Rancangan pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan yang kini dipolitikkan oleh pakatan pembangkang, sebenarnya telah dibuat pada 1991 dan mendapat kelulusan pada 1995 iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.
Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI),
Muhammad Zahid Md. Arip mendakwa, Anwar mengetahui perkara tersebut kerana
sebagai menteri berkenaan, beliau bertanggungjawab meluluskan pembelian kapal
selam berkenaan ketika itu.
"Segala-galanya telah dibentangkan di Parlimen pada
persidangan yang lalu tentang perjanjian pembelian Scorpene. Rupa-rupanya
rancangan hendak beli kapal selam dibuat sejak 1991. Pada 1995, Kementerian
Kewangan meluluskan proses pembelian kapal selam dengan harga yang ditetapkan.
"Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Anwar Ibrahim. Dia
lulus waktu itu, dia yang beri kelulusan dan tangan dia yang tandatangan
dokumen kelulusan. Hari ini, dia mengelirukan rakyat dengan menuduh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima komisen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Rapat Umum Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa) di Dewan Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam di
sini malam tadi.
Dalam ceramah itu, Muhammad Zahid turut meminta rakyat tidak
terpengaruh dengan janji-janji manis Anwar termasuk menghapuskan tol, hutang
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga
minyak.
Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan
Perdana Menteri dahulu, Anwar menolak desakan Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS) agar kadar faedah pinjaman PTPTN sebanyak empat peratus
dikurangkan.
"Mana ayat dia dahulu adat berhutang mesti bayar? Sebab
hendak gula-gulakan rakyat, dia buat janji macam ini. Zaman Najib, peminjam
PTPTN hanya dikenakan kadar faedah satu peratus dan kalau pandai belajar,
mereka tidak perlu bayar. Ini untuk menggalakkan anak-anak kita belajar,"
ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang Melayu dan Islam tidak
ada pilihan melainkan menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan
Raya Umum Ke-13 nanti jika mahu kedudukan Islam dan hak keistimewaan orang
Melayu tidak digugat.