KE MANA sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar negara,
saya akan ditanya bila pilihan raya akan diadakan.
Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak
memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh
menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh melangkaui
tempoh lima tahun hayat Parlimen.
Soalan seterusnya ialah sama ada Barisan Nasional (BN) akan
menang. Jawapan saya BN akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat
penting. Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung
parliament) atau sebuah kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk Malaysia
kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta pembangunan akan
diketepi.
Ramai yang berkata Perikatan/BN telah berkuasa terlampau
lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak boleh terlalu lama.
Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya boleh diguna pakai untuk
semua keadaan.
Ini kerana alternatif kepada BN adalah sesuatu yang
menakutkan. Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi Perdana
Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya mengapa dia
menyertai UMNO dan bukan Pas. Sekarang saya faham. Dia akan melakukan apa
sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan tidak Pas, yang
pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, dia akan menjadi Perdana Menteri
hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. Sebaik sahaja menyertai UMNO dia
bertanding jawatan Ketua Pemuda. Kemudian dia bertanding Naib Presiden
seterusnya Timbalan Presiden. Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden
dan menjadi Perdana Menteri. Ia amat mudah.
Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur. Maka
dia memulakan gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah
menjadi lipatan sejarah.
Sekarang dia menerajui pembangkang dengan harapan akan
dinobatkan di Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya ini. Saya
berpendapat ini tidak baik untuk negara. Begitu juga dengan koleksi cacamarba
pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama mereka tetapi
sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi pilihan raya sahaja. Selain
parti Saya mahu jadi Perdana Menteri",
turut sama ialah parti yang rasis dan parti yang memperalatkan agama. Mereka
akan berbalah sepanjang masa. Mereka bukan satu gabungan. Mereka cuma berpakat
untuk membantu masing-masing memenangi pilihan raya. Sekarang pun mereka sudah
berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana Menteri. Mereka tidak
berpegang kepada pendapat bahawa parti yang terbesar harus memimpin.
Memang benar BN sudah lama berkuasa. Begitu juga Pas di
Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa yang
dikecapi di negara ini dicapai dalam tempoh pemerintahan BN. Ini tidak boleh
dinyatakan mengenai pencapaian Pas di Kelantan.
Dinasti
Kepimpinan Pas dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar
jauh lebih lama berbanding BN dan parti-parti komponennya. Sudah enam Perdana
Menteri memimpin Kerajaan BN tetapi dalam tempoh itu Ketua DAP masih tetap di
tempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan. Dan anaknya akan mengambil-alih.
Sebuah dinasti sedang terbina.
Kepimpinan Pas juga tidak berubah dalam tempoh kepimpinan
empat pemimpin BN.
Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat tetapi
menobat isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib Presiden.
Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku sebarang
perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan meletak jawatan.
Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah
untuk mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak berbeza di
antara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap sama. Yang
pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga dengan dasar luar.
Malah boleh dikatakan walaupun nama adalah sama, kerajaan setiap Perdana
Menteri itu berbeza satu sama lain.
BN yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tidak akan
sama dengan BN di bawah kepimpinan lima yang terdahulu. Ia adalah BN yang baru.
Dan perubahan akan berlaku.
Namun begitu BN tetap berpegang kepada prinsip dan polisi
asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di dalam parti dan
negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif daripada sektor
swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa. BN
juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil di antara kaum. BN mesra
perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang lain.
Ia terbuka kepada inovasi dan idea-idea baru serta
mengambil-kira pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan
dan transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan
antara pemimpin tertinggi kerajaan BN.
Ini bukanlah negara satu parti. BN itu sendiri adalah
gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau memilih untuk
keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan dan BN
memerintah negara. Sesetengahnya dapat bertahan walaupun tidak menyertai
gabungan kerajaan. Yang lain seperti sosialis, terus hilang. Setengahnya
berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan wakil mereka ke
Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal
untuk memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihan raya. Pas kekal
menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihan raya dan pernah memenangi
Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan BN dan menubuh
kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti Gerakan, ketika itu sebuah
parti pembangkang.
Pilihan raya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam
tahun 1969, Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 BN kehilangan lima buah
negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di
peringkat Persekutuan. Keputusan pilihan raya di Malaysia tidak pernah melihat
parti yang memerintah mendapat sokongan 99 peratus. Hakikatnya parti
pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan
Negeri dan peringkat Persekutuan.
Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh menyatakan
bahawa Malaysia adalah negara pemerintahan satu parti. Memang benar Perikatan
dan BN memenangi semua Pilihan Raya Persekutuan. Negara ini negara demokratik
dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti kerajaan itu hak demokratik
mereka. Mengundi pembangkang untuk memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih
demokratik mahupun menjadi bukti kita mengamalkan sistem dwi-parti. Pandangan
jika mengundi pembangkang dalam pilihan raya akan datang akan menjadikan
Malaysia negara yang mengamalkan sistem dwi-parti adalah tidak berasas.
Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun satu gabungan.
Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi pilihan raya. Mereka akan
kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar dan agenda masing-masing. Mereka
mungkin menubuhkan kerajaan campuran tetapi ia akan menjadi gabungan yang
longgar tanpa satupun agenda yang jelas.
Barack Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi dia
tidak berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq atau
Afghanistan. Dia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh orang yang
digantikannya. Apabila tamat edahnya, tiada apa perubahan yang telah berlaku di
Amerika Syarikat.
Sangsi
Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada kekalahan
Parti Liberal Demokratik (LDP). Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan
Parti Demokratik Jepun yang kekal hanya satu penggal. Perubahan kerajaan tidak
meningkatkan kemajuan Jepun.
Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan tidak
selalu benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk Uganda.
Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa diturunkan
secara paksa oleh tentera yang memberontak.
Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Dia
dikatakan amat kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran
rejim (regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang tidak
berdosa selain menghancurkan negara mereka.
Terdapat kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan
kebaikannya berbanding kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak
Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan
ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan membunuh
pihak yang lain.
Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi kebanyakannya
tiada perubahan yang berlaku hasil daripadanya. Amat sedikit contoh menunjukkan
apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Seperti dikatakan oleh orang
Perancis Plus ca change, plus cest la meme chose" (lebih banyak perubahan, lebih banyak
kekal sama).
Tidak perlu menukar kerajaan semata-mata untuk menegak
sistem dwi-parti. Negara yang mempunyai sistem dwi-parti tidak berkeadaan lebih
baik. Mereka masih menghadapi krisis ekonomi dan kewangan, mengalami
kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.
Saya telah nyatakan sebelum ini better
the devil you know than the angel you dont."
BN bukanlah syaitan. Negara ini maju dengan jaya di bawah pemerintahan BN. Bila
kejayaan tidak berlaku, BN cepat menukar pemimpin yang gagal.
Pilihan raya memberi kita peluang menunjuk kepada parti
pemerintah akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai,
amaran telah diberi dan tindakan positif akan diambil.
Jangan perjudi negara ini dengan pihak yang tidak dikenali
dan yang belum teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang
menunjukkan kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju
dengan baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan
yang banyak.
Pilihan raya untuk rakyat memilih parti yang akan memerintah
negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk mereka. Tetapi
hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi sama ada berdasarkan
kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. Cuma segelintir yang
memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.
Akibatnya, pilihan raya mungkin menyebabkan parti yang tidak
layak terpilih membentuk kerajaan.
Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi
seberapa banyak penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod
mereka supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130120/re_03/Jangan-perjudikan-nasib-negara#ixzz2IV47lpU4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan