Jika Datuk Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal
peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan
yang sama. Dan yang paling hebat ialah
walaupun belum menjadi Perdana Menteri, Anwar ingin sekali membentangkan bajet
seperti seorang Perdana Menteri.
Kerana itu, walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat
terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat,
itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan
turut membentangkan bajet.
Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu, maka kita
tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang
dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong. Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan
kepada bajet sebegini, amatlah menyedihkan.
Namun, yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar
Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat. Kita ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang
berdasarkan prinsip Islam, Malaysian-Malaysia dan juga liberal.
Dan seperti yang dijangka, tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’
dari BN dalam bajet PR. Sebaliknya, ia
lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah
membantu yang miskin dan sederhana.
Pendek kata, ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal.
Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan
pusat-pusat maksiat. Tiada juga
peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan
walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah
PR. Malah, kelihatan seolah-olah tiada
langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini.
Selain itu, perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat
hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang
lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan. Seperti juga perancangan untuk menurunkan
harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan
pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport
barangan dari negara lain.
Akhirnya, yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu
yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil
nasional itu sendiri. Jika ini berlaku,
ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil
nasional dan maruah negara sekali gus.
Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak
menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang
terutama untuk membantu bumiputera.
PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah
bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna
kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman
DAP. Sedangkan, kita tahu bahawa
kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat
pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina.
Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat
perkauman seseorang, adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu,
India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam
persaingan kek ekonomi ini.
Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar
kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai
diskriminasi yang bertulis. Tetapi, PR
telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu
masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam
persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina.
Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka
dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat. Tetapi, apa yang nak dihairankan kerana pembentangan
Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN. Itu saja.
Walau apapun, yang pasti, PAS tidak punya suara langsung
dalam penyediaan Bajet berkenaan. Tanpa
keprihatinan dan ‘input’ dari PAS, bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu
akan terbela di bawah Pakatan Rakyat?