SUNGAI LALANG - Ribut yang melanda selama hampir 10 minit merosakkan 7 buah rumah di Taman Kenanga 8 disini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, beberapa kenderaan milik penghuni juga turut mengalami kerosakan akibat ditimpa kepingan genting yang diterbangkan angin.
Menceritakan kejadian itu, Mohd Salehudin Mohd Nor, 28, berkata angin yang datang sejurus diikuti hujan lebat itu kelihatan berpusing seperti puting beliung sebelum melanggar beberapa buah rumah.Berada di luar rumah ketika kejadian, beliau mendakwa melihat dengan jelas bagaimana pusaran angin itu mengangkat kepingan atap beberapa rumah.
Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul urus Mat Zain yang meninjau tempat kejadian berkata, beliau turut merasa dukacita kerana kebanyakan penduduk di taman perumahan itu baru berpindah malah katanya, ada perabot yang baru saja dibeli.
Sebagai tindakan segera, beliau telah pun mengarahkan kontraktor untuk membaiki bahagian bumbung rumah penduduk yang rosak.
"Bagi pihak saya telah pun meminta kontraktor untuk datang dan memasang bumbung yang rosak memandangkan pada masa ini musim hujan, jadi kita tidak mahu mereka mengalami kesulitan", katanya.
Tinjauan mendapati bahagian dalam beberapa rumah digenangi air hujan yang masuk melalui bahagian bumbung yang terbuka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan