Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama
adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang
menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga
30 Sept 2013.
"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara
konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan
diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat
hari ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan para peminjam bahawa
hukum membayar hutang adalah wajib dan pinjaman PTPTN merupakan satu amanah.
"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika
hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan,"
katanya.
Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman
kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara,
membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam
tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN
yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan cadangan untuk memansuhkan
keseluruhan PTPTN adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Beliau mempersoalkan cadangan itu dan bertanya siapakah yang
akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.
"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia?
Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah
persoalannya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut
mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di
institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang
mulai tahun taksiran 2013.
Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan
bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain
merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang
akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.
Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana
Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan
Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000.