SEPANJANG bulan lalu dan bulan ini, terdapat tiga isu yang
mengaitkan Pas dengan tanah suci Mekah. Isu pertama melibatkan tindakan tidak
matang beberapa pemimpin dan penyokong parti itu mengadakan demonstrasi
menyokog Bersih di Mekah dan Madinah.
Isu kedua pula melibatkan Ahli Majlis Fatwa Masjidilharam,
Dr.Sulaiman Saloomi yang menegaskan fatwa propaganda yang mengatakan seseorang
itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan,
kebodohan dan kesesatan.Terbaru, Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya menangguhkan ibadat haji mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam isu mengadakan perhimpunan Bersih di Mekah dan
Madinah, kepimpinan Pas langsung tidak menegur perbuatan melampau ahli-ahlinya
yang berbuat demikian, sebaliknya mereka berbangga kerana semangat menyokong
Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga begitu mendalam sehingga dibawa ke tanah suci
biar pun sepatutnya tumpuan diberikan sepenuhnya beribadat kepada Allah SWT.
Selain itu, akibat politik tidak bertempat itu, Malaysia
menerima tempiasnya apabila kerajaan Arab Saudi telah menghantar nota
diplomatik membantah perbuatan berkenaan serta mengingatkan kerajaan Malaysia
supaya memastikan peristiwa itu tidak berulang.
Dalam isu kenyataan Dr.Sulaiman Saloomi pula, Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan bahawa beliau pernah ‘menjanjikan’
syurga kepada pengundi yang memilih parti itu dalam pilihan raya.
Nik Abdul Aziz sebaliknya berkata, beliau hanya menyebut
bahawa orang yang telah mengundi parti itu khususnya pada pilihan raya umum
1990 mendapat pahala.
Dan Pas selagi lagi terbabit dalam isu berkaitan tanah suci
apabila Tuan Ibrahim membuat seruan supaya menangguhkan pelaksanaan ibadah haji
bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pilihan raya.
Sememangnya sudah pastilah dalam ketiga-tiga isu itu, Pas
akan mempertahankan apa juga tindakan dan kenyataan mereka.
Walaupun ia akan dianggap janggal bagi mereka yang mahu
memikirkannya secara matang tetapi bagi pengikut-pengikut tegar Pas apa yang
diseru dan dinyatakan oleh pemimpin mereka adalah kebenaran serta permintaan
yang harus dipatuhi di bawah prinsip ‘kami dengar, kami patuh’.
Namun begitu, apa yang menjadi persoalan sampai bilakah Pas
ingin terus melakukan tindakan-tindakan yang berkaitan dengan Islam demi
kepentingan politik mereka. Kenapakah perlu soal politik mahu diseret ke tanah
suci? Kenapakah soal pahala dan dosa dipertaruhkan untuk meraih sokongan dalam
pilihan raya? Kenapakah Pas sanggup memandang ringan soal ibadah haji boleh
ditangguh-tangguhkan semata-mata untuk memastikan jentera pilihan rayanya tidak
terjejas?Apa yang mengecewakan, Pas sama sekali tidak pernah mempedulikan apa juga komen dan ulasan mana-mana ulama yang secara ikhlas menegur corak politik mereka, sebaliknya ada mufti yang dianggap ‘gatal mulut’ kerana memberi pandangan mengenai parti itu.
Kalau mahu diambil kira soal ‘gatal mulut’ rasanya pemimpin-pemimpin Pas sudah lama bersikap demikian apabila membuat kenyataan sesuka hati termasuklah suatu ketika pandai-pandai mengkafirkan UMNO dan menuduh UMNO menolak Islam.
Tidakkah itu boleh dinamakan ‘gatal mulut’ kerana perbuatan
berkenaan telah memecah-belahkan umat Islam di negara ini? Apakah pemimpin dan
penyokong Pas tidak ‘gatal mulut’ apabila mengadakan demonstrasi di Mekah dan
Madinah dengan melaung- laungkan slogan anti kerajaan Barisan Nasional (BN) di
negara orang?
Siapakah lebih ‘gatal mulut’ apabila menyeru supaya
menangguhkan pemergian ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji?
Selain itu, kita juga ingin bertanya siapakah sebenarnya
‘gatal mulut’, apabila mencadangkan supaya Pas dan UMNO bermuzakarah demi
kepentingan umat Islam dan orang Melayu tetapi kemudiannya membatalkan hasrat
tersebut atas alasan ia telah dimanipulasikan?
Malahan dalam isu ‘muzakarah’ antara kedua-dua parti itu,
kita juga hendak tahu siapakah dulu yang ‘gatal mulut’ menganggap mana-mana
pemimpin Pas yang menyokong usaha itu sebagai boneka UMNO?
Oleh itu tidak perlulah pemimpin Pas hendak melabelkan
mana-mana ulama sebagai ‘gatal mulut’ kerana semua orang tahu ulama yang sering
menegur Pas, melakukannya bukan atas kepentingan politik mana-mana pihak
sebaliknya atas dasar kebenaran dan kehendak Islam.
Sepatutnya, Pas berterima kasih kerana ada ulama yang
mengambil berat tindak-tanduk mereka bagi memastikan pemimpin dan penyokong
parti itu tidak terus hanyut dibuai mimpi indah merebut kekuasaan bersama-sama
sekutunya PKR dan DAP.
Selain itu, teguran demi teguran yang dilakukan oleh ulama-ulama
sama ada dalam atau luar negara seharusnya dijadikan iktibar oleh Pas dalam
memperkasakan perjalanan politik parti itu jika benar mereka mahu
memperjuangkan Islam.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, Pas sentiasa
sahaja menganggap apa yang mereka lakukan dan katakan adalah betul, datanglah
sehebat mana pun ulama itu jika ulama berkenaan membuat kenyataan yang
bertentangan dengan kehendak politik Pas maka pandangan ulama tersebut pasti
‘ditolak’ dan dianggap ‘gatal mulut’.
Justeru pemimpin-pemimpin Pas tidak kira siapa pun mereka
perlu diperingatkan bahawa tindak-tanduk mereka bukan sahaja boleh menjejaskan
imej parti itu malahan boleh mewujudkan persepsi yang tidak baik terhadap
Islam.
Ia memandangkan banyak tindak-tanduk Pas dianggap oleh para
ulama bertentangan dengan kehendak Islam. Kalau Pas mahu mencari pahala seperti
mana pendirian mereka bahawa menyokong parti itu akan mendapat pahala maka
peliharalah pahala itu dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan tindak-tanduk
politik yang boleh menghilangkanpahala berkenaan sebelum kita mengadap Allah
SWT.
Soal menjaga pahala ini diingatkan sendiri oleh Nik Abdul
Aziz yang menegaskan,‘‘Terlalu banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang
bercerita tentang kalau kita buat amal soleh kita boleh dapat pahala. Pahala
ini boleh hilang kalau kita tak pandai jaga, macam kita cari duit, cari duit
bolehlah tapi kalau kita simpan dalam poket yang berlubang, maka akan habis.
“Duit sudah dapat hasil jual goreng pisang dan macam-macam
lagi, tapi kalau kita simpan dalam poket (tembus), maka akan habis."
Oleh itu dalam mencari kuasa politik, janganlah sampai
pemimpin dan penyokong Pas melakukan tindakan yang dianggap ‘gatal mulut’ yang
akhirnya mengakibatkan ‘dunia tak dapat, akhirat terlepas’.