Isnin, 15 Oktober 2012

Praktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa -Tajul


Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain melihat sebuah lukisan yang dibuat dari kulit kayu  
yang dihasilkan  penuntut jabatan seni visual IPG kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Semalam.

Seni adalah sesuatu yang halus dan budaya adalah cara hidup.Dalam sesuatu  bangsa seni budaya itu akan mencerminkan keagungan dan martabat bangsa itu.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata kerana itu adalah penting untuk mana-mana bangsa menjaga serta memartabatkan seni budaya bangsanya agar tidak hilang ditelan zaman.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutupan rasmi Program Merakyatkan Seni Dan Budaya (PMS)-Bahasa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Kedah, Mohd Rizal Ismail.

Tajul berkata, tidak mungkin sesuatu yang tidak direstui oleh sesuatu bangsa adalah seni dan budaya bangsa itu, sebagai contoh bagi orang melayu mempunyai adad resam,  dan adab resam itu pula bukan saja dari segi perlakuan dan tindakan tetapi juga bahasa.

Tambahnya pada hari ini, perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup secara tidak langsung telah mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Masyarakat sering didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus.

Ini ditambah kecenderungan generasi kini dalam mereka bentuk bahasa yang telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus sedangkan bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat.

Justeru beliau menggesa agar semua pihak khususnya generasi muda agar kembali mempraktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa.

"Kegagalan masyarakat hari ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab,  kasar serta tanpa segan-silu,

Pelbagai bentuk budaya sosial serta perlakuan biadap termasuk terhadap pemimpin negara dilakukan secara terbuka, padahal sekiranya penggunaan bahasa halus dapat digunakan, tentu sahaja dapat membendung kebiadaban pertuturan lisan serta memperlihatkan kepada segenap lapisan masyarakat tentang budaya budi bahasa yang mencerminkan kehalusan dan ketertiban sesebuah masyarakat," ujarnya.