Memaparkan catatan dengan label Bajet 2013. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bajet 2013. Papar semua catatan

Isnin, 1 Oktober 2012

Bajet PR Bajet Liberalisme?

Kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri sebelum mati, Anwar Ibrahim sentiasa memainkan peranan sebagai Perdana Menteri apabila saja berpeluang.  Jika Datuk Seri Najib mengadakan program mesra rakyat dan meninjau keadaan rakyat, maka beliau pun ingin berbuat yang sama dengan mendekati rakyat sambil meninjau pengangkutan awam seperti LRT.

Jika Datuk Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan yang sama.  Dan yang paling hebat ialah walaupun belum menjadi Perdana Menteri, Anwar ingin sekali membentangkan bajet seperti seorang Perdana Menteri.

Kerana itu, walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat, itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan turut membentangkan bajet.

Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu, maka kita tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong.  Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan kepada bajet sebegini, amatlah menyedihkan.

Namun, yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat.  Kita ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang berdasarkan prinsip Islam, Malaysian-Malaysia dan juga liberal.

Dan seperti yang dijangka, tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’ dari BN dalam bajet PR.  Sebaliknya, ia lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah membantu yang miskin dan sederhana.  Pendek kata, ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal.

Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan pusat-pusat maksiat.  Tiada juga peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah PR.   Malah, kelihatan seolah-olah tiada langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini.

Selain itu, perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan.  Seperti juga perancangan untuk menurunkan harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport barangan dari negara lain.

Akhirnya, yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil nasional itu sendiri.  Jika ini berlaku, ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil nasional dan maruah negara sekali gus.

Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang terutama untuk membantu bumiputera.

PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman DAP.  Sedangkan, kita tahu bahawa kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina.

Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat perkauman seseorang, adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu, India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam persaingan kek ekonomi ini.

Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai diskriminasi yang bertulis. Tetapi, PR telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina.

Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat.  Tetapi, apa yang nak dihairankan kerana pembentangan Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN.  Itu saja.

Walau apapun, yang pasti, PAS tidak punya suara langsung dalam penyediaan Bajet berkenaan.  Tanpa keprihatinan dan ‘input’ dari PAS, bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu akan terbela di bawah Pakatan Rakyat?


Jumaat, 28 September 2012

Bajet 2013: 170,000 individu tak perlu bayar cukai pendapatan

Kira-kira 170,000 individu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan berikutan penurunan kadar satu mata peratusan bagi golongan tersebut mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penurunan kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.

Beliau berkata langkah itu akan turut memberi manfaat kepada pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.

"Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga RM425 seorang," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000.

Bajet 2013: RM276 juta untuk SPRM banteras rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima peruntukan sebanyak RM276 juta bagi menjayakan peranannya dalam membanteras rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkannya berkata kerajaan juga bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai jumlah 5,000 anggota yang disasarkan suruhanjaya itu.

"Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2013: RM591 juta jayakan usaha kurangkan

Usaha menambah bilangan jawatan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.

Bajet 2013: Rebat RM200 pembelian telefon bimbit 3G

Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

"Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bajet 2013: Diskaun mudahkan bayaran PTPTN

Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013.

"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan para peminjam bahawa hukum membayar hutang adalah wajib dan pinjaman PTPTN merupakan satu amanah.

"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan," katanya.

Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan cadangan untuk memansuhkan keseluruhan PTPTN adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan cadangan itu dan bertanya siapakah yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.

"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000.

Bajet 2013: Tambahan bonus sebulan gaji kakitangan awam


Kira-kira 1.3 juta penjawat awam akan menerima bonus sebulan gaji manakala pesara akan menerima RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah bulan gaji yang telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lepas, Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri.

Najib berkata pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.

Bajet 2013: BR1M 2.0 merangkumi individu bujang


Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) buat kali kedua, dengan kriteria penerima diperluas kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, yang akan menerima bantuan RM250.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan yang dikenali sebagai BR1M 2.0 itu melibatkan peruntukan RM3 bilion dan mula dibayar awal tahun depan itu akan memberi manfaat kepada 4.3 juta isi rumah serta 2.7 juta individu bujang.

Beliau berkata bagi memudahkan pelaksanaan, penerima sebelum ini tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua, manakala pemohon baru boleh mendaftar mulai November ini secara online atau datang sendiri ke kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di seluruh negara.

"Hakikatnya bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis, malah manifestasi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini.

BR1M 2.0 merupakan susulan kepada BR1M tahun ini yang menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.3 juta isi rumah, yang membabitkan peruntukan kerajaan menjangkau hampir RM2.16 bilion.

Bajet 2013: Pegawai, anggota ATM terima insentif khas

Seramai 125,708 pegawai dan anggota Angkatan Tentera akan menerima bayaran insentif khas RM200 sebulan bermula 1 Januari depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu dalam Belanjawan 2013 hari ini berkata bayaran insentif khas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM301 juta.

Beliau berkata bagi menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera, elaun bertugas anggota biasa dan pegawai turut dinaikkan kepada RM6 dan RM7.80 sejam daripada hanya RM4 dan RM5.80 sejam sebelum ini.

"Penyelarasan elaun ini melibatkan 65,000 anggota simpanan tentera membabitkan Askar Wataniah, dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara serta pasukan Rela, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) dan anggota sukarelawan polis (PVR)," katanya di sini.

Bajet 2013: Pencen minimum dinaikkan kepada RM820

Kadar pencen minimum bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan dinaikkan daripada RM720 kepada RM820, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelarasan pencen itu akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Jan 2012.

"Kerajaan tidak akan lupa jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.

"Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport berkuatkuasa Januari 2013 dalam usaha mengiktiraf golongan warga emas.

Najib berkata caj bayaran pemprosesan pasport untuk tempoh sah laku selama lima tahun bagi warga emas akan dikurangkan sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150.

"Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada RM80," katanya.

Tambahnya, pengurangan caj bayaran pasport itu turut diperluaskan kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Bajet 2013: Insurans kelompok penjaja dan peniaga kecil

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperkenalkan skim perlindungan insurans berkelompok untuk penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan had perlindungan maksimum RM5,000.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2013 berkata, skim tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan RM16 juta setahun dan ia diberikan kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.