- Oleh DATUK Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar
Baharu, Kedah.
Saya tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang mendesak diberi ruang selama satu jam bersiaran secara langsung untuk
memberikan penjelasan mengenai isu Amanat Haji Hadi yang mencetuskan kontroversi
berikutan pendedahan pengikut taksub dan ahli seumur hidup Pas, CN Al-Afghani
melalui bukunya Kafirkah Aku!.
Desakan Abdul Hadi turut disokong oleh Datuk Seri Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang menyandarkan hujahnya kepada hukum Islam yang mewajibkan semua
pihak diberi hak bersuara dan membela diri.
Saya tidak menafikan syariat Islam mewajibkan mana-mana
pihak diberi hak membela diri dan bersuara dalam mana-mana isu yang membabitkan
dirinya. Malah hak asasi kemanusiaan juga menuntut seseorang diberi hak membela
diri dan hak bersuara.
Apa yang saya pertikaikan ialah amalan politik dua alam,
cakap tak serupa bikin dan demokrasi hipokrit amalan pembangkang.
Contohnya, mengapa semasa Pas membat keputusan memecat Datuk
Dr. Hasan Ali, beliau langsung tidak diberi hak membela diri dan hak bersuara.
Malah, Hasan Ali langsung tidak diberi notis tunjuk sebab
atau alasan tindakan memecat akan diambil terhadap beliau. Sehingga hari ini
Hasan Ali tidak tahu apa sebab beliau dipecat!
Mana suara Nik Aziz atau Abdul Hadi semasa itu. Bukan sahaja
mereka tidak memberi hak bersuara itu kepada Hasan Ali, malah mereka turut
bersekongkol dalam tindakan memecat Hasan Ali tanpa diberi sebab, tak diberi
hak bela diri, tak diberi hak bersuara, malah tak diberi notis!
Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, dengan segera
segala ayat al-Quran dan hadis serta hukum Islam dicedok dan digali untuk
melapik tuntutan serta desakan mereka!
Ini pada saya adalah amalan politik jijik dan kotor kerana
mempergunakan syariat Islam hanya untuk kepentingan politik peribadi!
Kedua, Abdul Hadi perlu ingat, beliau ada ruang di Harakah
dan media-media portal pembangkang yang lain untuk memberi penjelasan. Apatah
lagi dengan dunia Internet, beliau boleh merakam sendiri penjelasannya dan
disiarkan tanpa tapis di Youtube dan media lain. Malah beliau boleh buat
rakaman dalam bentuk CD/DVD dan disebarkan kepada orang ramai.
Dalam keadaan ruang cukup luas yang ada untuk beliau
memberikan penjelasan, Abdul Hadi memilih untuk mendesak satu jam siaran
langsung di RTM! Tidakkah ini menimbulkan keraguan tentang niat sebenar beliau?
Selanjutnya, Abdul Hadi perlu ingat yang membongkar dan
mencetuskan isu kesan Amanat Haji Hadi 1981 itu ialah seorang pengikut taksub
dan bekas ahli seumur hidup Pas.
CN Al-Afghani bukan calang-calang orang. Beliau pernah duduk
dipimpinan Pemuda Pas Negeri. Malah Naqib usrah beliau ialah arwah Ustaz Fadzil
Mohd Noor, bekas Presiden Pas! Beliau juga pejuang mujahidin di Afghanistan dan
Kashmir. Malah beliau pembela balu syuhada Memali dan tinggal bersama mereka!
Dan beliau pernah ditahan ISA kerana menjadi Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia
(KMM)!
Beliau yang membongkar kesan Amanat Haji Hadi 1981 melalui
bukunya Kafirkah Aku!.
Beliau turut menceritakan bagaimana beliau sendiri menjadi
begitu taksub dengan Amanat Haji Hadi itu sehingga mengkafirkan ahli
keluarganya sendiri yang menjadi ahli atau penyokong UMNO!
Berikutan pendedahan beliau, ramai lagi pengikut taksub Pas
yang terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi tampil ke depan mendedahkan bagaimana
mereka melalui kehidupan yang sangat menyesatkan akibat amanat itu.
Kita dengar mereka menceritakan tentang nikah kali kedua,
sembelihan keluarga sendiri daripada kalangan UMNO dianggap bangkai, ada imam
yang enggan solatkan jenazah umat Islam daripada UMNO, solat dua imam, boikot
masjid dan macam-macam onak mehnah akibat Amanat Haji Hadi.
Jadi pada saya, Abdul Hadi tidak perlu beri penjelasan
kepada umat Islam berbangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Kami semua sudah faham
bahawa amanat itu sesat dan bercanggah dengan akidah/ syariat Islam. Malah para
ulama, mufti dan ahli agama telah memberikan fatwa dan pendapat yang jelas
membuktikan Amanat Haji Hadi itu sesat dan bercanggah dengan syariat Islam.
Jadi umat Islam bangsa Melayu serta rakyat Malaysia tidak
perlu dengar dan faham penjelasan Abdul Hadi kerana kami sudah tahu. Malah kami
tidak pernah mengikut pun Amanat Haji Hadi itu.
Yang perlu tahu, dan yang perlukan penjelasan ialah para
pengikut taksub Pas dan Abdul Hadi yang sehingga ke hari ini tidak menyedari
tentang kesesatan Amanat Haji Hadi tersebut. Sehingga hari ini ada yang masih
mengkafirkan saudara seagama dan sama akidah hanya kerana amanat itu.
Malah semasa berbual dengan beberapa sahabat daripada
Baling, mereka menyatakan kerisauan tentang status ‘mati syahid’ Allahyarham
Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang lain yang mati terbunuh dalam Peristiwa
Memali.
Kalau Amanat Haji Hadi itu tidak betul, bagaimana keadaan
jenazah mereka yang tidak dimandi dan dikafankan! Terus dikuburkan dalam
keadaan berlumuran darah kerana dikatakan mati syahid. Malah empat anggota
polis yang satu akidah turut dibunuh kononnya halal kerana ‘Polis UMNO’!
Apa nasib mereka ini semua?
Kepada mereka ini yang Abdul Hadi wajib berikan penjelasan.
Mereka mahu tahu benarkah UMNO kafir kerana kononnya mengekalkan dan
melaksanakan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan kafir serta jahiliyah!
Kalau begitu kedudukannya, mereka mahu tahu mengapa pada 18
Januari 2003, Abdul Hadi membuat ‘Amanat Hadi’ yang menyatakan peruntukan
mengenai Islam cukup seperti dalam Perlembagaan!
Mereka juga mahu tahu kenapa perjuangan negara Islam
dibuang, diganti dengan negara kebajikan!
Mereka mahu tahu benarkah negara Islam tiada dalam al-Quran?
Kalau benar, mengapa Abdul Hadi melancarkan Dokumen Negara Islam pada tahun
2004?
Mereka mahu tahu apa kedudukan Dokumen Negara Islam yang
digubal oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din? Apakah Dokumen
Negara Islam itu kini bercanggah dengan al-Quran memandangkan Negara Islam
rupanya tiada dalam kitab suci itu?
Mereka juga mahu tahu adakah Mesir yang masih mengekalkan
undang-undang penjajah walaupun diperintah oleh Presiden Mursi daripada
Ikhwanul Muslimin juga adalah negara kafir.
Kalau Mesir masih kafir, bagaimana kelulusan dan ijazah
Abdul Hadi dan ramai ustaz dalam Pas yang mendapatnya daripada Mesir? Adakah
kelulusan dan ijazah mereka tidak mengikut syariat kerana dikeluarkan oleh
negara kafir?
Mereka juga mahu tahu adakah Turki juga kafir kerana bukan
sahaja mengekalkan undang-undang penjajah, tetapi meneruskan status sekularisme
mereka walaupun kini diperintah oleh Reccep Tayyib Erdogan daripada Parti AKP!
Mereka juga mahu tahu adakah Indonesia, negara umat Islam
terbesar di dunia kafir kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah Belanda
dan meletakkan Pancasila sebagai prinsip rukun negara Indonesia! Malah amalan
homoseks bukan kesalahan jenayah di Indonesia! Apakah Indonesia kafir?
Kalau mengambil Amanat Haji Hadi sebagai kayu pengukur, maka
Mesir, Turki dan Indonesia adalah negara kafir, dan kerajaannya kafir kerana
masih mengekalkan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan penjajah!
Kalau Mesir, Turki dan Indonesia tidak kafir, mereka mahu
tahu mengapa Malaysia dan kerajaannya kafir?
Sebenarnya banyak persoalan yang pengikut taksub dan ahli
serta penyokong Pas mahu tahu. Bukan kepada umat Melayu-Islam di Malaysia sebab
kami sudah tahu dan kami memang menolak Amanat Haji Hadi.
Jadi tidak perlu Abdul Hadi memberi penjelasan melalui RTM,
TV3 atau Utusan Malaysia.
Cukup kalau Abdul Hadi memberi penjelasan melalui Harakah
dan media pembangkang, juga melalui Youtube dan media alternatif yang lain.
Awang Hadi juga boleh kerahkan semua ahli, penyokong dan
pengikut taksub Pas mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kota Bharu,
Kelantan untuk tujuan itu. Kalau perlukan bantuan, Abdul Hadi boleh minta
bantuan Ambiga Sreenavasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.
Boleh begitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan