Mengucap panjang kita mendengar ucapan Nik Aziz setibanya di
Kota Bharu setelah menunaikan umrah di Mekah.
Ucapan Nik Aziz bukannya mengajak kepada perpaduan atau ke arah
perdamaian tetapi berunsur celaan, sehingga tergamak menyamakan penerima BR1M
dengan haiwan.
Kata Nik Aziz, di hadapan penyokong yang menyambutnya pulang
di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV,
“Orang yang menawarkan wang kepada orang, sama seperti kalau kita
panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur
padi. Kalau nak panggil lembu kita bubuh
jerami. Tapi kalau nak beri Islam, kita
nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu mana
datang, jadi kalau kit aberi barang kepda orang, beri RM10, RM50 orang akan
ambil.”
Hina sekali pandangan Tok Guru terhadap rakyat yang menerima
BR1M sedangkan ramai dari penyokong-penyokong Tok Guru sendiri turut
menerimanya dengan bangga. Tidak cukup
dengan itu, mereka mendabik dada pula kononnya itu hak mereka, sebagai rakyat
dan duit yang diterima itu adalah duit rakyat.
Entah dari mana datangnya alasan bahawa duit itu adalah hak
mereka. Apakah semua kerajaan di dunia
ini memberi BR1M? Tentulah tidak, kerana
bukan tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk
berbuat demikian.
Sudah menjadi hukum alam, dan sudah termaktub dalam ajaran
Islam, bahawa manusia perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Tiada siapa yang layak menerima apa-apa tanpa
berusaha melainkan mereka sememangnya tidak punya kemampuan untuk berbuat
demikian atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan, kecacatan dan sebagainya.
Tugas kerajaan adalah untuk mentadbir, menjana pendapatan,
membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan kemudahan awam,
memastikan rakyat mendapat pendidikan, memelihara kedaulatan negara serta
memastikan keamanan.
Menyediakan wang tunai ‘percuma’ kepada rakyat bukanlah
tugas kerajaan.
Tugas setiap seorang dari rakyat pula adalah untuk bekerja
bagi menyara diri dan keluarga serta membayar cukai kepada kerajaan supaya
kerajaan dapat terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan
oleh rakyat.
Sudah menjadi lumrah dunia, ada rakyat yang berpelajaran
tinggi dan ada yang tidak. Ada yang
miskin dan ada yang kaya. Ada yang dulu
susah, tetapi sekarang senang setelah kerajaan membawa masuk pelaburan dan
mereka dapat bekerja di kilang-kilang.
Ada yang dulu hidup atas peruntukan rakyat termiskin, kini tinggal di
rumah dua teres dua tingkat setelah anak-anak mereka menjadi orang berjaya
berkat pembelajaran percuma di peringkat rendah dan menengah dan kemudiannya
mendapat biasiswa pula untuk ke universiti.
Adajuga yang dulu senang tetapi
sekarang susah dan menganggur akibat membazirkan masa dan wang ibu bapa ketika
di universiti kerana sibuk berdemonstrasi.
Oleh itu, ada rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan dan
ramai lagi yang tidak.
Kerana itu, kerajaan BN yang prihatin, telah mengambil kira
keadaan hidup rakyat yang berbagai ini dan memutuskan untuk membantu mereka
yang memerlukan, melalui BR1M. Kerajaan
boleh saja menggunakan peruntukan BR1M sejumlah RM3 billion itu untuk tujuan
lain, tetapi dikhuatiri ia tidak akan dapat dirasai secara langsung oleh
golongan yang benar-benar memerlukan.
Hanya dengan pemberian tunai sahaja yang dapat memastikan ia mencapai
objektif secara tepat kerana dengan wang tunai, rakyat boleh memutuskan sendiri
cara untuk membelanjakannya.
Sudah tentu sekali BR1M tidak akan dapat diberikan jika
kerajaan tidak mampu. Jika kerajaan
sekadar bergantung kepada cukai yang dikutip dari segolongan rakyat yang layak
membayar cukai sahaja, tentulah kerajaan tidak akan mampu memberi BR1M kepada
golongan yang tidak layak membayar cukai itu.
Justeru, kemampuan kerajaan memberi BR1M kepada rakyat
dengan sendirinya membuktikan kecekapan
pentadbiran Barisan Nasional dalam menjana pendapatan serta mengurus kewangan
negara.
Malangnya, Tok Guru melihat BR1M sebagai umpan atau rasuah
untuk memancing undi serta menghina pula rakyat yang menerimanya. Lebih malang lagi kerana antara yang
menerima BR1M itu adalah penyokong-penyokong Tok Guru sendiri.
Kerana itu, kita ingin bertanya Tok Guru, jika penerima BR1M
adalah umpama lembu dan ayam, maka penyokong Tok Guru yang saban hari mengutuk
BN tetapi tetap menadah tangan melahap BR1M, umpama apa pula?
Fikirkanlah sendiri, binatang apa yang lebih hina dari lembu
dan ayam…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan