Rabu, 24 Oktober 2012

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bantu golongan OKU.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato" Hj Tajul Urus Mat Zain bersama pengarah Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah, Zulkiply Ramli melihat kraftangan yang dihasilkan pelatih pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di Bedong baru-baru ini.

Bilangan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri Kedah yang telah didaftarkan pada tahun ini mencecah 13,352 orang yang mana dari jumlah itu, daerah Kuala Muda sahaja mencatat seramai 4,464 orang.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah , Zulkiply Ramli, golongan itu layak menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pendaftaran golongan sebegini akan diteruskan.

"Langkah yang diambil oleh kerajaan pusat untuk menjaga kebajikan serta menaiktaraf kehidupan OKU ini adalah suatu perkara yang amat baik,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Ahli Jawatankuasa Bersama Warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Kuala Muda dan Hari Anugerah Cemerlang Tahun 2012 di Kompleks Pusat Khidmat Setempat (PKS) Bedong di sini, baru-baru ini.

PDK merupakan pusat pemulihan khas bagi golongan OKU dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).Antara latihan yang diberikan termasuk Pengurusan diri sendiri, menulis, membaca, mengira dan melukis, latihan vokasional serta pelbagai latihan asas.
Tambahnya untuk tahun ini sahaja sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan bagi memberi bantuan kepada pelatih PDK manakala peruntukkan bagi membangunkan 32 buah PDK di negeri Kedah berjumlah RM5.6 juta.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan langkah diambil pengurusan PDK daerah Kuala Muda bagi mengadakan program seumpama ini adalah wajar dan perlu diteruskan.

Sementara itu, Pengerusi perhimpunan, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, aktiviti sebegini berjaya mewujudkan hubungan baik dan perkongsian di kalangan ibu bapa dan pelajar di semua pusat PDK di Daerah Kuala Muda.

"Sesungguhnya, mereka yang belajar di PDK boleh menjadi cemerlang dan berjaya jika bimbingan terus diberikan," katanya.