Jumaat, 28 September 2012

Bajet 2013: RM591 juta jayakan usaha kurangkan

Usaha menambah bilangan jawatan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara langkah untuk mengurangkan jenayah dengan peruntukan berjumlah RM591 juta disediakan tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak 1,000 buah motosikal juga akan disediakan dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

"Selain itu, sejumlah RM70 juta akan diperuntuk untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) seramai 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Katanya penambahan anggota itu penting sebagai persediaan kementerian untuk berhadapan dengan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformsi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah yang akan memberi tumpuan jenis jenayah dan kawasan yang lebih luas serta penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dalam usaha mencegah jenayah.