Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.
Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:
Malam 1: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah.
Malam 2: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).
Malam 3: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.
Malam 4: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang- orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.
Malam 5: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam 6: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat- malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.
Malam 7: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.
Malam 8: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam 9: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.
Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.
Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).
Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.
Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.
Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).
Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.
Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.
Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)
Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.
Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).
Malam 25: Allah Ta’ala angkatkan daripadanya siksa kubur.
Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.
Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.
Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.
Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.
Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.
Imam Syafi’e yang mulia telah berpesan,” Izaa Sohhal Hadith Fahuwa Madzhaabi” (apabila sahihlah sesebuah hadith, maka itulah madzhabku.”)
Berbalik kepada hadith popular bulan Ramadhan (fadha-il Malam- malam Tarawikh Imam Ali) gagal melepasi tahap pertama: Tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana Imam Hadith. Tanyalah kepada mana-mana ahli hadith dan sudah pasti dia tidak akan jumpa hadith tersebut dalam Kutub asSittah (kitab hadis yang enam): Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa’iy dan Sunan Ibn Majah.
Manakala ia tidak menepati tahap kedua, yakni bercanggah dengan kefahaman sebenar tentang tasawwur puasa dan tidak sesuai dengan nilai keilmuan dalam Islam. Puasa dalam Islam yang dijelaskan oleh sumber yang sahih ialah sebagai salah satu jalan kepada taqwa. Taqwa itulah objektif puasa dan taqwalah jalan kemenangan dan kejayaan umat Islam dunia dan akhirat. Metod fadhilat adalah untuk mereka yang lemah akalnya dan masih kebudak-budakan yang amat terangsang dengan fadhilat dan kebendaan.
Hadis ini kemungkinan direka oleh Syi’ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali R.A yang di dakwa oleh Imam-imam Syi’ah banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.
Hadis ini juga bertujuan memikat golongan awam yang jahil dengan pelbagai kisah dan riwayat. Ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipurlara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad Ibn Hanbal.
Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawwuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam yang jahil supaya giat beribadat tanpa ilmu.
Demikianlah penjelasan AsSyaikh Mustafa asSiba’iy dalam kitabnya asSunnah dan Imam Jalaluddin asSyuyuti (Tahdzirul Khawasy min akazibil Qasyasy).
Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : "Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka." (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan ke atas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: "Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu’) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu’."
Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu’ serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.
Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? Seterusnya dia berkata:
Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: "Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan." (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa’bah..
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: "Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang." (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu’ (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis shohih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.
4. Di dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.
Sumber : Portal JAKIM / http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=10&parent=06