Rabu, 30 Mei 2012

'Bayaran Balik PTPTN Boleh Dirunding' - Tajul Urus.


MERBOK - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia memberikan pertimbangan wajar berhubung pembayaran balik pinjaman asalkan peminjam mengadakan perbincangan dengan badan itu.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, walaupun setiap peminjam telah disyaratkan membayar balik pinjaman selepas enam bulan tamat pengajian, pihaknya sedia memberi kelonggaran kepada mereka yang mempunyai alasan munasabah.

Katanya, semua perkara boleh dirunding dengan syarat wujud komunikasi antara peminjam dengan pihaknya.
"Sebenarnya PTPTN menyediakan kaedah yang memudahkan semua pihak termasuk bayaran serendah RM50 sebulan. Kalau tak boleh bayar dalam kadar yang ditetapkan, jangan terus menghilangkan diri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta peringkat Kedah bagi sesi Mei/Jun 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok disini. Seramai 2,999 pelajar di negeri Kedah mendapat WPP dengan jumlah keseluruhan RM4.49 juta.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail.


Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata, PTPTN sentiasa bersikap mesra pelanggan asalkan peminjam sedar tanggungjawab mereka untuk membuat pembayaran balik.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sehingga 31 Mac 2012, perbadanan itu telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 1.96 juta peminjam dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.85 bilion.
Bagaimanapun katanya, jumlah kutipan balik bayaran masih rendah iaitu sekitar RM3.2 bilion sedangkan jumlah sepatutnya adalah sebanyak RM6.8 bilion.

Mengenai WPP pula, seramai 32,777 pelajar mendapat wang pendahuluan berjumlah RM1,500 setiap orang bagi sesi pengajian Mei/Jun 2012.
"Pengagihan WPP akan dibuat secara berperingkat selepas ini yang meliputi pelajar peringkat diploma, ijazah dan juga politeknik," katanya.

Terdahulu, Shahlan dalam ucapannya berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana kerajaan telah menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.