Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan,
hukum hudud yang diperjuangkan Pas sebelum ini tidak mengikut tuntutan Islam
yang sebenar kerana tidak menghukum pesalah secara adil, menyebabkannya ditolak
oleh kebanyakan pihak.
Katanya, hukum hudud yang ditekankan di dalam al-Quran ialah
menghukum pesalah secara adil antara orang Islam dan bukan Islam.
"Tetapi secara terbuka Pas buat kenyataan, orang Islam
sahaja yang akan kena (hukum hudud), orang bukan Islam tak kena. Mereka takut
orang bukan Islam marah dan tak undi mereka.
"Jadi apabila dua orang, Islam dan bukan Islam berpakat
melakukan jenayah, yang Islam kena potong tangan, yang bukan Islam hanya kena
penjara dua bulan, itu sudah tidak adil,'' katanya ketika berucap pada Majlis
Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Apabila menjatuhkan hukuman katanya, keputusan itu perlu
dilakukan dengan adil.
''Yang ditekankan dalam al-Quran berkali-kali ialah jangan
kita zalim. Jadi apabila hukum disebabkan kepentingan politik, duniawi, itu
bukan Islam. Sebab itu kita tolak hukum mereka, kita pegang hukum Allah,"
katanya.
Dr. Mahathir mengulas sikap pemimpin Pas yang tidak
konsisten tentang pendirian mereka berhubung isu hukum hudud dan kerjasama
dengan pakatan pembangkang.
Beliau berkata, Malaysia selama ini cuba bersikap adil dan
menerapkan nilai-nilai Islam dalam menjatuhkan hukuman serta tidak menuduh
secara membuta-tuli.
Katanya, kerajaan berpegang teguh pada hukum hudud Islam dan
melaksanakannya secara adil supaya sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan
jenayah menerima hukuman yang setimpal dan adil.
"Jadi jangan kata kerajaan tidak mahu melaksanakan
hukum Islam di negara ini tetapi kita harus melaksanakannya dengan kehendak
Islam dan laksanakan dengan adil," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan