Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam
di negara ini sentiasa bersyukur dengan keamanan yang dikurniakan oleh Allah
kerana dengan adanya nikmat itu mereka boleh melaksanakan ibadah termasuk
berpuasa tanpa rasa takut.
Hakikatnya beliau berkata, keamanan merupakan sesuatu yang
tidak ternilai, malah ia merupakan satu rahmat Allah yang wajib dipelihara.
Mengambil contoh apa yang berlaku di Syria beliau berkata,
umat Islam di Malaysia wajar mengambil situasi di negara itu sebagai satu
iktibar serta pengajaran ekoran berlakunya pergolakan.
"Kita wajib berasa bersyukur bahawa dalam bulan yang
penuh kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah kita dapat menjalankan ibadah
puasa dalam keadaan yang begitu selamat, tenang, tanpa rasa gentar dan takut.
"Sebagaimana kita tahu juga satu demi satu negara Islam
tidak melalui kenikmatan yang sama. Kita di sini anggap biasa dan kita juga
tidak anggap ia sebagai rahmat yang disyukuri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka
Puasa Sempena Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Pelajar Cemerlang Persatuan
Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perkayatim)
di Dewan Besar Tabung Haji.
Perdana Menteri berkata, atas faktor
keselamatan kerajaan telah membuat keputusan untuk membawa balik rakyat
Malaysia yang berada di Syria.
"Walau apa pun saya amat berharap kita semua sentiasa
memanjatkan doa kepada Allah supaya keamanan yang kita dikecapi selama ini
sentiasa berpanjangan," ujarnya.
Sementara itu, beliau meminta umat Islam di negara ini
sentiasa membantu anak-anak yatim kerana mereka merupakan golongan yang
mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah.
Beliau berkata, di dalam kitab suci al-Quran sendiri ada
dinyatakan sebanyak 23 kali perihal anak yatim dan begitu juga dalam
hadis-hadis Rasulullah SAW.
"Sekali gus ia memberitahu kita betapa mulianya
kedudukan anak-anak yatim di sisi Allah, malah junjungan besar Rasulullah SAW
juga merupakan seorang anak yatim piatu," katanya.
Najib di dalam ucapannya turut memetik sebuah hadis
Rasulullah mengenai balasan mereka yang memelihara anak yatim dengan baik.
"Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ibn. Abbas,
Rasulullah telah bersabda; Orang yang memelihara anak yatim di kalangan umat
Islam dengan memberi makan minum kepada mereka pasti Allah memasukkannya ke
dalam syurga," kata Perdana Menteri lagi.
-Utusan Online.