DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila maklumat mesyuarat pembahagian kuota kerusi pembangkang mendedahkan, parti itu dikatakan akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.
Maklumat mengenai perkara itu didedahkan oleh sebuah blog
propembangkang, suarapakatanrakyat.com dan kemudian disokong dengan maklumat
serupa oleh blog www.mykmu.net serta pisau.net.
Pas pula yang meninggalkan perjuangan negara Islam kekal bertanding
66 kerusi, jauh lebih rendah berbanding hasrat Presidennya, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang yang mahu parti itu bertanding di 80 kerusi.

“Berdasarkan dokumen tersebut, sah DAP akan bertanding di 90 kerusi Parlimen serta masing-masing 66 kerusi bagi PKR dan Pas. Ini satu kejutan terbesar kerana ia meletakkan DAP dalam kedudukan sangat selesa untuk melantik Perdana Menteri dari kalangan mereka.
“Ditambah pula dengan undi orang Melayu yang kini berpecah
kepada tiga bahagian, DAP dengan mudah boleh menang di kawasan Parlimen yang
mempunyai populasi separuh pengundi Melayu dan bukan Melayu," dakwa
suarapakatanrakyat.com.

Sementara itu, mykmu.net pula berkata, jika pun pembangkang
gagal menawan Putrajaya, DAP akan sentiasa berada tiga hingga empat langkah ke
depan berbanding PKR dan Pas dalam menentukan hala tuju pakatan, sehingga parti
itu layak digelar ‘abang besar’ selepas ini.
Lebih memburukkan keadaan dakwa blog itu lagi, daripada 66
kerusi yang diperuntukkan kepada PKR, sehingga kini hanya 24 kawasan sahaja
yang sudah terisi dengan ‘calon pilihan’ dan keadaan berkenaan memberi
kelebihan tambahan kepada DAP kerana rata-rata calon PKR bukan Melayu.“Andai kata kuota pembahagian ini kekal dan dengan mengambil kira sokongan masyarakat Cina kepada DAP serta perpecahan undi Melayu, parti itu akan memenangi jumlah kerusi Parlimen lebih besar. Makanya, Pas kekal sebagai balaci dan PKR akan jadi pendokong kuat DAP.