Upacara mengangkat sumpah dijadual berlangsung di hadapan
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah
pada pukul 10 pagi.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pagi semalam
mengadakan pertemuan dengan ADUN Barisan Nasional (BN) di Wisma Darul Aman di
sini.
Pertemuan tertutup itu antara lain dipercayai mempunyai
kaitan dengan pemilihan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Spekulasi ADUN yang bakal mengisi senarai Exco mula menjadi
bualan setelah Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-10 pada
6 Mei lalu.
ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail
yang berpengalaman dalam sektor korporat termasuk pernah memegang jawatan
Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) dan merupakan Pengerusi
Majlis Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) negeri dijangka mengisi portfolio
industri.
ADUN Ayer Hangat, Mohd. Rawi Abdul Hamid yang boleh bertutur
dan menulis dalam bahasa Arab serta Siam selain fasih berbahasa Melayu dan
Inggeris pula dijangka memegang portfolio pelancongan dan agama.
Sementara ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob yang
memasuki penggal ketiga perkhidmatan pula disebut-sebut bakal memegang
portfolio berkaitan wanita dan keluarga.
Wakil rakyat lain yang turut dijangka ialah ADUN Belantek,
Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dikatakan akan memegang portfolio luar bandar
manakala ADUN Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain dalam portfolio
pendidikan.
Muka baharu yang turut mendapat kepercayaan Mukhriz ialah
ADUN Kuala Nerang, Badrol Hisham Hashim untuk memegang portfolio perumahan dan
kerajaan tempatan serta ADUN Jitra, Amiruddin Omar bagi portfolio belia dan
sukan.
Turut mendapat tempat dalam Exco Kerajaan Negeri Kedah ialah
ADUN Bandar Baharu, Datin
Noor Sabrina Mohd. Noor yang merupakan ahli biologi dengan
memegang portfolio teknologi maklumat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, BN
memperoleh 21 daripada 36 kerusi DUN sekali gus mendapat majoriti mudah bagi
membolehkannya memerintah negeri ini.
Lazimnya kerajaan negeri sebelum ini melantik 10 Exco untuk
memegang pelbagai portfolio, namun dipercayai kerajaan negeri pada kali ini
akan melantik lapan orang sahaja untuk ke jawatan berkenaan.
Ia berikutan pendirian MCA untuk tidak meletakkan wakil
rakyat parti itu dalam kerajaan negeri ekoran prestasi buruk pada PRU-13 selain
tiada calon MIC Kedah yang menang.
Menteri Besar bagaimanapun boleh mewujudkan satu jawatan
khas setaraf Exco masing-masing untuk mewakili kaum Cina, India dan Siam. -
KOSMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan