Beberapa tokoh agama mendesak Ketua
Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengemukakan dalil al-Quran atau
hadis yang menunjukkan bahawa kewajipan pilihan raya adalah sama dengan
menunaikan haji.
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd.
Noor Deris berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu seolah-olah meletakkan kewajipan
melaksanakan pilihan raya demi partinya lebih besar daripada Rukun Islam kelima
itu.
"Kita minta dia semak balik semua ajaran al-Quran dan
hadis yang selama ini dia bawa, apakah ada satu ayat al-Quran dan hadis yang
menyatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) setaraf dengan fardu haji?
"Rakyat juga ingin tahu apakah Tuan Ibrahim beranggapan
PRU-13 sebagai kefarduan Allah yang mengatasi kefarduan menunaikan haji.
"Jika benar sebagaimana kenyataan dalam media itu, Tuan
Ibrahim seolah-olah meletakkan kewajipan pilihan raya demi parti lebih besar
dari Rukan Islam kelima itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari
ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Tuan Ibrahim dalam portal pro pembangkang, http://www.selangorku.com/?p
>9042 yang meminta ahli-ahli Pas yang terlibat secara langsung dengan
pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi memberi laluan kepada PRU-13
dijangka antara September hingga Oktober.
Sementara itu, Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah
Sa'amah berkata, adalah wajib bagi umat Islam menunaikan haji sekiranya telah
cukup syarat dan sekiranya ia ditangguhkan, ini bermakna individu terbabit
memperlekehkan hukum agama.
"Saya minta umat Islam tidak terkeliru dengan pandangan
pemimpin Pas ini kerana mereka sudah songsang. Peluang mengerjakan haji sukar
disebabkan kuota yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Ini sengaja mencuaikan kewajipan dan bukannya dalam
keadaan darurat, Tuan Ibrahim telah memperlekehkan agama," katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Pengasas Pondok
Pulau Ular, Zainal Abidin Awang yang menyifatkan Tuan Ibrahim telah
mempermainkan hukum Allah.
"Tidak boleh sama sekali umat Islam menangguhkan haji
apabila cukup harta, sihat tubuh badan, ada kenderaan pergi balik dan dapat
meninggalkan nafkah kepada isteri serta anak-anak.
"Dia (Tuan Ibrahim) main-mainkan soal haji, tambahan
pula dalam keadaan untuk mendapatkan tempat menunaikan haji amat sukar, Pas
telah mempergunakan Islam untuk mendapatkan undi," katanya.