Jumaat, 1 Mac 2013

Manifesto 2013, Hudud Gugur - Perjuangan PAS Sudah Tidak Bernilai.



Manifesto PR bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ telah pun dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari 2013 yang lepas sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke-4 yang dilangsungkan di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Manifesto itu dirangka bersandarkan empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat mendapat pengesahan dan perakuan rasmi ketiga-ketiga pemimpin utama PR dari DAP, PKR dan PAS.

Satu perkara menarik, kandungan manifesto itu langsung tidak menyentuh sebarang komitmen PR untuk merintis perlaksanaan hukum Hudud sekiranya berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat. Dari muka surat satu hingga akhir walau sepatah ayat pun mengenai perlaksanaan hukum hudud tidak kelihatan.

Keadaan ini menunjukkan PR langsung tidak berhajat untuk melaksanakannya sekalipun umum mengetahui janji perlaksanaan hukum hudud amat sinonim dengan PAS sejak hampir tiga dekad lalu.

Ia mengejutkan ramai pemerhati politik kerana dengan gugurnya isu perlaksanaan hudud dari Manifesto PR membawa maksud akar kekuatan PAS telah dicabut keluar, meletakkan parti yang sekian lama memperalatkan Islam sebagai jenama parti itu semakin tergadai prinsip juangnya.

PAS kelihatan seperti ketiadaan pengaruh dan tidak berkemampuan mendesak agendanya dijadikan prioriti dalam Manifesto PR, dengan ini meletakkan perjuangan PAS dalam isu perlaksanaan hudud sudah tidak bernilai kerana dianggap tidak membawa sebarang manfaat kepada PR.

Akibatnya sebahagian besar ahli dan penyokong PAS hanya mampu terkebil-kebil dan mati kutu dibuatnya kerana ia jelas mengulangi kegagalan PAS sebelum ini dalam isu pengguguran Negara Islam dari kamus perjuangan PAS untuk digantikan dengan Negara Berkebajikan.

Dari satu sudut pengguguran isu hudud ini boleh dianggap satu kejayaan besar bagi Anwar Ibrahim kerana Ketua Umum PKR itu pernah berjanji dan memberi jaminan kepada sekumpulan pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR di Subang Jaya, Selangor bahawa hudud tidak akan mendapat tempat dalam PR.

Dan Anwar terbukti berjaya merealisasikan janji dan jaminan itu sekaligus senario ini juga mengesahkan kedudukan PAS dalam PR hanya setaraf kasta rendah yang hanya sekadar menjadi pak turut kepada DAP dan PKR.

Tiada ulasan: