Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penurunan
kadar cukai itu akan menguntungkan kumpulan dengan pendapatan bercukai tahunan
melebihi RM2,500 hingga RM50,000.
Beliau berkata langkah itu akan turut memberi manfaat kepada
pembayar cukai sedia ada untuk menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.
"Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum
berkahwin dengan pendapatan bulanan RM5,000 akan menikmati penjimatan cukai
pendapatan sehingga RM425 seorang," katanya ketika membentangkan
Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan telah menyediakan sebanyak 20 jenis
pelepasan cukai individu dan dua rebat cukai yang menjadikan hanya 1.7 juta
orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu
seramai 12 juta orang.
Pada masa ini, kadar cukai pendapatan individu pemastautin
adalah progresif iaitu antara kosong peratus hingga 12 peratus ke atas
pendapatan bercukai RM2,500 hingga RM50,000.