Ahad, 15 Julai 2012

1Komuniti 1JPJ, 380 Orang Berjaya Dapat Lesen Memandu.



MERBOK - Seramai 380 orang berjaya mendapatkan lesen memandu percubaan motosikal selepas lulus dalam semua ujian yang dijalankan oleh Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ). Kesemua mereka merupakan peserta bagi program satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Parlimen Merbok yang dianjurkan oleh JPJ Negeri Kedah dengan Kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok.
SKSJ merupakan satu pendekatan baru yang diperkenalkan oleh JPJ untuk mendekatkan pihak JPJ dengan masyarakat luar bandar bagi membantu warga berusia 45 tahun ke atas dalam urusan pemberian lesen memandu percubaan motosikal.
Timbalan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Dato' Ismail Ahmad berkata, kemudahan yang diberi kepada peserta program untuk mendapatkan lesen tidak bermakna mereka mereka memperolehinya melalui jalan pintas tetapi peserta tetap perlu menjalani ujian mengikut prosedur ditetapkan bagi mendapatkan lesen memandu.
"Semua seramai 380 orang yang dapat lesen hari ini telah menjalani dari ujian pengelihatan hinggalah ujian memandu yang mengambil masa selama hampir dua bulan untuk selesai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program 1 Komuniti 1 JPJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok di sini semalam.
Beliau menambah program ini dirangka khusus untuk warga yang berusia 45 tahun keatas yang menunggang motosikal tetapi tidak mempunyai lesen memandu.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, matlamat program SKSJ ini begitu  murni iaitu untuk membantu warga emas yang menunggang motosikal tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat mereka atasi mereka tidak berupaya mendapatkan lesen.
Katanya kaedah yang dibuat oleh JPJ ini adalah sesuatu yang cukup baik dan perlu diteruskan kerana pada hakikatnya bagi penduduk di luar bandar ini, motosikal adalah pengangkutan mereka yang utama.
"Saya melihat ini sebagai satu kaedah yang baik untuk membantu warga emas mendapat lesen kerana jika tiada lesen dan apabila berlaku kemalangan banyak masalah akan timbul. Jadi sekurang-kurangnya bila dah ada lesen mereka akan dapat perlindungan insuran dan sebagainya,” ujarnya.

Antara peserta program yang berjaya mendapat lesen.