'Pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi menafikan fakta ini'
KELMARIN, pemimpin dan penyokong Pas berkumpul di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi menyertai 'Himpunan Hijau Ke Putrajaya'. Sudah pasti matlamat perhimpunan itu adalah bagi membakar semangat ahli-ahli parti tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pas semakin menunjukkan keterujaan dan keghairahan mereka untuk menumbangkan UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.
Sememangnya kita kagum dengan semangat Pas itu tetapi apakah
himpunan yang diadakan di Alor Setar tersebut menguntungkan Pas? Apakah
himpunan itu demi perjuangan politik Pas atau ia akan menjadi alat kepada Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Ia kerana realitinya Pas tidak akan mampu berseorangan untuk
ke Putrajaya kerana sejarah penglibatan parti itu dalam pilihan raya
menunjukkan Pas tidak pernah bertanding dalam jumlah kerusi yang mencukupi bagi
membolehkan ia memerintah.
Malahan Pas juga tidak pernah memenangi lebih dari 30 kerusi
Parlimen dalam pilihan raya umum yang disertainya.
Tambahan pula, apabila Pas mengikat hubungan politik dengan
DAP dan PKR, kedua-dua parti itu sudah tentulah tidak akan membenarkan Pas
dominan dalam pilihan raya umum nanti.
Oleh itu adalah jelas himpunan hijau yang diadakan hanya
ilusi Pas sahaja untuk menawan Putrajaya dan kalau pun berjaya sudah pasti Pas
tidak akan menjadi tonggak utama.
Ini memandangkan sudah ada ura-ura Pas hanya akan dibenarkan
oleh PKR dan DAP untuk bertanding tidak lebih 60 kerusi dalam pilihan raya akan
datang, biar punparti itu berhasrat bertanding 80 kerusi.
Parti yang akan meraih keuntungan besar hasil daripada
kegiatan ahli dan penyokong pembangkang dalam pilihan raya umum nanti ialah
DAP.
Pas akan menjadi ‘kuda tunggangan’ utama kepada DAP untuk
meraih sokongan orang melayu kerana DAP amat memahami PKR tiada kekuatan
seperti mana Pas.Sememangnya kita harus mengakui bahawa Pas mempunyai pengikut tegarnya sendiri berbanding PKR malahan sejarah perjalanan politik Pas jauh lebih hebat daripada PKR hatta DAP sendiri.
Tetapi malangnya, Pas sudah merelakan parti itu hanya
menjadi ‘pak turut’ kepada PKR dan DAP sehingga ia akhirnya akan merugikan
parti itu.
Pemimpin-pemimpin Pas boleh berhujah apa sahaja bagi
menafikan fakta ini tetapi umum khususnya orang melayu amat memahami siapa yang
akan meraih keuntungan hasil perjuangan Pas untuk ke Putrajaya.
Hakikatnya, Dap tidak pernah melihat Pas sebagai sebuah
parti yang perlu dihormati dan perlu diberi tempat istimewa dalam pakatan pembangkang.
Sebab itulah,Dap lebih bersedia menyerahkan kerusi ketua pembangkang
kepada Anwar Ibrahim biar pun PKR memeliki kurang kerusi berbanding Pas.
Keadaan itu sudah membuktikan bahawa Pas hanyalah alat
kepada DAP untuk meraih sokongan orang melayu, tidak lebih daripada itu.