancis.
Akhirnya hari ini orang Perancis sendiri yang bersuara untuk
mendedahkan perkara sebenar.....
Tiada Perbicaraan Di Perancis Berhubung Scorpene, Kata Pendakwa Terkemuka Perancis
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pendakwa kerajaan
Perancis yang terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di
kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang
sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat
Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh
Malaysia pada tahun 2002.
Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat
membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.
"Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan
media tertentu (organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang
saya boleh kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh
media," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.
Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan
kini seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak
Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.
Berikutan satu aduan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan
(NGO) mengenai hak asasi manusia, yang difailkan pada 2009 mengenai sebuah
syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk
urus niaga kapal selam itu, beliau mendedahkan bahawa dua "hakim
siasatan" bebas memulakan siasatan mereka awal tahun ini.
Charpenel berkata di Perancis, seperti negara-negara yang
mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua siasatan dibuat sepenuhnya secara
rahsia.
Beliau berkata adalah hak bagi sesiapapun untuk memfailkan
aduan dan berikutan sifat rahsia siasatan itu, sesetengahnya beralih untuk
mengadu kepada media.
Beliau menjelaskan bahawa untuk kes-kes tertentu di
Perancis, Kementerian Keadilan akan meminta seorang hakim bebas, meminta
"hakim siasatan" untuk menyiasat.
"Dia hanya seorang penyiasat. Ini adalah sistem lama
yang bermula sejak era Napolean. Jika hakim siasatan mahu seseorang pergi ke
Malaysia, dia perlu memohon dengan kerajaan anda kerana kami ada apa yang
dipanggil Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama. Kerajaan Malaysia boleh kata
'ya' atau 'tidak'. Ia perlu diputuskan oleh pihak berkuasa Malaysia.
"Seorang hakim siasatan Perancis tidak boleh membawa
bagasinya, menaiki kapal terbang dan pergi ke Malaysia dan meminta seseorang menjawab
soalan-soalannya. Ini adalah mustahil, ianya bertentangan dengan undang-undang
Perancis dan ia juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,"
kata Charpenel.
Beliau menjelaskan di Perancis, seperti di tempat-tempat
lain, perjalanan undang-undang tidak boleh ditentukan oleh media.
Seperti yang dikatakannya, "Di Perancis, masa keadilan
berbeza daripada masa media. Sudah tentu, media perlu data-data, maklumat, berita.
Ia adalah semula jadi tetapi siasatan itu agak berbeza. Ia adalah sama, sama
ada di Perancis atau di Malaysia.
"Dan ia menjadi rahsia. Kami kini dalam langkah
pertama, mungkin, kami dapat satu lagi langkah, mungkin tidak, dan ia adalah terlalu awal
untuk bercakap lagi.
Ditanya mengenai laporan media bahawa peguam-peguam Perancis
yang mewakili Suaram dalam saman itu akan datang ke Malaysia untuk memberi
taklimat kepada anak guamnya, Charpenel berkata mana-mana peguam dari
mana-mana negara, bebas untuk berbuat demikian kerana dia dibayar oleh anak guamnya.
"Dia bebas bercakap dengan media, itu adalah kebebasan
atau hak asasi manusia. Tetapi dia bukan seorang pendakwa. Dia juga bukan seorang
hakim siasatan. Dia bukan seorang pegawai."
Pada April tahun ini, ahli-ahli politik pembangkang tempatan
di sini malah telah meminta pegawai Malaysia untuk memberi keterangan di Paris
atau berdepan pemulauan dalam Kesatuan Eropah.
"Perbicaraan adalah satu perbicaraan dengan semua
peraturan. Siasatan adalah adalah satu perkara lain," kata Charpenel mengenai
maklumat salah yang dijana oleh portal-portal berita tertentu berhubung dakwaan bahawa
satu perbicaraan sudahpun berjalan.
Sabtu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata Ketua Audit Negara menjelaskan urus niaga Scorpene dijalankan
mengikut prosedur perundangan.
-- BERNAMA