Laporan Bank Dunia Edisi 2013 yang meletakkan Malaysia di
tangga ke 12 paling berdaya saing bagi perniagaan sekali gus menghumban segala
tuduhan pembangkang konon negara ini akan bangkrap, ke dalam longkang.
Kedudukan ini merupakan lonjakan enam anak tangga berbanding
2011 iaitu lonjakan yang paling tinggi setakat ini. Pada tahun 2010, Malaysia berada di tangga
23.
Kedudukan ini juga meletakkan Malaysia mengatasi negara
seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan
Switzerland (ke-28).
Laporan Bank Dunia ini adalah berdasarkan kajian ke atas 185
ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan,
kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan
menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Malaysia didapati telah memperbaiki kedudukan daya saingnya
dalam lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu Kemudahan Bekalan Elektrik
(dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah (dari tempat ke-59 ke
tempat ke-33); Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat ke-15);
Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11) dan Urusan
Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
Nampaknya, segala usaha pembangkang untuk menggambarkan
kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia mengalami masalah ekonomi serta
mengalami risiko bangkrap berdasarkan Bajet dan Audit yang baru dibentangkan
telah sekali lagi tidak berjaya.
Dengan laporan Bank Dunia ini, keyakinan pelabur terhadap
Malaysia juga akan melonjak tinggi dan ini bakal membantu negara mencapai
sasaran pengurangan kadar defisit kepada 4.0 peratus daripada KDNK berbanding
4.5 peratus tahun ini.
Golongan peniaga juga dijangkan memberi sokongan yang tidak
berbelah bahagi kepada kerajaan dalam PRU yang akan datang berdasarkan perkembangan
positif yang direkodkan ini.
Sementara itu, pakatan pembangkang dilihat semakin buntu
apabila Bajet yang dibentangkan mereka mendapat kritikan hebat kerana tidak
dibuat berdasarkan realiti dan tegar meneruskan janji-janji yang tidak masuk
akal. Lebih buruk lagi bagi pembangkang
apabila Laporan Audit yang dibentangkan mendedahkan kelemahan yang ketara di
negeri-negeri yang diperintah mereka sehingga dalam beberapa kes terdapat
desakan dari rakyat agar dilakukan siasatan oleh SPRM.
Ketika BN berjaya membuktikan kecekapan melalui khidmat yang
cemerlang, pembangkang terpaksa bermain politik dengan isu remeh iaitu kamera
AES dan cukai rokok yang sebenarnya membawa kesan yang baik untuk rakyat. Pembangkang telah bertindak menyeru rakyat
menolak sesuatu yang baik untuk mereka dengan alasan ia memberi pulangan wang
kepada kerajaan dan cuba menggambarkan bahawa kerajaan terdesak untuk menambah
pendapatan dengan memeras rakyat.
Namun, laporan Bank Dunia ini dengan sendirinya menafikan
yang kerajaan buntu untuk menjana kewangan.
Terbukti kerajaan telah berjaya menyediakan persekitaran yang selesa
untuk membolehkan perniagaan berkembang dan pelaburan meningkat bagi memastikan
kewangan negara dapat dijana secara konsisten.
Kini rakyat semakin yakin dengan kerajaan dan pembangkang
semakin kehilangan modal untuk berkempen.