Isnin, 1 Oktober 2012

Jangan abai pendidikan awal - Tajul


Pendidikan awal merupakan perkara yang amat penting dalam proses pembesaran kanak-kanak, oleh itu ibu bapa diseru memainkan peranan dengan menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di peringkat prasekolah.

Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj. Tajul urus Mat Zain berkata, selain menyediakan mereka untuk persekolahan sebenar, kanak-kanak ini akan mula melangkah dari alam keluarga ke dunia sosial, ketika ini juga mereka berdepan dengan cabaran yang mana bagi kebanyakan kanak-kanak tidak serupa dengan apa yang mereka temui sebelumnya.

"Walaupun prasekolah tidak diwajibkan, namun amat penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), seawal usia empat tahun," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri majlis perasmian penutup hari potensi kanak-kanak Tabika KEMAS peringkat Negeri Kedah.

Selain itu Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang penting serta sentiasa mengambil berat tentang pelajaran anak mereka di sekolah.

"Mereka tidak seharus menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan berilmu,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan pada masa ini Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA)  kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta bertujuan  meningkatkan kemahiran guru serta menambah baik sistem pembelajarannya.