Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan

Isnin, 25 Februari 2013

Kronisma, Kontrek Petronas, San Miguel ? - Tun Mahathir Jawab Tuduhan Anwar.


1. Anwar Ibrahim menuduh saya, sebagai penasihat Petronas telah terlibat dalam pemberian kontrak Petronas kepada anak saya.

2. Bagi Anwar inilah yang biasa dilakukan olehnya jika ia berkuasa. Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang pun banyak kontrak diberi olehnya kepada penyokong politiknya dan keluarganya.

3. Kementerian telah pamerkan semasa mesyuarat agong UMNO senarai orang yang mendapat kontrak semasa ia berkuasa. Terdapat dalam senarai nama-nama penyokongnya dan keluarganya. Tidak ada satupun dari anak saya yang tersenarai.

4. Semasa saya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak ada satu pun daripada anak saya yang mendapat tempat dalam Kerajaan atau dalam parti. Beberapa kali nama mereka di calon tapi saya tidak benar sehingga saya bersara. Juga tidak ada kontrak Kerajaan yang terdapat oleh mereka.

5. Jika mereka berjaya samada dalam perniagaan atau politik, ini adalah atas usaha mereka sendiri. Dan ini semua berlaku selepas saya letak jawatan Perdana Menteri.

6. Petronas tidak memberi peluang kepada anak saya sahaja apabila saya menjadi penasihatnya. Orang lain juga mendapat peluang jika mereka ada kemampuan.

7. Sebenarnya tidak ada kontrak yang diberi Petronas kepada anak saya sehinggalah perusahaannya maju kerana kerja-kerja yang diberi oleh pihak lain.

8. Walaupun saya digelar sebagai penasihat Petronas, saya tidak memberi apa-apa nasihat. Petronas diletak di bawah Perdana Menteri dan P.M.lah yang memberi arahan kepada Petronas. Semasa saya jadi Perdana Menteri pun saya tidak memberi apa-apa bantuan kepada anak-anak saya.

9. Berkenaan dengan kontrak yang baru yang diberi kepada anak saya, Presiden Petronas cuma memberitahu saya selepas kontrak diberi. Saya tidak sama sekali terlibat dengan keputusan yang dibuat. Saya sanggup bersumpah di dalam masjid dengan menjunjung Quran bahawa saya tidak ambil bahagian sama sekali dengan pemberian kontrak kepada anak saya.

10. Sebaliknya Anwar, apabila menubuh partinya melantik isterinya sebagai Presiden. Kemudian dia juga yang pilih isterinya sebagai calon di Permatang Pauh. Kemudian dia sendiri yang menyuruh isterinya lepas kawasan untuk ditandingi olehnya.

11. Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan penasihat parti yang disandang olehnya. Dia juga yang memilih anaknya untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Sekarang isterinya jadi presiden parti dan anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan.

12. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim.

13. Jika ia jadi Perdana Menteri sudah tentu Kabinet akan diisi dengan keluarga dan kawannya sebagai Menteri. Mudahlah nak buat apa pun.

14. Anak saya Mirzan juga dijadikan sasaran fitnah Anwar. Benar dahulu dia menjadi pengarah San Miguel. Tetapi San Miguel Filipina bukan syarikat bir sahaja tetapi semakin banyak terlibat dalam industri makanan dan petroliam.

15. Setelah fitnah dilempar kepadanya, anak saya letak jawatan. Sekarang dia hanya menjadi pengarah dalam syarikat minyak Petron. Dahulu syarikat ini dikenali sebagai Exxon Mobil dan telah menjadi pembekal minyak ke pesawat terbang di KLIA.

16. Apabila Exxon Mobil diambil alih oleh San Miguel, ia diletak dibawah Petron. Anak saya dilantik sebagai pengarah Petron. Kontrak membekal minyak Exxon Mobil di KLIA diwarisi oleh Petron.

17. Jika anak dan isteri Anwar boleh menjadi politikus, apakah anak saya tak boleh berniaga sendiri tanpa difitnah oleh Anwar? Dah tak ada modal politik dah ke?

18. Kenapa begitu takut bersumpah jika jenayah liwat tidak dilakukan. Berani kerana benar, takut kerana salah – demikian pepatah Melayu.

Selasa, 19 Februari 2013

Hukum ‘Hudud Politik’ Pas Ditolak Kerana Tidak Ikut Tuntutan Islam.


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan, hukum hudud yang diperjuangkan Pas sebelum ini tidak mengikut tuntutan Islam yang sebenar kerana tidak menghukum pesalah secara adil, menyebabkannya ditolak oleh kebanyakan pihak.

Katanya, hukum hudud yang ditekankan di dalam al-Quran ialah menghukum pesalah secara adil antara orang Islam dan bukan Islam.

"Tetapi secara terbuka Pas buat kenyataan, orang Islam sahaja yang akan kena (hukum hudud), orang bukan Islam tak kena. Mereka takut orang bukan Islam marah dan tak undi mereka.

"Jadi apabila dua orang, Islam dan bukan Islam berpakat melakukan jenayah, yang Islam kena potong tangan, yang bukan Islam hanya kena penjara dua bulan, itu sudah tidak adil,'' katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Apabila menjatuhkan hukuman katanya, keputusan itu perlu dilakukan dengan adil.

''Yang ditekankan dalam al-Quran berkali-kali ialah jangan kita zalim. Jadi apabila hukum disebabkan kepentingan politik, duniawi, itu bukan Islam. Sebab itu kita tolak hukum mereka, kita pegang hukum Allah," katanya.

Dr. Mahathir mengulas sikap pemimpin Pas yang tidak konsisten tentang pendirian mereka berhubung isu hukum hudud dan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

Beliau berkata, Malaysia selama ini cuba bersikap adil dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam menjatuhkan hukuman serta tidak menuduh secara membuta-tuli.

Katanya, kerajaan berpegang teguh pada hukum hudud Islam dan melaksanakannya secara adil supaya sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan jenayah menerima hukuman yang setimpal dan adil.

"Jadi jangan kata kerajaan tidak mahu melaksanakan hukum Islam di negara ini tetapi kita harus melaksanakannya dengan kehendak Islam dan laksanakan dengan adil," katanya.

Sabtu, 2 Februari 2013

Forum Islam & Keamanan - Tun M Minta Nik Aziz Tinggalkan Buku Jingga, Kembali Pada Al-Quran Bagi Mengembalikan Keamanan Dan Menghapuskan Kekeliruan Yang Berlaku.


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peperangan yang membabitkan sesama masyarakat Islam berlaku kerana pengikutnya tidak menjadikan al-Quran sebagai pegangan mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata sejak zaman sebelum kedatangan Islam, peperangan dan pembunuhan telahpun berlaku di negara-negara Arab, walaupun pada masa yang sama masih terdapat kumpulan yang inginkan keamanan wujud.

“Peperangan dalam zaman Islam berlaku kerana kita mengabaikan ajaran Islam. Agama Islam mengajar kita supaya mengutamakan keamanan terutama sesama Islam.

“Memang pendapat manusia berbeza, tetapi tidak perlulah sampai membunuh atau mengkafirkan orang. Perbuatan ini tidak mengikut ajaran Islam.

“Ia datang dari orang yang mahu ‘hijack’ (merampas) agama Islam untuk kepentingan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Islam dan Keamanan di Institut Pendidikan Guru kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Semasa berucap di forum itu, Dr Mahathir berkata Islam adalah berkait rapat dengan keamanan, tetapi kerana perpecahan sesama penganutnya sehingga saling berbunuhan seperti yang berlaku sekarang, ia tidak membezakan mereka dengan zaman jahiliah.

“Orang Islam berperang dengan orang Islam disebabkan ada pihak yang ‘hijack’ agama Islam untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang terjadi kini, orang Islam bunuh orang Islam, kadang-kadang orang Islam bagi senjata kepada orang bukan Islam untuk bunuh orang Islam. Ini amat menyedihkan.

“Oleh itu masyarakat Islam perlu kembali berpegang kepada al-Quran bagi mengembalikan semula keamanan dan menghapuskan kekeliruan yang berlaku disebabkan kurang pemahaman terhadap kandungan al-Quran.

“Kita kena baca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang kita fahami dan juga memahami hadis-hadis sahih. Al-Quran diturunkan sebagai panduan tetapi kalau kita tidak faham, macam mana nak dijadikan panduan,” katanya.

- Bernama.






Demi Kemenangan BN, Jangan Sokong Individu Cuba Sabotaj Parti - Tun Dr. Mahathir

Tun Dr. Mahathir menjawab soalan wartawan ketika sidang media selepas Majlis Himpunan Mesra Rakyat Parlimen Merbok di LHDN Sungai Petani.


Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa penyokong Barisan Nasional (BN) agar tidak menyokong individu yang cuba mensabotaj calon yang telah di pilih oleh Presiden parti, Dato' Seri Najib Razak pada PRU-13.

Dalam sidang media di Majlis Himpunan Mesra Rakyat Parlimen Merbok bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang di adakan di Dewan Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) Sungai Petani, beliau turut menasihatkan penyokong BN agar menyokong BN bukan kerana individu tertentu, sebaliknya menyokong BN kerana parti dan kerana perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

Ditanya pandangan beliau berkenaan persiapan Barisan Nasional menghadapi PRU 13, beliau berkata,

"Pimpinan parti kini dilihat giat berkerja, Dato Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu rajin membuat lawatan untuk berjumpa dengan rakyat sehingga rakyat memberi sokongan baik, parti-parti komponen BN dilihat lebih aktif untuk menghadapi PRU 13", katanya.

Berkenaan pengundi BN yang merajuk pada PRU 12 yang lalu, beliau yakin mereka akan berpatah balik untuk menyokong BN pada PRU 13 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dalam sidang media tersebut, Tun Dr Mahathir juga menyatakan, beliau melihat BN di Kedah boleh mengambil alih kembali kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri daripada Pakatan Rakyat kerana masalah BN Kedah ketika menghadapi PRU 12 yang lalu sudah dapat diatasi.

Khamis, 31 Januari 2013

Tun Mahathir Ketuk Kepala Pok Nik, Tambah Lagi 50 Dalil Kepada Nik Aziz Mengenai Islam, Umno Dan Pas.


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Tiadalah kerugian sedikitpun jika meluangkan masa bagi menghayati makna sebenar disebalik hujah yang dibentangkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ini terhadap segala tuduhan yang dibuat oleh Nik Aziz dan Pas. Sungguh jelas, terang lagi bersuluh...


1. Percubaan Dato' Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.

3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.

4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.

5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.

6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.

7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.

8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.

9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.

10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.

11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.

12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.

13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.

15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.

16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.

17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?

18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.

19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.

20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.

21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; “Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, “Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); “Innamalmukminu na ikhwana…” iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, “maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); “Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai…”

32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

37. Iqraq ditafsir sebagai “baca”. Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta’ala?

45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.


Ahad, 20 Januari 2013

Jangan Perjudikan Nasib Negara - Tun Dr. Mahathir Mohamad



KE MANA sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar negara, saya akan ditanya bila pilihan raya akan diadakan.

Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui tempoh lima tahun hayat Parlimen.

Soalan seterusnya ialah sama ada Barisan Nasional (BN) akan menang. Jawapan saya BN akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung parliament) atau sebuah kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta pembangunan akan diketepi.

Ramai yang berkata Perikatan/BN telah berkuasa terlampau lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak boleh terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya boleh diguna pakai untuk semua keadaan.

Ini kerana alternatif kepada BN adalah sesuatu yang menakutkan. Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya mengapa dia menyertai UMNO dan bukan Pas. Sekarang saya faham. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan tidak Pas, yang pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, dia akan menjadi Perdana Menteri hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. Sebaik sahaja menyertai UMNO dia bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian dia bertanding Naib Presiden seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden dan menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.

Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur. Maka dia memulakan gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah menjadi lipatan sejarah.

Sekarang dia menerajui pembangkang dengan harapan akan dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya ini. Saya berpendapat ini tidak baik untuk negara. Begitu juga dengan koleksi cacamarba pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka tetapi sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihan raya sahaja. Selain parti “Saya mahu jadi Perdana Menteri", turut sama ialah parti yang rasis dan parti yang memperalatkan agama. Mereka akan berbalah sepanjang masa. Mereka bukan satu gabungan. Mereka cuma berpakat untuk membantu masing-masing memenangi pilihan raya. Sekarang pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti yang terbesar harus memimpin.

Memang benar BN sudah lama berkuasa. Begitu juga Pas di Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa yang dikecapi di negara ini dicapai dalam tempoh pemerintahan BN. Ini tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian Pas di Kelantan.

Dinasti

Kepimpinan Pas dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar jauh lebih lama berbanding BN dan parti-parti komponennya. Sudah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan BN tetapi dalam tempoh itu Ketua DAP masih tetap di tempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan. Dan anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.

Kepimpinan Pas juga tidak berubah dalam tempoh kepimpinan empat pemimpin BN.

Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat tetapi menobat isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib Presiden. Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan meletak jawatan.

Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak berbeza di antara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap sama. Yang pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan dasar luar. Malah boleh dikatakan walaupun nama adalah sama, kerajaan setiap Perdana Menteri itu berbeza satu sama lain.

BN yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan sama dengan BN di bawah kepimpinan lima yang terdahulu. Ia adalah BN yang baru. Dan perubahan akan berlaku.

Namun begitu BN tetap berpegang kepada prinsip dan polisi asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di dalam parti dan negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif daripada sektor swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa. BN juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil di antara kaum. BN mesra perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang lain.

Ia terbuka kepada inovasi dan idea-idea baru serta mengambil-kira pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan antara pemimpin tertinggi kerajaan BN.

Ini bukanlah negara satu parti. BN itu sendiri adalah gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau memilih untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan dan BN memerintah negara. Sesetengahnya dapat bertahan walaupun tidak menyertai gabungan kerajaan. Yang lain seperti sosialis, terus hilang. Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan wakil mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihan raya. Pas kekal menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihan raya dan pernah memenangi Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan BN dan menubuh kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika itu sebuah parti pembangkang.

Pilihan raya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 BN kehilangan lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan. Keputusan pilihan raya di Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 99 peratus. Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.

Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh menyatakan bahawa Malaysia adalah negara pemerintahan satu parti. Memang benar Perikatan dan BN memenangi semua Pilihan Raya Persekutuan. Negara ini negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti kerajaan itu hak demokratik mereka. Mengundi pembangkang untuk memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih demokratik mahupun menjadi bukti kita mengamalkan sistem dwi-parti. Pandangan jika mengundi pembangkang dalam pilihan raya akan datang akan menjadikan Malaysia negara yang mengamalkan sistem dwi-parti adalah tidak berasas. Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun satu gabungan. Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi pilihan raya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar dan agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan kerajaan campuran tetapi ia akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang jelas.

Barack Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi dia tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq atau Afghanistan. Dia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh orang yang digantikannya. Apabila tamat edahnya, tiada apa perubahan yang telah berlaku di Amerika Syarikat.

Sangsi

Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada kekalahan Parti Liberal Demokratik (LDP). Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik Jepun yang kekal hanya satu penggal. Perubahan kerajaan tidak meningkatkan kemajuan Jepun.

Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan tidak selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk Uganda. Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.

Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Dia dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang tidak berdosa selain menghancurkan negara mereka.

Terdapat kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan kebaikannya berbanding kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan membunuh pihak yang lain.

Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi kebanyakannya tiada perubahan yang berlaku hasil daripadanya. Amat sedikit contoh menunjukkan apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Seperti dikatakan oleh orang Perancis “Plus ca change, plus c‘est la meme chose" (lebih banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).

Tidak perlu menukar kerajaan semata-mata untuk menegak sistem dwi-parti. Negara yang mempunyai sistem dwi-parti tidak berkeadaan lebih baik. Mereka masih menghadapi krisis ekonomi dan kewangan, mengalami kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.

Saya telah nyatakan sebelum ini “better the devil you know than the angel you don‘t." BN bukanlah syaitan. Negara ini maju dengan jaya di bawah pemerintahan BN. Bila kejayaan tidak berlaku, BN cepat menukar pemimpin yang gagal.

Pilihan raya memberi kita peluang menunjuk kepada parti pemerintah akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai, amaran telah diberi dan tindakan positif akan diambil.

Jangan perjudi negara ini dengan pihak yang tidak dikenali dan yang belum teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang menunjukkan kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju dengan baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan yang banyak.

Pilihan raya untuk rakyat memilih parti yang akan memerintah negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk mereka. Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi sama ada berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. Cuma segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.

Akibatnya, pilihan raya mungkin menyebabkan parti yang tidak layak terpilih membentuk kerajaan.

Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130120/re_03/Jangan-perjudikan-nasib-negara#ixzz2IV47lpU4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 18 Januari 2013

Wajib Baca - Majlis Syura Ulama Pas Ternganga, Tun Mahathir Beri Tips Jawab Isu Kalimah Allah...'Tolak Dengan Hujah'.


“Kita malas membaca buku dan membekal diri dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu tiada pengetahuan. Kita hanya ada emosi dan kita marah. Itu  tidak kena, seharusnya alasan perlu diberikan dan selepas itu barulah  dipertikai.

“Jika ada  yang kata perkataan ALLAH itu boleh digunakan dalam sebarang agama, itu adalah tidak tepat. Yang tepat perkataan ALLAH itu bermula dengan agama Islam,”

"Sekiranya ada pihak lain mahu menggunakan kalimah tersebut, apa tujuannya selain jika bukan untuk menipu pemikiran supaya orang lain menganggap perkataan ALLAH sama dengan agama lain.

“Unsur penipuan itu memang ada, sebab itu kita tidak boleh terima penggunaan perkataan ALLAH, tetapi apa yang kita tahu, kita tidak bersetuju sahaja. Kita perlu jelaskan mengapa (perkataan ALLAH) bukan mereka punya dan kita (orang Islam) punya,”

"Untuk mengembangkan agama mereka, tuhan ditukar sebagai ALLAH. Selepas itu diterjemah Bible untuk bangsa-bangsa lain. Oleh sebab itu di Indonesia, memang perkataan ALLAH digunakan dan  juga di Malaysia, ketika zaman sebelum merdeka di Sabah dan Sarawak, mereka menggunakan  Bible yang sama menggunakan perkataan ALLAH ,”


Bicara Minda Tun Mahathir - Masa depan Melayu dan Islam Selepas PRU13



Selasa, 10 Julai 2012

Lim Kit Siang Meracau Takutkan Tun M..


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoal tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berterusan mengisytiharkan 'niat' untuk melawan legasi yang digelarnya sebagai' Mahathirisme'.

Jelas Dr.Mahathir, beliau sendiri tidak memahami erti 'Mahathirisme' tetapi ia jelas merupakan sesuatu yang menakutkan dalam pemikiran Kit Siang.

''Saya tertanya-tanya mengapa Kit Siang begitu takut kepada saya? Ketakutan beliau yang terbaru adalah tentang apa yang beliau sebut sebagai 'Mahathirisme'. Jadi beliau telah mengisytiharkan niatnya untuk melawan 'Mahathirisme'.

''Sebenarnya 'Mahathirisme' mati selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pentadbiran daripada saya pada 2003. Beliau mengubah UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan begitu banyak sehingga tidak lagi menyerupai institusi yang saya tahu. Saya juga terpaksa 'meletakkan jawatan' daripada UMNO,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru di blognya, http://chedet.cc  sebagai mengulas kenyataan Kit Siang menerusi blognya, http://blog.limkitsiang.com yang mahu menentang 'Mahathirisme'.
Dr. Mahathir juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah individu yang rapat dengan beliau dan memiliki pasukan penasihat serta polisi-polisi tersendiri.