Ahad, 1 Julai 2012

Santai Main Guli Di Tanjung Dawai.


Program hari terbuka Pertubuhan Belia Amanah (PEMBELA) bersama Gabungan Kelab kereta Negeri Kedah (GKKnK) berlangsung meriah di persisiran pantai Tanjung Dawai semalam.

Program itu yang bertemakan "Mengimbau Kenangan Nostalgia Sukan' turut diserikan dengan acara sukan tradisional seperti main guli, tarik upih, baling kasut, boling kelapa serta pelbagai acara lain.

Permainan tarik upih.


Jurucakap PEMBELA, Rosnawi Zenon berkata,  program ini yang disertai lebih 50 kelab kereta serta kelab motosikal dari negeri kedah dan pulau pinang, julung kali di anjurkan oleh pihaknya  dimana ia bertujuan merapatkan jalinan kemesraan antara ahli-ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian bersama orang ramai.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain semasa merasmikan program itu berkata, penganjuran seumpama ini perlu diteruskan bagi memperkenalkan kumpulan-kumpulan NGO yang banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan agar dapat berinteraksi secara langsung dengan anggota masyarakat itu sendiri.

"Apa yang lebih penting adalah peranan yang dimainkan oleh NGO khususnya pertubuhan-pertubuhan belia yang menjurus kepada mendisiplinkan masyarakat terutama golongan muda ke arah aktiviti yang sihat,"katanya.