Jumaat, 26 Oktober 2012

Malaysia ke-12 Paling Berdaya Saing: Bukti Negara Tak Bangkrap.


Laporan Bank Dunia Edisi 2013 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 12 paling berdaya saing bagi perniagaan sekali gus menghumban segala tuduhan pembangkang konon negara ini akan bangkrap, ke dalam longkang.
Kedudukan ini merupakan lonjakan enam anak tangga berbanding 2011 iaitu lonjakan yang paling tinggi setakat ini.  Pada tahun 2010, Malaysia berada di tangga 23.
Kedudukan ini juga meletakkan Malaysia mengatasi negara seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).
Laporan Bank Dunia ini adalah berdasarkan kajian ke atas 185 ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan, kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Malaysia didapati telah memperbaiki kedudukan daya saingnya dalam lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu Kemudahan Bekalan Elektrik (dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah (dari tempat ke-59 ke tempat ke-33); Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11) dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
Nampaknya, segala usaha pembangkang untuk menggambarkan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia mengalami masalah ekonomi serta mengalami risiko bangkrap berdasarkan Bajet dan Audit yang baru dibentangkan telah sekali lagi tidak berjaya.
Dengan laporan Bank Dunia ini, keyakinan pelabur terhadap Malaysia juga akan melonjak tinggi dan ini bakal membantu negara mencapai sasaran pengurangan kadar defisit kepada 4.0 peratus daripada KDNK berbanding 4.5 peratus tahun ini.
Golongan peniaga juga dijangkan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dalam PRU yang akan datang berdasarkan perkembangan positif yang direkodkan ini.
Sementara itu, pakatan pembangkang dilihat semakin buntu apabila Bajet yang dibentangkan mereka mendapat kritikan hebat kerana tidak dibuat berdasarkan realiti dan tegar meneruskan janji-janji yang tidak masuk akal.  Lebih buruk lagi bagi pembangkang apabila Laporan Audit yang dibentangkan mendedahkan kelemahan yang ketara di negeri-negeri yang diperintah mereka sehingga dalam beberapa kes terdapat desakan dari rakyat agar dilakukan siasatan oleh SPRM.
Ketika BN berjaya membuktikan kecekapan melalui khidmat yang cemerlang, pembangkang terpaksa bermain politik dengan isu remeh iaitu kamera AES dan cukai rokok yang sebenarnya membawa kesan yang baik untuk rakyat.  Pembangkang telah bertindak menyeru rakyat menolak sesuatu yang baik untuk mereka dengan alasan ia memberi pulangan wang kepada kerajaan dan cuba menggambarkan bahawa kerajaan terdesak untuk menambah pendapatan dengan memeras rakyat.

Namun, laporan Bank Dunia ini dengan sendirinya menafikan yang kerajaan buntu untuk menjana kewangan.  Terbukti kerajaan telah berjaya menyediakan persekitaran yang selesa untuk membolehkan perniagaan berkembang dan pelaburan meningkat bagi memastikan kewangan negara dapat dijana secara konsisten.
Kini rakyat semakin yakin dengan kerajaan dan pembangkang semakin kehilangan modal untuk berkempen.

Khamis, 25 Oktober 2012

Salam Aidiladha.


Dari Al-Barra, katanya; "Saya mendengar Nabi berkhutbah. Kata beliau: "Pekerjaan kita hari ini (10 Zulhijjah) ialah solat. Sesudah itu pulang dan menyembelih korban. Sesiapa yang berbuat demikian bererti telah menjalankan agama kita." (Sahih Muslim).

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain bersama keluarga serta seluruh warga UMNO Bahagian mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha  kepada seluruh umat Islam khususnya di Parlimen Merbok.

Semoga segala amal ibadah kita diterima disisi Alllah SWT.



Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hilham.


Aidiladha - UMNO Merbok sumbang 10 ekor lembu korban.

 
MERBOK 25 Okt. - Sempena sambutan Aidiladha esok, UMNO Bahagian Merbok telah mengagihkan sebanyak 10 ekor lembu untuk dikorbankan.
Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain ketika dihubungi berkata, dari jumlah itu, 4 daripadanya disumbangkan kepada anggota perajurit yang meliputi Kem 6 Briged, 19 RAMD, 52 Artileri serta 3 Amor di Kem Sungai Layar dan Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.
Tiga masjid turut menerima sumbangan iaitu masjid Merbok (2), Masjid Bukit Selambau (1) dan Masjid Tanjung Dawai (1) manakala selebihnya diserahkan kepada 2 Kampung iaitu Kampung Perak (1) dan Kampung Jilid 3 (1).
Beliau berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, sumbangan lembu korban adalah aktiviti biasa setiap kali sambutan Aidiladha.


Rabu, 24 Oktober 2012

Negara Sekular Hanya Taktik DAP Untuk Pecahkan Umat Islam.


Tindakan DAP yang beria-ia menafikan negara ini sebagai Negara Islam sudah cukup untuk membuktikan sifat anti-Islam/Melayu yang menjadi ‘darah daging’ parti tersebut.   Tidak ada parti-parti yang mewakili kaum bukan Melayu di Malaysia yang menjadikan konsep pentadbiran negara ini iaitu sama ada sekular atau Islam, sebagai satu isu besar sepertimana DAP.
Hujah DAP adalah berdasarkan kenyataan lisan yang dibuat oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama bahawa Malaysia adalah Negara Sekular dan bukan Negara Islam.  Ini dibuktikan dengan laporan The Star pada 9 Februari 1983 iaitu pada ulangtahun bekas Perdana Menteri itu yang ke-80, yang menyatakan “Jangan jadikan Malaysia negara Islam.”
Menurut Kit Siang, pada Februari 13, tahun yang sama, bekas Perdana Menteri yang ke-3, Tun Hussein Onn pula menyatakan bahawa beliau menyokong pendirian Tunku yang menolak negara Islam.
Jika kenyataan lisan bekas Perdana Menteri pertama diangkat sebagai satu penghisytiharan dan dijadikan asas untuk menentukan konsep pentadbiran negara, maka Kit Siang juga wajib mengambilkira  kenyataan lisan oleh bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang lain yang sebaliknya mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.
Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4 mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Gerakan.  Beliau dengan tegas mengisytiharkan seperti berikut:  “Umno ingin menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.”

Begitu juga dengan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 17 Julai 2007.

Ketika menjadi Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan bahawa “Islam adalah agama rasmi dan Malaysia adalah sebuah negara Islam,” ketika Persidangan Antarabangsa tentang Peranan Negara Islam Dalam Dunia Globalisasi.
 
 
Dan kini, setelah Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Malaysia terus mendapat pengiktikrafan bukan sahaja sebagai Negara Islam tetapi sebagai Negara Islam contoh dan diakui sendiri oleh Ulama tersohor dunia termasuk antara yang paling disegani, iaitu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.  Dalam surat penghargaan khas beliau ke atas sumbangan Malaysia kepada dunia Islam, beliau menyatakan, “Lebih penting, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara Negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam.
Dengan mengambil kira semua kenyataan lisan, pengisytiharan serta pengakuan bertulis mengenai sama ada Malaysia adalah Negara Islam atau Sekular, maka kita akan dapati bahawa 2 bekas Perdana Menteri menyatakan Malaysia adalah Negara Sekular, dan 2 bekas Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri kita pada hari ini, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara Islam.
Oleh itu, tidak ada sebab bagi Kit Siang untuk meletakkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sebagai mengatasi kenyataan bekas-bekas Perdana Menteri yang lain.
Dari sudut yang lain pula, Kit Siang tidak wajar berpegang kepada kenyataan bekas Perdana Menteri semata-mata, tetapi perlu melihat perkara ini secara keseluruhan, iaitu perlembagaan dan landskap masyarakat negara ini.
Beberapa Ulama sepakat mentakrifkan Negara Islam seperti berikut:  satu tempat yang berada dibawah pemerintahan orang Islam dan tandanya ialah apabila orang Islam aman di dalamnya serta masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, serta dilaksanakan di dalamnya hukum-hukum ke atas orang kafir zimmi, manakala golongan ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.
Menurut Hassan al-Banna, sebuah kerajaan Islam ialah kerajaan di mana para pemimpinnya menunaikan kewajiban Islam, tidak melakukan maksiat dan mereka menjadi pelaksana hukum-hakam Islam dan pengajaran dalam dirinya.
Negara Islam mementingkan keadilan sejagat yang sesuai dengan kedudukan manusia menurut kemampuan masing-masing kerana tidak ada manusia yang boleh menganggap dirinya istimewa dalam melaksanakan perintah Allah termasuk pemimpin dan juga Ulama, kerana undang-undang Allah SWT itu turut berlaku keatas semua.
Dalam bahasa mudah bagi Umat Islam ialah Negara Islam itu terbentuk atas dasar niat dan matlamat yang tidak mengabaikan tuntutan Islam.  Tetapi Negara Sekular terbentuk atas dasar kuasa di mana ia membolehkan matlamat menghalalkan cara.
Jelas berdasarkan fakta-fakta di atas bahawa Malaysia adalah Negara Islam, dan bagi Kit Siang untuk menafikannya dengan hanya berdasarkan satu alasan iaitu kenyataan Tunku Abdul Rahman tentulah tidak boleh diterima langsung.
Matlamat Kit Siang untuk membangkitkan soal ini tidak sukar untuk dibaca.  Beliau sebenarnya hanya ingin memecahbelahkan Umat Islam dengan membangkitkan keraguan terhadap kerajaan Islam.
Namun, di masa yang sama, beliau juga sebenarnya secara tidak langsung mengesahkan bahawa perjuangan DAP adalah untuk menegakkan Negara Sekular dan bagi PAS untuk terus bersama mereka, menunjukkan bahawa Umat Islam di dalam PAS turut memperjuangkan yang sama.  Logiknya, PAS wajar memberi respon segera sama ada untuk menyokong atau sekadar bermain politik dengan menempelak DAP kerana memperjuangkan Negara Sekular.
Jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam dan tidak memegang prinsip matlamat menghalalkan cara, maka kenyataan Kit Siang ini wajar dijadikan titik noktah kesepakatan mereka bagi mengelak dari turut bersubahat memperjuangkan Negara Sekular.

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bantu golongan OKU.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato" Hj Tajul Urus Mat Zain bersama pengarah Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah, Zulkiply Ramli melihat kraftangan yang dihasilkan pelatih pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di Bedong baru-baru ini.

Bilangan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri Kedah yang telah didaftarkan pada tahun ini mencecah 13,352 orang yang mana dari jumlah itu, daerah Kuala Muda sahaja mencatat seramai 4,464 orang.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah , Zulkiply Ramli, golongan itu layak menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pendaftaran golongan sebegini akan diteruskan.

"Langkah yang diambil oleh kerajaan pusat untuk menjaga kebajikan serta menaiktaraf kehidupan OKU ini adalah suatu perkara yang amat baik,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Ahli Jawatankuasa Bersama Warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Kuala Muda dan Hari Anugerah Cemerlang Tahun 2012 di Kompleks Pusat Khidmat Setempat (PKS) Bedong di sini, baru-baru ini.

PDK merupakan pusat pemulihan khas bagi golongan OKU dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).Antara latihan yang diberikan termasuk Pengurusan diri sendiri, menulis, membaca, mengira dan melukis, latihan vokasional serta pelbagai latihan asas.
Tambahnya untuk tahun ini sahaja sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan bagi memberi bantuan kepada pelatih PDK manakala peruntukkan bagi membangunkan 32 buah PDK di negeri Kedah berjumlah RM5.6 juta.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan langkah diambil pengurusan PDK daerah Kuala Muda bagi mengadakan program seumpama ini adalah wajar dan perlu diteruskan.

Sementara itu, Pengerusi perhimpunan, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, aktiviti sebegini berjaya mewujudkan hubungan baik dan perkongsian di kalangan ibu bapa dan pelajar di semua pusat PDK di Daerah Kuala Muda.

"Sesungguhnya, mereka yang belajar di PDK boleh menjadi cemerlang dan berjaya jika bimbingan terus diberikan," katanya.

Sabtu, 20 Oktober 2012

Mangsa Kebakaran Dapat Rumah Baru

Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain menyerahkan kunci rumah baru kepada Nor' In @ Norini Md Isa
di Sungai Lalang, semalam.

SUNGAI PETANI - Ibu tunggal Nor' In@ Norini Md Isa, 46 bersama  5 orang anak gembira apabila mendapat rumah baru sumbangan (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pinang, Sungai Lalang sebulan lalu.
Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh penyelaras parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di sini, semalam.
Tajul Urus yang juga merupakan Ketua UMNO bahagian Merbok berkata, penyerahan ini merupakan tanda keprihatinan Barisan Nasional (BN) kepada permasalahan yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, rumah KEDA yang sedia ada ini telah diperbaiki semula sebelum diserah kepada mangsa dan berharap ia dapat meringankan bebanan keluarga mangsa.
Beliau turut menjelaskan, pihaknya juga telah melengkapkan rumah itu dengan kemudahan elektrik dan bekalan air.
Bagi Nor' In@ Norini Md Isa pula, beliau bersyukur serta mengucapkan ribuan terima kasih atas pertolongan dan keprihatinan  Dato' Hj. Tajul Urus sehingga mereka sekeluarga mendapat tempat tinggal baru setelah rumahnya hangus terbakar pada 7 Sept yang lalu.

Selasa, 16 Oktober 2012

Fakta Scorpene Dan PTPTN yang wajib diketahui


Rancangan pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan yang kini dipolitikkan oleh pakatan pembangkang, sebenarnya telah dibuat pada 1991 dan mendapat kelulusan pada 1995 iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip mendakwa, Anwar mengetahui perkara tersebut kerana sebagai menteri berkenaan, beliau bertanggungjawab meluluskan pembelian kapal selam berkenaan ketika itu.
"Segala-galanya telah dibentangkan di Parlimen pada persidangan yang lalu tentang perjanjian pembelian Scorpene. Rupa-rupanya rancangan hendak beli kapal selam dibuat sejak 1991. Pada 1995, Kementerian Kewangan meluluskan proses pembelian kapal selam dengan harga yang ditetapkan.
"Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Anwar Ibrahim. Dia lulus waktu itu, dia yang beri kelulusan dan tangan dia yang tandatangan dokumen kelulusan. Hari ini, dia mengelirukan rakyat dengan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima komisen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Rapat Umum Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Dewan Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam di sini malam tadi.
Dalam ceramah itu, Muhammad Zahid turut meminta rakyat tidak terpengaruh dengan janji-janji manis Anwar termasuk menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga minyak.
Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dahulu, Anwar menolak desakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) agar kadar faedah pinjaman PTPTN sebanyak empat peratus dikurangkan.
"Mana ayat dia dahulu adat berhutang mesti bayar? Sebab hendak gula-gulakan rakyat, dia buat janji macam ini. Zaman Najib, peminjam PTPTN hanya dikenakan kadar faedah satu peratus dan kalau pandai belajar, mereka tidak perlu bayar. Ini untuk menggalakkan anak-anak kita belajar," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang Melayu dan Islam tidak ada pilihan melainkan menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti jika mahu kedudukan Islam dan hak keistimewaan orang Melayu tidak digugat.



Malaysia sambut Aidiladha 26 Oktober


Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 26 Oktober, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad.
"Bagi menyempurnakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan 1 Zulhijah, 1433 Hijrah ialah pada 17 Oktober 2012.
"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat 26 Oktober 2012," katanya dalam kenyataan di sini. - BERNAMA

Isnin, 15 Oktober 2012

Praktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa -Tajul


Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain melihat sebuah lukisan yang dibuat dari kulit kayu  
yang dihasilkan  penuntut jabatan seni visual IPG kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Semalam.

Seni adalah sesuatu yang halus dan budaya adalah cara hidup.Dalam sesuatu  bangsa seni budaya itu akan mencerminkan keagungan dan martabat bangsa itu.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata kerana itu adalah penting untuk mana-mana bangsa menjaga serta memartabatkan seni budaya bangsanya agar tidak hilang ditelan zaman.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutupan rasmi Program Merakyatkan Seni Dan Budaya (PMS)-Bahasa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Kedah, Mohd Rizal Ismail.

Tajul berkata, tidak mungkin sesuatu yang tidak direstui oleh sesuatu bangsa adalah seni dan budaya bangsa itu, sebagai contoh bagi orang melayu mempunyai adad resam,  dan adab resam itu pula bukan saja dari segi perlakuan dan tindakan tetapi juga bahasa.

Tambahnya pada hari ini, perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup secara tidak langsung telah mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Masyarakat sering didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus.

Ini ditambah kecenderungan generasi kini dalam mereka bentuk bahasa yang telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus sedangkan bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat.

Justeru beliau menggesa agar semua pihak khususnya generasi muda agar kembali mempraktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa.

"Kegagalan masyarakat hari ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab,  kasar serta tanpa segan-silu,

Pelbagai bentuk budaya sosial serta perlakuan biadap termasuk terhadap pemimpin negara dilakukan secara terbuka, padahal sekiranya penggunaan bahasa halus dapat digunakan, tentu sahaja dapat membendung kebiadaban pertuturan lisan serta memperlihatkan kepada segenap lapisan masyarakat tentang budaya budi bahasa yang mencerminkan kehalusan dan ketertiban sesebuah masyarakat," ujarnya.




Isnin, 8 Oktober 2012

Kapal Selam: Akhirnya Suaram dan Malaysiakini kantoi berbohong




Saban hari mereka dok kelentong kononnya kes perbicaraan penyelewengan pembelian kapal selam negara akan bermula dan telah bermula di Perancis.

Entah berapa banyak sudah duit orang ramai yang mereka kutip kononnya untuk jamuan makan malam bagi menanggung kos guaman perbicaraan kes kapal selam di Perancis.

Akhirnya hari ini orang Perancis sendiri yang bersuara untuk mendedahkan perkara sebenar.....


Tiada Perbicaraan Di Perancis Berhubung Scorpene, Kata Pendakwa Terkemuka Perancis


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.

Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.

"Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu (organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan kini seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.

Berikutan satu aduan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai hak asasi manusia, yang difailkan pada 2009 mengenai sebuah syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam itu, beliau mendedahkan bahawa dua "hakim siasatan" bebas memulakan siasatan mereka awal tahun ini.

Charpenel berkata di Perancis, seperti negara-negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua siasatan dibuat sepenuhnya secara rahsia.

Beliau berkata adalah hak bagi sesiapapun untuk memfailkan aduan dan berikutan sifat rahsia siasatan itu, sesetengahnya beralih untuk mengadu kepada media.

Beliau menjelaskan bahawa untuk kes-kes tertentu di Perancis, Kementerian Keadilan akan meminta seorang hakim bebas, meminta "hakim siasatan" untuk menyiasat.

"Dia hanya seorang penyiasat. Ini adalah sistem lama yang bermula sejak era Napolean. Jika hakim siasatan mahu seseorang pergi ke Malaysia, dia perlu memohon dengan kerajaan anda kerana kami ada apa yang dipanggil Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama. Kerajaan Malaysia boleh kata 'ya' atau 'tidak'. Ia perlu diputuskan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Seorang hakim siasatan Perancis tidak boleh membawa bagasinya, menaiki kapal terbang dan pergi ke Malaysia dan meminta seseorang menjawab soalan-soalannya. Ini adalah mustahil, ianya bertentangan dengan undang-undang Perancis dan ia juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata Charpenel.

Beliau menjelaskan di Perancis, seperti di tempat-tempat lain, perjalanan undang-undang tidak boleh ditentukan oleh media.

Seperti yang dikatakannya, "Di Perancis, masa keadilan berbeza daripada masa media. Sudah tentu, media perlu data-data, maklumat, berita. Ia adalah semula jadi tetapi siasatan itu agak berbeza. Ia adalah sama, sama ada di Perancis atau di Malaysia.

"Dan ia menjadi rahsia. Kami kini dalam langkah pertama, mungkin, kami dapat satu lagi langkah, mungkin tidak, dan ia adalah terlalu awal untuk bercakap lagi.

Ditanya mengenai laporan media bahawa peguam-peguam Perancis yang mewakili Suaram dalam saman itu akan datang ke Malaysia untuk memberi taklimat kepada anak guamnya, Charpenel berkata mana-mana peguam dari mana-mana negara, bebas untuk berbuat demikian kerana dia dibayar oleh anak guamnya.

"Dia bebas bercakap dengan media, itu adalah kebebasan atau hak asasi manusia. Tetapi dia bukan seorang pendakwa. Dia juga bukan seorang hakim siasatan. Dia bukan seorang pegawai."

Pada April tahun ini, ahli-ahli politik pembangkang tempatan di sini malah telah meminta pegawai Malaysia untuk memberi keterangan di Paris atau berdepan pemulauan dalam Kesatuan Eropah.

"Perbicaraan adalah satu perbicaraan dengan semua peraturan. Siasatan adalah adalah satu perkara lain," kata Charpenel mengenai maklumat salah yang dijana oleh portal-portal berita tertentu berhubung dakwaan bahawa satu perbicaraan sudahpun berjalan.

Sabtu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara menjelaskan urus niaga Scorpene dijalankan mengikut prosedur perundangan.


Kerjasama Pas dan DAP bercanggah kehendak Islam - Shahnon Ahmad

Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.


Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.- BERNAMA

Undi pembangkang sama seperti undi Soros


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Tun M berkata soros menggunakan dana untuk meletakkan
 orang yang disukainya memerintah negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times.

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.


Sabtu, 6 Oktober 2012

Rakaman Penuh Program Dialog RTM1 - Dasar Baharu PTPTN.

Rakaman penuh program 'Dialog' bertajuk Dasar Baharu PTPTN yang disiarkan secara langsung di RTM1 pada 3 Oktober, 2012.

Dalam program itu Ketua UMNO Bahagian Merbok yang juga ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain merupakan salah seorang ahli panel program tersebut..


Isnin, 1 Oktober 2012

Bajet PR Bajet Liberalisme?

Kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri sebelum mati, Anwar Ibrahim sentiasa memainkan peranan sebagai Perdana Menteri apabila saja berpeluang.  Jika Datuk Seri Najib mengadakan program mesra rakyat dan meninjau keadaan rakyat, maka beliau pun ingin berbuat yang sama dengan mendekati rakyat sambil meninjau pengangkutan awam seperti LRT.

Jika Datuk Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan yang sama.  Dan yang paling hebat ialah walaupun belum menjadi Perdana Menteri, Anwar ingin sekali membentangkan bajet seperti seorang Perdana Menteri.

Kerana itu, walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat, itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan turut membentangkan bajet.

Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu, maka kita tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong.  Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan kepada bajet sebegini, amatlah menyedihkan.

Namun, yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat.  Kita ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang berdasarkan prinsip Islam, Malaysian-Malaysia dan juga liberal.

Dan seperti yang dijangka, tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’ dari BN dalam bajet PR.  Sebaliknya, ia lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah membantu yang miskin dan sederhana.  Pendek kata, ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal.

Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan pusat-pusat maksiat.  Tiada juga peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah PR.   Malah, kelihatan seolah-olah tiada langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini.

Selain itu, perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan.  Seperti juga perancangan untuk menurunkan harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport barangan dari negara lain.

Akhirnya, yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil nasional itu sendiri.  Jika ini berlaku, ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil nasional dan maruah negara sekali gus.

Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang terutama untuk membantu bumiputera.

PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman DAP.  Sedangkan, kita tahu bahawa kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina.

Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat perkauman seseorang, adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu, India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam persaingan kek ekonomi ini.

Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai diskriminasi yang bertulis. Tetapi, PR telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina.

Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat.  Tetapi, apa yang nak dihairankan kerana pembentangan Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN.  Itu saja.

Walau apapun, yang pasti, PAS tidak punya suara langsung dalam penyediaan Bajet berkenaan.  Tanpa keprihatinan dan ‘input’ dari PAS, bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu akan terbela di bawah Pakatan Rakyat?


Jangan abai pendidikan awal - Tajul


Pendidikan awal merupakan perkara yang amat penting dalam proses pembesaran kanak-kanak, oleh itu ibu bapa diseru memainkan peranan dengan menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di peringkat prasekolah.

Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj. Tajul urus Mat Zain berkata, selain menyediakan mereka untuk persekolahan sebenar, kanak-kanak ini akan mula melangkah dari alam keluarga ke dunia sosial, ketika ini juga mereka berdepan dengan cabaran yang mana bagi kebanyakan kanak-kanak tidak serupa dengan apa yang mereka temui sebelumnya.

"Walaupun prasekolah tidak diwajibkan, namun amat penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), seawal usia empat tahun," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri majlis perasmian penutup hari potensi kanak-kanak Tabika KEMAS peringkat Negeri Kedah.

Selain itu Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang penting serta sentiasa mengambil berat tentang pelajaran anak mereka di sekolah.

"Mereka tidak seharus menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan berilmu,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan pada masa ini Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA)  kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta bertujuan  meningkatkan kemahiran guru serta menambah baik sistem pembelajarannya.