Isnin, 8 Oktober 2012

Undi pembangkang sama seperti undi Soros


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Tun M berkata soros menggunakan dana untuk meletakkan
 orang yang disukainya memerintah negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times.

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.