Kira-kira 1.3 juta penjawat awam
akan menerima bonus sebulan gaji manakala pesara akan menerima RM500, demikian
diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada
setengah bulan gaji yang telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lepas,
Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan
Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.
"Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya
mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah
tersebut, setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang
lepas," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan
Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan
gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima
RM500 bagi menyambut Aidilfitri.
Najib berkata pemberian bonus tersebut diharap dapat
mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi
musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.