"Mentadbir sebuah negara pelbagai kaum
seperti Malaysia bukan tugas mudah dan hanya parti atau kerajaan yang mempunyai
pengalaman serta rekod cemerlang sahaja mampu meneruskan keharmonian yang
dinikmati pada hari ini".
Justeru rakyat tidak boleh membuat eksperimen terhadap nasib
dan masa depan negara pada pilihan raya umum akan datang kerana kesilapan
membuat keputusan bakal menjerumus Malaysia ke dalam situasi tidak menentu
seandainya parti dipilih belum bersedia.Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat rumusan itu berkata, sehingga kini pakatan pembangkang yang bercita-cita mahu menggantikan Barisan Nasional (BN) masih lagi bertelagah mengenai soal pembahagian jawatan sehingga gagal membentuk Kabinet bayangan.
Katanya, sebagai sebuah parti yang mahu memerintah negara ini, pakatan pembangkang sepatutnya sudah menyelesaikan soal pembahagian tersebut lebih awal dan bukan hanya akan berbuat demikian selepas mereka berjaya menawan Putrajaya.
"Kalau mereka berjaya menawan Putrajaya dan pada masa itu bertelagah siapa akan jadi Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana Menteri. Kedudukan apa yang akan diserah kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, apa akan jadi kepada negara?
"Sebaik sahaja anda (pembangkang) melangkah ke Putrajaya, rakyat mahu tahu (senarai Kabinet) atau dalam kata lain negara tidak boleh tunggu. Sebab itu saya cakap mentadbir Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa bukan tugas mudah, ia tugas yang sangat kompleks.
"Tapi semua parti akan mendakwa mereka layak dan kalau begitu (dalam kes pembangkang) tunjukkan dulu Kabinet bayangan bagi memberi keyakinan kepada rakyat," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Bandar Sri Damansara.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan terbuka Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, Tunku Abdul Aziz berkata, pengisian jawatan pemimpin nombor satu negara perlu dibuat mengikut konvensyen dan amalan sedia ada.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan Melayu
sebagai Perdana Menteri tetapi katanya, jawatan tersebut seharusnya kekal diisi
orang Melayu kerana jawatan itu merupakan 'menteri pertama' kepada Yang
di-Pertuan Agong.
"Yang di-Pertuan Agong Islam dan selaku 'menteri
pertama' kepada beliau sudah tentu Seri Paduka mahu Perdana Menteri berada
bersama dalam majlis keagamaan Islam tetapi bagaimana kalau Perdana Menteri
bukan Melayu, ini realiti yang perlu diakui," katanya.- Utusan.