Rabu, 15 Mei 2013

8 Exco baharu Kedah angkat sumpah jawatan




ALOR SETAR 15 Mei - Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu.

Upacara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah Exco itu berlangsung di hadapan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini pukul 10 pagi.

Mereka ialah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail, Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang), Datuk Tajul Urus Mat Zain (Tanjung Dawai) Badrol Hisham Hashim (Kuala Nerang).

Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Ayer Hangat, Mohd. Rawi Abdul Hamid, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah (Belantek), Aminuddin Omar (Jitra) dan Datin Noor Sabrina Mohd. Noor (Bandar Baharu).

Kesemua lapan ADUN tersebut belum pernah dilantik ke jawatan itu dengan empat daripada mereka adalah wakil rakyat penggal pertama.

Yang turut menyaksikan istiadat tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-10 pada 6 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, BN memperoleh sebanyak 21 daripada 36 kerusi DUN sekali gus mendapat majoriti mudah bagi membolehkan memerintah negeri ini. - UTUSAN

Tiada ulasan: