SUNGAI PETANI, 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab
yang diberikan serta menepati janji.
Beliau berkata pemimpin yang tidak pernah mengkhianati
amanah yang dipertanggungjawabkan wajib disokong oleh rakyat demi
kesejahteraan negara.
"Kita (pemimpin yang) tidak pernah bercakap bohong,
kita bercakap benar, jadi kita mesti faham bahawa apa yang kita lakukan itu memang
menepati kehendak agama kita, menepati hadis Rasulullah SAW.
"Ini amanah yang kita galas, tidak pernah khianati dan
setiap janji kepada rakyat kita tepati," katanya dalam ucapan pada majlis
Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini
Rabu.Kira-kira 15,000 orang menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Turut hadir pada perhimpunan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Johari Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah.
Selain itu, Najib menegaskan tugas mengendalikan urusan
sesebuah kerajaan bukan sesuatu yang mudah, bukan semata-mata ikut suka hati sendiri
atau sekadar menyedapkan halwa telinga pengundi.
"Sebab itulah kita sebagai sebuah negara yang semakin
hari semakin berjaya, ada perancangan yang jelas dan berjuang melakukan perubahan yang
besar. Untuk mencapai sebuah negara maju, kita perlu kepada kemajuan yang
seimbang dan tidak boleh meminggirkan mana-mana golongan.
"Kalau kita dengar pembangkang hendak mansuhkan hutang,
hapuskan tol, naikkan gaji minimum, kurangkan harga minyak...semuanya sekali boleh
sebabkan ekonomi kita runtuh dan jika itu berlaku, hasil kerajaan juga akan
merudum," katanya.
Najib memberi contoh mengikut Islam "kalau meninggal
dunia wajib lunaskan hutang, kalau kita tak sempat, waris kita kena selesaikan.
Kalau mati tanpa melunaskan hutang, berat pada roh kita nanti...seksa nanti,
tapi pembangkang senang-senang kata hapuskan hutang, itu bukan ajaran
Islam". katanya. Menyentuh permintaan Pertubuhan Peladang Kedah supaya dilaksanakan projek lebuh raya sungai dari dari Empangan Pedu di bahagian utara Kedah hingga ke daerah Kuala Muda di bahagian selatan, perdana menteri berkata kerajaan tiada masalah melaksanakannya.
"Kita (kerajaan) boleh bagi...tapi kena bagi (Barisan
Nasional) menang jugalah (pilihan raya umum ke-13). InsyaAllah masalah-masalah yang
dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan yang disebutkan, akan diambil
perhatian," katanya.
Projek lebuh raya sungai itu dicadangkan bertujuan
mengalihkan aliran air sungai yang bengkak-bengkok di beberapa daerah di Kedah, seperti di
Pendang, bagi mengelakkan berlaku kerosakan tanaman padi akibat air sungai
masuk ke kawasan sawah padi.
Sebelum ini, apabila tiba musim tengkujuh banyak padi yang
rosak dan musnah, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar hingga
jutaan ringgit untuk diberikan kepada petani sebagai ganti rugi.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kerajaan
persekutuan di bawah beberapa insentif seperti insentif pengeluaran beras,
insentif peningkatan hasil, elaun sara hidup nelayan dan insentif tangkapan ikan
negeri kepada petani, penternak dan nelayan.
Najib menyifatkan golongan petani, penternak dan nelayan
sebagai wira yang tidak didendang kerana usaha dan perjuangan mereka adalah di
belakang tabir serta tidak menonjol.
"Golongan ini mempunyai jasa yang sangat besar kepada
kita, kenapa saya kata bahawa golongan ini wira yang tidak didendang...yang
sebenarnya golongan petani, penternak dan nelayan ini mempunyai jasa yang begitu besar
kepada negara.
"Mereka memberi sumbangan yang cukup besar kerana nasi
yang kita makan saban hari adalah hasil daripada daripada titik peluh petani, ikan
yang dijadikan lauk adalah kerana para nelayan sanggup meniti gelombang, panas
matahari terik
samudera untuk beri bekalan ikan kepada kita semua, begitu
juga ayam dan daging yang kita makan buah dan sayur sebagainya kerana titik peluh
serta jasa dan kesungguhan mereka," katanya.
Oleh itu, katanya, golongan petani, penternak dan nelayan
sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan kerana itu di bawah Belanjawan 2013,
sebanyak RM5.8 bilion diperuntukan kepada Kementerian Pertanian dan Asas
Tani bagi pembangunan ekonomi golongan ini.
-- BERNAMA