BALING 23 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Md. Zin hari ini meluahkan
rasa kesal atas tindakan Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Datuk Dr.
Jamil Osman yang meletak jawatan secara mendadak.
Katanya sekali pun kerajaan negeri kini diterajui Barisan
Nasional (BN), Jamil sepatutnya lebih profesional dan mengetepikan perbezaan
politik demi menangani masalah yang dihadapi Kuin.
"Pagi tadi saya berkesempatan melawat ke Kampus
Mergong, Alor Setar dan bertemu dengan kesatuan pelajar. Ada dua rungutan utama
iaitu berhubung kelayakan pensyarah dan juga kemudahan asrama serta surau yang
perlu ditambah baik, manakala sebelah petang saya berkunjung ke kampus di Kuala
Ketil di sini.
"Ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan
rektor, tetapi saya dimaklumkan tadi bahawa rektor sudah menghantar surat
peletakan jawatan pada 20 haribulan lalu. Saya juga agak kecewa, sepatutnya
rektor juga ada bersama hari ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat
kampus Kuin di Kuala Ketil.
Menurut Tajul Urus, beliau dimaklumkan oleh pihak
pentadbiran Kuin peletakan jawatan Jamil berkuat kuasa pada hari beliau
menghantar surat iaitu Isnin lepas.
Tajul Urus dipertanggungjawabkan Menteri Besar, Datuk
Mukhriz Tun Dr. Mahathir untuk melihat masalah yang dihadapi Kuin serta
mengemukakan penyelesaian yang menjamin kebajikan pelajar dan warga kerja Kuin.
Antara masalah berkenaan ialah dakwaan warga kerja Kuin
bahawa pihak pengurusan menyeleweng kerana gagal melakukan caruman kepada pihak
ketiga walaupun pemotongan gaji dicatat pada slip gaji mereka.
Kerajaan negeri dan Kuin juga terpaksa membayar pinjaman
bank sebanyak RM46 juta setahun bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil.
Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang
menyukarkan kehidupan pelajar yang terpaksa berpindah-randah.
BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika Kedah
diterajui Pas sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.
Mengulas pelantikan rektor baharu, Tajul Urus berkata,
seorang pentadbir akan ditempatkan di situ sementara menunggu pelantikan baharu
oleh Lembaga Pengarah Kuin.
Mengenai hasil lawatannya hari ini, beliau berkata, ada
beberapa perkara yang dibangkitkan termasuk mengenai kursus yang ditawarkan dan
bilangan pelajar.
"Kita akan minta laporan menyeluruh daripada Kuin dan
akan berjumpa dan berbincang dengan Menteri Besar untuk buat cadangan dan
keputusan. Apa yang penting, kita mahu Kuin sama seperti kolej-kolej swasta
terkemuka yang lain," katanya.
Beliau tidak menolak akan berlaku rombakan terhadap program
yang ditawarkan Kuin jika tindakan itu memberi manfaat kepada Kuin.
Kuin kini mempunyai 6,000 pelajar dengan 1,500 daripadanya
belajar di kampus Kuala Ketil yang mula dibuka awal tahun ini, manakala
selebihnya masih berada di kampus lama di Mergong. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan